Tuesday 25 March 2014

2. BILEY YANG MANJA

Bhuvaneshwari Devi berdoa kepada Shiva
Isnin, 12 Januari 1863. Perayaan Makara Sankranti sedang disambut pada hari itu. Jutaan penganut Hindu telah berkumpul di sepanjang Sungai Ganges untuk memuja sungai itu. Beberapa minit sebelum subuh, seorang bayi lelaki lahir di No.3, Jalan Gour Mohan Mukerjee, Simla, Kolkata, India. 

Seorang wanita tua yang melihat bayi itu, dengan terperanjat, menyahut, “Besar betul matanya!” “Seorang lagi berkata, “Serupa macam datuknya Durgaprasad!” Bhuvaneshwari Devi mendengar semuanya dengan senyap dan bersenyum melihat anaknya. Selama bertahun-tahun, beliau telah berpuasa dan berdoa kepada Dewa Shiva agar beliau diberkati dengan seorang anak lelaki. Kini doanya telah terkabul. Dengan penuh bersyukur, Bhuvaneshwari menamakan anaknya sebagai Vireshwar. Ini ialah salah satu nama Dewa Shiva.


Orang Bengali menyebut Vireshwar sebagai Bireshwar. Singkatan untuk Bireshwar ialah ‘Biley’. Begitulah Vireshwar menjadi 'Biley'. Biley seorang bayi yang cukup aktif. Bhuvaneshwari Devi terpaksa mendapatkan dua orang pengasuh untuk menjaganya. Apabila Biley berusia tiga tahun, hampir setiap hari Bhuvaneshwari menerima aduan tentang Biley. Dua orang kakak Biley, Swarnamayi dan Haramani sering menjadi mangsa kenakalannya. Jika mereka mencuba untuk menangkapnya, dia akan berlari keluar dan berdiri di atas lumpur. “Nak, marilah tangkap saya!” dia mengejek mereka. Melihat kakak-kakaknya enggan mendekati lumpur, dia akan melompat lalu memercik lumpur ke atas mereka.

Biley mempunyai naluri yang kuat untuk menguji setiap satu yang didengarnya. Pada suatu hari, dia terdengar seorang bercakap bahawa Tuhan memerhatikan setiap tindakan manusia. Biley bergegas ke biliknya lalu baring di atas katil. Kemudian, dia menunggu dengan berkata, “Sekarang, bumbung akan terbuka. Saya boleh melihat wajah Tuhan.” Meskipun harapannya tidak berhasil, Biley tetap menyayangi Tuhan. 

Masyarakat Hindu mempunyai pelbagai pantang-larang mengenai makanan. Seseorang tidak akan memakan makanan yang dicemari dengan sentuhan orang lain. Apabila manisan dihidangkan, Biley akan merasakannya dahulu. Jika dia menyukainya, dia mencemari semua manisan lain dengan menyentuhnya. Kemudian dengan nakal, dia berkata, “Tengok, semua manisan ini sudah terkena ludah saya. Tentu sesiapa pun tidak akan memakannya sekarang. Jadi terpaksalah saya menghabiskannya.” Dengan gelojoh, dia akan menghabiskan semua manisan itu seorang diri.

Memang susah untuk mengawal kemarahan Biley. Setiap kali dia marah, tentu sesuatu barang di rumahnya akan dipecahkannya. Bhuvaneshwari amat risau akan tindak-tanduk anaknya.Beliau merungut kepada Dewa Shiva,  “Saya telah berdoa untuk mendapat seorang anak lelaki. Rupa-rupanya Kau telah mengurniakan saya salah seorang jembalang-Mu.” Satu-satunya cara Bhuvaneshwari dapat mendiamkan Biley ialah dengan menuang air sejuk ke atas kepalanya dan menyeru "Shiva! Shiva!" ke dalam telinganya. 
                                                                   
Ayah Biley, Vishwanath Datta ialah seorang dermawan dan budiman yang disanjung tinggi. Ramai rahib Hindu sering datang ke rumahnya untuk mengemis makanan dan pakaian. Biley juga memiliki kemurahan hati ayahnya. Dia juga tergila-gila akan golongan rahib. Pada suatu hari, dia sedang memakai kain dhoti baru apabila seorang alim datang meminta sedekah. Dengan gembira, Biley menanggalkan kain barunya lalu memberinya sebagai sedekah. Selepas kejadian ini, Bhuvaneshwari terpaksa menguncikan Biley di bilik apabila mendengar suara orang-orang alim di jalan. Bukankah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan? Mendengar suara rayuan rahib di jalan, Biley tidak dapat mengawal dirinya. Tanpa berfikir panjang, dia membaling keluar melalui tingkap apa sahaja yang ada di dalam bilik itu.

Dermawan muda
Biley mempunyai banyak haiwan peliharaan. Antaranya ialah seekor monyet, seekor kambing, seekor burung merak, sekawan burung merpati, seekor burung kakak tua, dan beberapa ekor tikus Belanda. Keluarganya juga mempunyai sebuah kandang lembu untuk membekalkan susu bagi keperluan harian mereka  Biley amat menyayangi lembu-lembu mereka. Pada hari-hari perayaan, dia dan kakak-kakaknya menghias lembu-lembu mereka. Selain itu, mereka juga memiliki sebuah kandang kuda yang menyimpan beberapa ekor kuda untuk kereta pedati. 

Zaman kanak-kanak Biley bukan sahaja penuh dengan telatah nakal dan lucunya tetapi juga diwarnai dengan keseriusan yang luar biasa. Dia gemar mendengar cerita-cerita mitos dan epik Mahabharata dan Ramayana. Sambil duduk di atas pangkuan ibu dan neneknya, dia mempelajari sejarah tamadun India, kebudayaan India, dan juga agama Hindu. Selain itu, muzik tradisional juga menjadi satu aspek penting kehidupannya. 

Salah satu cerita kegemaran Biley ialah kisah hidup datuknya Durgaprasad. Durgaprasad ialah seorang pemuda yang kacak, berkebolehan dan rajin bekerja. Beliau berkahwin dengan Syamasundari, seorang wanita Bengali yang amat cantik. Selepas kelahiran anaknya Vishwanath, Durgaprasad, dengan tiba-tiba melarikan diri ke Benaras untuk menjadi seorang rahib. Beberapa lama kemudian, beliau sedang merantau di Kolkata. Saudara-mara yang mengenalinya, menangkap dan membawanya secara paksa ke rumah mereka. Selama tiga hari mereka menguncikannya di dalam sebuah bilik. Durgaprasad menjerit dan merayu supaya dibebaskan. Apabila makanan dihantar ke dalam bilik itu, beliau enggan untuk memakannya. Akhirnya pada hari ketiga, beliau pengsan dan mulutnya mula berbuih. Seorang yang bersimpati dengannya, membuka pintu bilik itu dan membenarkannya keluar. Sejak itu, Durgaprasad tidak pernah kembali ke rumah itu.

Rumah pusaka Swami Vivekananda
Biley amat menyayangi Dewa Rama dan Dewi Sita. Setiap hari dia akan menghiasi patung-patung Rama dan Sita dan bersembahyang. Pada suatu hari, ketika berbual dengan pemandu kereta kuda mereka, dia mendapat kejutan besar. Lelaki itu menceritakan mengenai masalah dan penderitaan yang wujud dalam kehidupan  berumah tangga. Biley berdiri dengan kaku dan membayangkan suatu rantai besar yang dahsyat mengikat orang-orang yang berkahwin. Tiba-tiba, dia teringatkan Rama dan Sita. Bukankah dewa-dewi kegemarannya juga telah berkahwin dan hidup menderita! Sambil menangis, dia berlari kepada ibunya dan bertanya, “Ibu, bukankah Sita isteri Rama? Bolehkah saya menyembah Sita-Rama?” Bhuvaneshwari Devi yang cukup arif dengan anaknya berkata, “Baiklah, sembahlah Dewa Shiva. Shiva seorang rahib."       

Lega dengan kata-kata ibunya, Biley mengesat air matanya. Dia berlari ke tempat dia menyimpan patung-patung Sita-Rama. Dengan sedih, dia melihat patung-patung itu dan membatukan hatinya. Tanpa berfikir panjang, dia membawa patung-patung itu ke balkoni dan mencampakkannya ke bawah. Patung-patung tanah liat itu hancur berkecai! Keesokan harinya, dia pergi ke pasar dan membeli sebuah patung Dewa Shiva. Kemudian, dia menghiasi patung itu dan mula memujanya dengan penuh dedikasi. 

Meskipun Biley memecahkan patung Rama dan Sita, namun minatnya pada epik Ramayana kekal. Hanuman, hero kegemarannya, menjadi pujaannya. Jika bacaan Ramayana diadakan di mana-mana rumah jirannya, dia akan pergi untuk mendengarnya. 

Pada suatu hari, seorang pendeta sedang membacakan Ramayana. Dia menceritakan bahawa Hanuman tinggal di kebun pokok pisang. “Betulkah tuan, Hanuman tinggal di kebun pokok pisang?” Biley bertanya. “Oh tentu,” jawab pendeta itu dengan bersindir. “Kamu boleh melihat Hanuman di situ,” tokoknya lagi. Biley teringat sebuah kebun pokok pisang yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Dia terus bergegas ke kebun itu dan duduk untuk menunggu Hanuman. Masa berlalu tetapi kelibat Hanuman pun tidak kelihatan. Akhirnya dengan hampa, Biley pulang ke rumahnya sambil menangis. “Mengapa kamu menangis, nak? Tentu Hanuman telah pergi untuk melakukan sesuatu tugas untuk Rama. Mungkin Hanuman sangat sibuk dan tidak dapat kembali ke kebun pokok pisang untuk berjumpa dengan kamu,” Bhuvaneshwari menenangkannya.

Biley juga suka melakukan ‘meditasi’. Bersama-sama seorang dua kawannya, dia akan duduk di hadapan patung Dewa Shiva di sebuah tempat yang sunyi. Selepas duduk bersila dan menutup matanya, dia akan berfikir tentang Tuhan. Adakalanya dia akan melupakan diri kerana khusyuk dengan ingatan Tuhan. Ketika itu dia tidak dapat melihat atau merasakan apa-apa di sekelilinginya. Pada suatu hari, seekor ular menular ke dalam biliknya. Mendengar desisan ular, budak-budak lain menjadi takut dan melarikan diri. Namun, Biley tidak berganjak dari tempatnya. Mereka menjerit memanggilnya tetapi dia tidak mendengar suara mereka. Selepas beberapa lama, ular itu beredar dari sana. Apabila disoal oleh ibunya, Biley menjawab, “Saya tidak tahu apa-apa mengenai ular itu. Saya sedang seronok berfikir tentang Tuhan”


Permainan "meditasi"
Biley terdengar bahawa kononnya jika seseorang petapa bermeditasi, rambutnya akan menjadi panjang dan berkusut. Lama-kelamaan, rambut petapa itu akan menembusi bumi seperti akar pokok banyan. Cerita ini membuat Biley teruja. Dia juga mahu rambutnya menjadi panjang dan menembusi bumi. Seperti biasa, dia duduk untuk ‘bermeditasi’ dan kerap kali membuka matanya untuk melihat sama ada rambutnya telah menjadi panjang. Selepas beberapa lama, dengan hampa Biley berlari kepada ibunya dan berkata, “Ibu, saya dah lakukan meditasi, tapi kenapa rambut saya masih belum panjang lagi?” Bhuvaneshwari Devi menenangkannya, “Biley, rambut tidak akan panjang dalam masa sejam atau sehari. Orang perlu bermeditasi berterusan selama berhari-hari, berbulan-bulan, malah bertahun-tahun. Barulah rambutnya akan menjadi panjang dan kusut.” 

No comments:

Post a Comment