Tuesday 25 March 2014

4. REMAJA YANG IDEAL

Presidency College
Keluarga Narendra kembali ke Kolkata pada tahun 1879. Pada masa itu, Narendra berumur enam belas tahun. Guru-guru lamanya di Presidency College membenarkannya kembali ke kolej itu. Mereka juga membenarkannya untuk menduduki peperiksaan kemasukan (Entrance Examination) pada tahun itu. Dengan bertungkus-lumus, Narendra belajar dan lulus dalam tahap pertama peperiksaan itu. Bapanya menghadiahkannya sebuah jam tangan.
Scottish Church College
Pada awal tahun berikutnya, Narendra memasuki General Assembly Institution (kini dikenali sebagai Scottish Church College) dalam jurusan sastera. Dia memilih ilmu falsafah barat, sejarah Eropah dan ilmu logik sebagai mata pelajaran utamanya. Sejarah adalah kegemarannya. 

Narendra juga mempelajari hasil-hasil penulisan Hume, Immanueal Kant, Spinoza, Hegel, Schopenhauer, Comte, Herbert Spenser, John Stuart Mill dan Charles Darwin dengan terperinci. Buku ‘Evolutionism’ oleh Herbert Spenser adalah kegemarannya dan dia juga sering berutus surat kepada Spenser. Ketika ini, Narendra telah menterjemahkan sebuah buku Spenser bertajuk ‘Education’ ke dalam bahasa Bengali. Selain itu, dia juga mengasah bakatnya dalam pelbagai bidang seperti muzik tradisional, sajak dan sukan. 

Narendra memiliki badan yang tegap, muka yang tampan dan suara yang merdu. Ramai orang yang menatapnya buat pertama kali percaya bahawa dia dari keturunan raja. Kepintaran dan kepopularannya di kolej, menarik perhatian profesor-profesornya. Pengetua kolej Narendra, Dr William Hastie berkata mengenainya, “Narendra memang seorang yang genius. Saya telah merantau jauh. Namun, saya tidak pernah menemui seorang penuntut yang berkebolehan dan berkemampuan sepertinya. Malah di universiti-universiti Jerman juga, dalam kalangan pelajar-pelajar falsafah, tidak ada orang sepertinya.”



Kesucian menjadi satu elemen utama dalam hidup Narendra. Dia telah diasuh oleh ibunya untuk menghormati orang lain, terutamanya golongan wanita. Sepanjang hayat, Narendra juga ingat akan sebuah rangkap yang dia dihafalnya pada hari pertama persekolahannya, iaitu:
  
“Lelaki  yang berpendidikan ialah seorang melihat semua wanita bagai ibunya, harta benda orang lain bagai habuk, dan setiap makhluk bagai jiwanya sendiri.”

Bandar Kolkata ialah pusat pemerintahan kerajaan Inggeris ketika itu. Secara perlahan-lahan, budaya kuning mula menular ke dalam kehidupan golongan yang berpendidikan, terutamanya golongan kaya. Malah, beberapa orang kawan Narendra juga tidak terlepas dari pengaruh ini. Ramai dalam kalangan mereka mula menjalani kehidupan berfoya-foya. 

Narendra mencemuh perbuatan-perbuatan tidak bermoral. Baginya, kehidupan yang suci ialah sesuatu yang amat berharga. Dia sedar bahawa hanya dengan kesucian seorang manusia boleh menyedari kewujudan Tuhan. Dengan tegas, dia memberitahu kedua-dua ibu bapanya bahawa dia akan kekal bujang sepanjang hayat.

Pada suatu hari, Narendra telah pergi ke sebuah teater untuk menonton sebuah drama. Kawannya, Girish Ghosh ialah pemilik teater itu. Sebelum persembahan bermula, Girish meminta Narendra untuk menyanyikan beberapa buah lagu di atas pentas. Narendra memainkan tanpura dan menyanyikan beberapa buah lagu. Pelakon-pelakon wanita yang sedang berada di dalam bilik solek, terdengar nyanyian Narendra. Suaranya menyebabkan mereka menggeletar ketakutan. Pada keesokan harinya, seorang pelakon wanita berjumpa dengan Girish dan berkata: “Mengapa tuan membawa orang alim itu ke tempat begini? Apa akan terjadi pada kami sekiranya kami melihat beliau dengan mata yang tidak suci? Macam mana kami boleh menebus dosa itu?”

Narendra ialah seorang pemikir dan idealis. Dia mula mempersoalkan apa sahaja yang tidak dapat diterima secara rasional. Ilmu semata-mata tidak memuaskan hati dan inteleknya. Dia mendahagakan pengalaman yang sebenar, tetap dan ilmu tanpa sebarang keraguan. Carian Narendra untuk ilmu, membawanya kepada ramai cendikiawan, ahli falsafah dan orang alim. Dia juga menyertai Brahmo Samaj.


 
Pemandangan menunjukkan Jambatan Howrah, Kolkata sekitar tahun 1890-an.


Brahmo Samaj ialah sebuah persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1828. Matlamat penubuhannya adalah untuk membawa pembaharuan dan revolusi dalam agama dan masyarakat Hindu di Kolkata. Salah satu sumbangan Brahmo Samaj adalah pengharaman upacara Sati yang kejam. Selain itu, Brahmo Samaj juga berjuang untuk menghapuskan sistem kasta dan menentang perkahwinan kanak-kanak.

Tertarik dengan idea-idea progresif Brahmo Samaj, ramai pemuda yang berpendidikan menyertainya. Pengikut-pengikut Brahmo Samaj mempercayai kepada Tuhan Yang Tak Berupa atau Brahman. Mereka mengutuk penyembahan berhala dan amalan kuno lain. Sesiapa yang menyertai pertubuhan itu dikehendaki untuk mengambil ikrar bahawa mereka tidak akan menyembah berhala, mengamalkan pemakanan vegetarian, dan tidak akan bercakap bohong. Narendra dan kawan-kawannya turut menyertai dan menandatangani ikrar Brahmo Samaj.

Pendidikan falsafah barat dan pengaruh Brahmo Samaj, mencetuskan persoalan utama yang membara dalam diri Narendra selama beberapa tahun. “Adakah Tuhan wujud? Bolehkah manusia melihat Tuhan? Jika Tuhan boleh dilihat dengan mata kasar, adakah sesiapa yang pernah melihat-Nya?” Selama beberapa bulan, Narendra menemui ramai orang alim dan pendeta yang terkenal di Kolkata dan menujukan persoalan ini. Malangnya, tiada sesiapa pun yang dapat memberikan jawapan yang dapat memuaskannya.

No comments:

Post a Comment