Monday 24 March 2014

19. PERSEDIAAN UNTUK BERUNDUR


Pada malam 9 Disember 1900, Swamiji kembali ke Biara Belur. Pintu pagar biara itu telah pun ditutup. Sesiapa pun tidak menjangka kedatangan beliau. Melihat Swamiji dalam pakaian orang Barat, penjaga pintu tidak dapat mengenalinya. Tanpa membenarkannya masuk, dia terus berlari berjumpa dengan rahib-rahib Biara Belur, dan berkata, “Seorang mat saleh telah datang.” Sebelum mereka bergegas untuk berjumpa dengan ‘mat saleh’ itu, beliau sendiri datang berjumpa dengan mereka. Swamiji tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan saudara-saudara segurunya. Beliau telah memanjat pagar itu dan mengikut penjaga itu dengan senyap. Hairan bercampur gembira, mereka bertanya khabar dan mula menghidangkannya makan malam.

Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Seperti yang Swamiji khuatiri, berita buruk menantinya. Kaptain Sevier telah meninggal dunia di Mayavati pada Oktober 1900. Kaptain telah jatuh sakit. Namun, beliau enggan untuk meninggalkan asramanya yang terpencil di Mayavati untuk mendapatkan rawatan. Sepanjang hidupnya, Kaptain tidak pernah berada di mana-mana lebih daripada enam bulan secara berterusan. Beliau telah datang ke Mayavati dengan azam untuk tidak meninggalkan tempat itu walau apa sebab pun. Beliau berserah kepada Tuhan dan dengan tenang menunggu ajalnya.

MAYAVATI
Swamiji bertolak ke Mayavati untuk menenangkan Puan Sevier, yang dipanggilnya sebagai ‘ibu’. Beliau bersama-sama Shivananda dan Sadananda turun di stesen keretapi Kathgodam. Mayavati, terletak enam puluh lima batu dari Kathgodam. Jalan-jalan sempit dan tidak rata. Kalikrishna, seorang penghuni di asrama Mayavati telah datang menjemput mereka. Melihat Kalikrishna yang telah datang dengan begitu pantas, merentasi enam puluh lima batu dalam masa dua hari sahaja, Swamiji berasa amat bangga. Kebiasaannya, orang mengambil masa tiga hari.


Brahmachari Kalikrishna
Puan Sevier


Selepas berehat di Kathgodam, keesokan harinya mereka bertolak ke Mayavati. Swamiji dibawa dengan sejenis tandu yang digunakan untuk membawa orang-orang tua, dan uzur di kawasan Himalaya. Beliau kelihatan riang seperti kanak-kanak sepanjang perjalanan itu. Pada hari pertama, mereka berjaya mendaki lebih tujuh belas batu, dan malamnya mereka berehat di sebuah banglo untuk perantau. Pada hari kedua, hanya selepas mendaki dua batu, hujan dan kemudiannya, salji mula turun. Oleh itu, pendakian mereka menjadi perlahan dan menjelang waktu tengah hari mereka hanya telah berjalan sejauh tujuh batu sahaja.

Dalam perjalanan itu, mereka terserempak dengan sebuah kedai pondok di tepi jalan. Pembawa-pembawa tandu merayu untuk berhenti seketika untuk merokok, dan meminum teh. Kalikrishna arif tentang sikap pembawa tandu. Sekali mereka berhenti, mereka akan mengambil berjam-jam untuk meneruskan semula perjalanan. Jadi, Kalikrishna memberi amaran kepada Swamiji. Namun, mendengar rayuan mereka, Swamiji bersimpati. Beliau membenarkan mereka untuk berhenti seketika. Apabila pembawa-pembawa tandu selesai minum teh, hari telah senja. Memang orang dungu sahaja akan meneruskan perjalanan dalam keadaan gelap semasa salji sedang turun. Tanpa sebarang pilihan lain, mereka terpaksa bermalam di pondok buruk, dan kecil itu. Di satu sudut kedai itu, asap hitam keluar tanpa henti dari sebuah dapur purba. Setiap pelosok kedai itu penuh dengan kekotoran, dan daki.

Melihat keadaan ini, Swamiji, berkata kepada Shivananda, “Kalikrishna masih lagi budak-budak. Kamu, saudara, sudah cukup tua! Macam mana kamu boleh membawa saya ke tempat begini?” Kemudian, berpaling kepada Kalikrishna, beliau berkata, “Mengapa kamu mengheret saya ke tempat ni?” Kalikrishna mendengar ini dengan tenang, dan menjawab, “Swamiji, ini adalah salah Swamiji sendiri! Awal-awal lagi, saya telah memberi amaran mengenai pembawa-pembawa tandu itu. Dengan membenarkan mereka berhenti, tuan yang telah menyebabkan kesusahan ini! Kalau mereka tidak berlengah-lengah, pasti sekarang kita sudah sampai ke banglo pelawat.”

Swamiji terpaksa berdiam mendengar penjelasan yang berani ini. “Baiklah, apa yang berlaku sudah berlaku. Jangan ambil hati kerana saya marah. Bukankah seorang ayah berhak untuk memarahkan anaknya? Kita akan bermalam di sini. Tengok apa yang ada untuk dimakan.”

Makan malam mereka adalah sejenis chappati yang dinamakan ‘chappati kuda’. Chappati itu sungguh tebal dan keras sehingga mereka terpaksa patahkannya dengan gigi mereka, dan selepas itu mengunyahnya. Mereka juga tidak dapat melelapkan mata. Dengan selamba, Kalikrishna mengingatkan Swamiji. Itu adalah malam 31 Disember 1900 – kurun kesembilan belas telah berakhir, dan kurun kedua puluh telah bermula. Mendengar ini, Swamiji bersenyum.

Keesokan harinya, mereka meneruskan perjalanan. Salji setebal dua belas inci meliputi jalan yang mereka lalui. Melihat gunung-gunung yang diliputi salji dan barisan deretan pokok-pokok, keriangan Swamiji tidak terkata. “Lihat! bagaimana salji menambahkan keindahan segala-galanya”, Swamiji menunjukkan kepada Kalikrishna, yang tercungap-cungap berlari di belakang tandu beliau. Seperti kebiasaannya, Swamiji bergurau senda dengan pembawa-pembawa tandu. Salah seorang pembawa tandu telah berkahwin beberapa kali, malangnya semua isterinya telah meninggal dunia. “Kamu nak kahwin lagi ke?” Swamiji bertanya. Lelaki itu menjawab, “Tentu saya nak; tapi dari mana saya dapat cari duit untuk dowri?” “Apa kata saya memberikan kamu wang itu?” Swamiji mengenyit matanya. Lelaki itu menjadi gembira dan berkata dia akan mengenang budinya. 

Pada 3 Januari 1901, Swamiji sampai di asrama Mayavati. Beliau amat menyukai bangunan asrama dan keadaan sekelilinginya yang aman dan tenang. Asrama itu telah dihiasi dengan bunga-bunga untuk mengalu-alukan kedatangannya. Penghuni-penghuni asrama itu, terutamanya Puan Sevier berasa amat tenang dan bahagia dengan kehadiran Swamiji. Selain Kalikrishna (Virajananda), Swami Swarupananda, Vimalananda, Sachchidananda,  dan Brahmachari Amritananda merupakan penghuni-penghuni Asrama Mayavati ketika itu. 


Asrama Mayavati
Swamiji bercakap kepada mereka tentang pengorbanan pengikut-pengikutnya yang setia. Demi beliau, mereka telah meninggalkan keluarga, dan tanah air sendiri, dan kini menjalani kehidupan di kawasan yang terpencil di pergunungan Himalaya. Malah, untuk keperluan harian seperti makanan, dan air juga mereka terpaksa berjalan berulang-alik mendaki kawasan pergunungan. Mereka dapat mengharungi segala dugaan ini kerana kepercayaan, dan kasih mereka kepada Swamiji, guru dan pemimpin mereka.

Bercakap tentang kepatuhan, Swamiji berkata, “Kepatuhan dan rasa hormat tidak boleh diperoleh dengan perintah atau dituntut. Itu bergantung kepada orang, kepada sifat penyayang dan kemuliaannya. Sesiapa pun tidak boleh menahan kasih yang tulen dan kemuliaan.” Beliau juga menekankan kepada pengikut-pengikutnya tentang kesetiaan kepada pemimpin, organisasi, dan kerja mereka.

Swamiji menikmati kehidupan di Mayavati seperti kanak-kanak. Beliau membaca buku sambil melihat liputan salji, dan berjalan-jalan di tepi tasik. Pengikut-pengikutnya mencuba segalanya yang boleh untuk menjaga, dan menghiburkan beliau. Pada Januari 7, Swamiji dan beberapa orang lain mendaki Dharamgarh. Tempat itu merupakan puncak yang tertinggi di Mayavati (7,000 kaki). Swamiji berasa amat gembira dengan tempat itu. Beliau teringin untuk membina sebuah pondok kecil di situ untuk bermeditasi. 

Pada suatu hari, Kalikrishna lambat menyediakan makan malam. Swamiji sendiri selepas memarahkan semua pengikutnya kerana kelewatan menyediakan makanan, terus pergi ke dapur untuk memarahi Kalikrishna. Melihat keadaan dapur yang penuh dengan asap hitam, dan Kalikrishna mencuba sedaya upaya untuk meniup api dapur, beliau menahan kemarahannya, dan bergegas ke biliknya. Apabila makanan dihidangkan, Swamiji enggan melihatnya, dan menengking, “Saya tak mahu makan! Pergi dari sini!” Kalikrishna cukup arif dengan gurunya. Dengan senyap, dia meletakkan makanan di situ, dan menunggu. Beberapa minit kemudian, seperti budak kecil, Swamiji duduk dan mula memakan. Setelah merasakan makanan yang enak itu, beliau menjadi ceria dan semua kemarahannya hilang dalam sekelip mata. Sambil memuji makanan itu, dan dengan penuh perasaan, Swamiji berkata, “Sekarang saya tahu kenapa saya menjadi begitu marah: saya sangat lapar.”

Pada suatu hari yang lain, Kalikrishna telah memasukkan terlalu banyak beras ke dalam sebuah periuk yang kecil. Apabila nasi mula masak, ia mula melimpah keluar dari periuk itu. Kalikrishna mula panik apabila Swamiji menghantar orang ke dapur untuk bertanya sama ada makanan sudah sedia atau tidak. Akhirnya beliau sendiri ke dapur untuk menyoalnya. Melihat keadaan periuk nasi itu, beliau memberitahu Kalikrishna, “Dengar nasihat saya. Masukkan sedikit minyak sapi ke dalam periuk itu dan tutupkannya. Nasi akan masak dengan baik dan akan lebih sedap.” Sebentar kemudian, mereka duduk untuk menikmati hidangan enak itu. 

Swamiji mahu semua pengikutnya belajar untuk melakukan setiap kerja, kecil mahupun besar dengan sempurna. Beliau berujar, “Orang yang tidak boleh memasak dengan bagus, tidak boleh menjadi seorang Sannyasin yang sempurna. Hanya makanan yang dimasak dengan fikiran yang suci dan tumpuan, akan menjadi lazat.”

Swamiji tinggal di Mayavati selama 18 hari. Dalam persekitaran yang cantik, dan tenang ini juga beliau tidak berhenti bekerja. Beliau menulis beberapa rencana untuk majalah, dan mengutus surat-surat kepada pengikut-pengikutnya. Beberapa orang kenamaan juga datang untuk berbincang mengenai idea-idea beliau.

Pada hari Swamiji bertolak dari Mayavati, cuacanya mendung menyebabkan sukar untuk mendapatkan kuli untuk membawanya. Melihat keadaan Swamiji yang resah, Kalikrishna berkata, “Tidak apa Swamiji. Kami sendiri akan membawa Swamiji ke bawah!” Swamiji menjawab, “Oh, begitu! Kamu sedang merancang untuk mencampakkan saya ke dalam jurang!”

Dalam perjalanannya dari Mayavati, Swamiji menerima khabar tentang kematian Raja Ajit Singh, kawan, dan pengikut setianya. Raja itu telah menguruskan pemulihan makam Raja Akbar, berdekatan Agra. Pada suatu hari, ketika memeriksa tempat itu, Ajit Singh terjatuh dari sebuah menara setinggi 86 kaki, lalu mangkat di tempat kejadian.

Swamiji juga sedar bahawa sudah tiba masanya, pengikut-pengikut mudanya dihantar untuk menyebarkan ajaran Sri Ramakrishna di seluruh pelosok negara. “Apa yang boleh saya ajar? Saya tidak tahu apa-apa pun,” kata Kalikrishna dengan rendah diri. “Jadi, pergi dan ajar itu!” sahut Swamiji: “Itu pun adalah satu ajaran yang hebat!”

Pada masa ini juga, salah satu mimpi Swamiji menjadi kenyataan. Saudari Nivedita, atas arahan Swamiji berjaya memulakan sebuah sekolah untuk pelajar perempuan di Kolkata. Swamiji percaya bahawa melalui pendidikan sahaja wanita boleh membebaskan diri mereka daripada penganiayaan terhadap mereka. Swamiji memberitahu Nivedita, “Di masa depan, jika wanita India ingat untuk menyebut ‘Shiva! Shiva!’, dari masa ke semasa, itu sudah mencukupi untuk menjadi pemujaan.” Saudari Christine kemudiannya menyertai Nivedita untuk menguruskan sekolah ini.
                                                                                                                  
Semua orang yang berjumpa dengan Swamiji, mendapat pelbagai pengalaman yang berbeza. Ada yang akan pulang selepas mendapat ilham baru, semangat baru, ketenangan, dan ada juga yang pulang dengan rasa hampa atau marah.  

Pada suatu hari, seorang pendeta, dan editor surat khabar datang berjumpa dengan Swamiji bersama-sama dua orang kawannya. Swamiji mula berbual dengan mereka tentang kebuluran di negeri Punjab, pendidikan untuk golongan miskin, dan masalah sosial yang lain. Sebelum berundur, seorang pelawat itu berkata dengan rendah diri: “Swamiji, kami telah datang untuk berbincang tentang falsafah agama kita. Malangnya perbualan kita beralih kepada hal ehwal dunia yang biasa. Memang hari ini telah disia-siakan!” Swamiji menjadi serius dan berkata, “Tuan, selagi seekor anjing di negara saya berada dalam kelaparan, agama saya adalah untuk memberinya makanan dan menjaganya. Sebarang perkara lain adalah bukan agama ataupun agama palsu!”

HARI-HARI DI BIARA BELUR
Pada pertengahan tahun 1901, kerja-kerja meratakan tapak Biara Belur bermula. Swamiji gemar berbual-bual dengan pekerja-pekerja upahan yang menjalankan kerja-kerja ini. Seringkali beliau akan membuat mereka bercakap tentang suka duka hidup sehingga Advaitananda (Gopal Tua), terpaksa memarahi mereka kerana tidak membuat kerja. Pada suatu hari, seorang kaya yang berpengaruh telah datang untuk berjumpa dengan Swamiji ketika beliau sedang berbual dengan pekerja-pekerja ini. Apabila diberitahu tentang kedatangan pelawat itu, beliau berkata, “Sekarang saya tak dapat pergi. Saya seronok bersembang dengan orang-orang ni!”

Pada suatu hari, Swamiji meminta pekerja-pekerja itu untuk makan di Biara Belur. Walaupun pada mulanya mereka keberatan, melihat kesungguhan beliau untuk menjamu mereka, akhirnya mereka bersetuju. Swamiji sendiri dengan riang mengawasi masakan di dapur, dan kemudian menghidangkan makanan kepada pekerja-pekerja miskin itu. Betapa gembiranya mereka menikmati makanan yang begitu sedap, yang tidak pernah dirasakan sebelum itu. Selepas jamuan itu selesai, Swamiji berkata, “Kamu semua ialah Narayana.  Hari ini saya telah menjamu Tuhan Sendiri dengan menjamu kamu!”


Swamiji sendiri menghidangkan makana
Kemudian, Swamiji memberitahu semua rahib, dan pengikutnya, “Lihat, betapa polos orang-orang yang tidak berpendidikan ini! Bolehkah kamu melakukan sesuatu untuk mengurangkan penderitaan mereka? Jika tidak, apa gunanya kamu memakai kain rahib? Mengorbankan segala-galanya demi kebaikan orang lain – inilah Sannyasa yang sebenar. Macam mana kita sanggup untuk mengisi perut kita sedangkan orang-orang di negara ini sedang kebuluran, dan tidak cukup kain untuk menutup badan mereka!”

Sekumpulan pemuda datang berjumpa dengan Swamiji. Beliau bercakap kepada mereka dengan penuh mesra, seolah-olah beliau telah lama mengenali mereka. Tiba-tiba, seorang pemuda berkata, “Wah, cantiknya rantai Swamiji”. Pada hari itu,  Swamiji sedang memakai seutas rantai emas yang mempunyai jam yang diterimanya sebagai cenderamata. Mendengar pujian pemuda itu, Swamiji melihat mukanya untuk seketika. Kemudian, beliau menanggalkan rantai emas itu, dan memberinya kepada pemuda itu. “Nak, ambillah. Kamu amat menyukai rantai ini. Kamu boleh menyimpannya.” 

Akhir tahun 1901, Josephine membawa dua orang cendekiawan Jepun ke Biara Belur untuk berjumpa dengan Swamiji. Mereka mahu menjemput beliau ke Kongres Agama-Agama di Jepun. Disebabkan kesihatannya yang semakin merosot, Swamiji terpaksa menolak jemputan ini. Beliau menemani pelawat-pelawat Jepun ini ke Bodh Gaya dan Benaras. Dua tempat itu berkait rapat dengan hidup Buddha, dan sering dikunjungi oleh penganut-penganut agama Buddha dari seluruh dunia.

Lawatan ini juga penuh bermakna kepada Swamiji. Bodh Gaya ialah tempat suci pertama yang dilawatinya. Selama seminggu, Swamiji dan kawan-kawannya menjadi tetamu di rumah Mahanta atau Ketua Kuil Bodh Gaya. Setiap hari mereka melawat kuil-kuil, dan juga gua-gua di kawasan itu yang penuh dengan ukiran dinding.  
                                                                                                                Seperti biasa, ramai orang yang tertarik dengan Swamiji datang berjumpa dengannya. Selepas mendengar idea-idea Swamiji, seorang raja memintanya untuk menubuhkan sebuah biara di Benaras. Raja itu berjanji untuk menanggung segala perbelanjaannya. Swamiji bersetuju dengan cadangan itu. Beliau menghantar Swami Shivananda bersama-sama seorang pembantu lain ke Benaras untuk menubuhkan sebuah biara.  

Di Benaras juga, beberapa orang pemuda yang tertarik dengan ajaran Swamiji, telah memulakan kerja kebajikan. Mereka telah mengumpul sedikit duit, dan memulakan sebuah organisasi untuk membantu pelawat-pelawat miskin ke Benaras dengan membekalkan makanan, tempat tinggal, dan rawatan perubatan yang percuma. Melihat perkhidmatan kebajikan ini, Swamiji dengan bangga, dan gembira berkata, Kamu mempunyai semangat yang sebenar, anak-anak. Saya akan sentiasa menyayangi dan merestui kamu! Teruskan dengan berani. Jangan peduli tentang kemiskinan kamu. Duit akan datang. Sesuatu yang hebat akan lahir hasil daripada kerja kamu ini, melampaui jangkaan kamu.” Kemudian, Swamiji sendiri menulis rayuan untuk bantuan kewangan bagi institusi ini. Beliau menamakan institusi itu sebagai “Ramakrishna Home of Service”.


Swami Vivekananda
CERAMAH AKHIR
Swamiji mula menerima jemputan untuk memberi kuliah, dan ceramah di bahagian Bengal Timur. Ibu beliau juga telah meluahkan hasratnya untuk melawat tempat-tempat suci di situ. Beliau menulis kepada Puan Sara Bull, “Saya akan membawa ibu saya untuk lawatan ibadah. Itulah keinginan utama seorang janda Hindu. Selama ini, saya hanya telah memberikan penderitaan kepada keluarga saya. Sekarang saya mahu cuba memenuhi sekurang-kurangnya satu keinginan ibu saya.”

Swamiji bersama-sama satu kumpulan yang besar bertolak ke Dacca. Kesihatannya semakin teruk ketika ini disebabkan penyakit kencing manis, dan serangan lelah. Beliau langsung tidak dapat berehat. Siang dan malam, beratus-ratus orang datang untuk mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat. Swamiji menyampaikan dua ceramah umum di situ.

Swamiji juga membawa ibu, makcik, dan kakaknya ke sungai suci Brahmaputra. Mereka mandi, dan melakukan upacara pemujaan di situ.

Masyarakat di Dacca ketika itu sangat konservatif, dan berfahaman cetek. Mereka juga cepat terpedaya dengan orang-orang yang berpura-pura warak.

Seorang pemuda datang berjumpa dengan Swamiji. Dia membawa sebuah gambar seorang yang alim dan menanyakannya sama ada itu gambar seorang ‘Avatar’ (Jelmaan Tuhan). “Bagaimana saya boleh tahu?” Swamiji menjawabnya. Pemuda itu mengulangi soalannya tiga atau empat kali. Akhirnya, beliau hilang kesabarannya dan berkata, “Anakku, dengar nasihat saya. Tingkatkan kekuatan otot dan otak kamu dengan memakan makanan yang berkhasiat dan bersenam. Kemudian, kamu akan dapat berfikir dengan sendiri. Tanpa makanan yang berkhasiat, otak kamu nampaknya telah menjadi sedikit lemah.” 

Selepas pemuda itu beredar, Swamiji berkata, “Mungkin pemuda itu tersinggung dengan kebenaran yang saya memberitahunya. Apa yang saya boleh lakukan? Kecuali saya memberi amaran kepada orang sebegini, mereka menjadi tidak siuman. Kamu boleh menganggap guru kamu sebagai seorang Avatar, atau apa sahaja yang kamu mahu. Hanya ada beberapa Jelmaan Tuhan sahaja; itu pun jarang-jarang. Di Dacca sahaja, saya dengar kononnya ada tiga atau empat Avatar! Nampaknya, ini sudah menjadi satu kegilaan sekarang!”



No comments:

Post a Comment