Monday 24 March 2014

12. SEBELUM PELAYARAN KE AMERIKA

Swamiji meluahkan kepada pengikut-pengikutnya di Madras mengenai hasratnya untuk belayar ke negara Amerika sebagai wakil agama Hindu. Pengikut-pengikutnya, di bawah pimpinan Alasinga Perumal mula mengumpulkan wang perjalanannya. 

Melihat kutipan derma itu, Swamiji berasa resah. Beliau masih tidak pasti sama ada itu adalah suruh Tuhan atau keinginannya sendiri. Beliau berdoa, “Wahai Ibu, tunjukkan saya niat-Mu! Ibu adalah Pembuat. Biar aku menjadi peralatan-Mu.” Beliau bercakap kepada pengikutnya, “Saya tidak akan melakukan apa-apa selagi saya pasti itu adalah niat Ibu Yang Maha Esa. Ibu mesti membuktikan bahawa Ibu mahu saya mesti pergi ke Barat, kerana ini adalah satu langkah dalam kegelapan. Jika ini adalah kehendak-Nya, maka saya akan dapat wang untuk pelayaran. Jadi, ambil balik wang yang kamu telah kumpulkan dan agihkannya kepada orang-orang miskin.” 

Pengikut-pengikut beliau, mematuhi arahannya tanpa bantahan. Swamiji kini berasa lega, seolah-olah bebas daripada satu beban yang besar.

Sementara itu, Swamiji meningkatkan lagi doa dan meditasinya. Beliau juga banyak menyanyikan lagu-lagu suci sehingga orang-orang yang mendengarnya juga dapat mengharungi arus rohani yang melandanya. 

Pada ketika itu, orang-orang Hyderabad menjemput Swamiji untuk melawat bandar mereka. Beliau menerima jemputan itu dengan harapan itu mesti mempunyai suatu maksud tertentu. Apabila beliau turun di stesen keretapi Hyderabad, lebih lima ratus orang sedang menantinya. Ramai orang kenamaan, intelektual dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan turut hadir untuk menjemput Swamiji.

Ketika berada di Hyderabad, Swamiji dijemput untuk memberi sebuah ceramah di Kolej Mahaboob. Beliau bercakap tentang hasrat dan misinya untuk pergi ke negara Amerika Syarikat. Lebih seribu orang mendengar ceramah ini. Setelah mendengar rancangannya, ramai orang menjanjikan wang untuk perjalanannya. Swamiji juga melawat beberapa tempat utama di Hyderabad seperti kubu Golconda, Charminar, Falaknama, Bashirbagh, dan istana-istana lama.

Selepas tujuh hari di Hyderabad, Swamiji kembali ke Madras. Kali ini, lebih seribu orang telah berkumpul di stesen keretapi Hyderabad untuk memberi salam perpisahan kepada beliau.

Dalam bulan Mac dan April 1893, operasi mengumpul derma untuk pelayaran Swamiji bermula di Madras. Alasinga Perumal dan beberapa orang kawannya, pergi dari rumah ke rumah untuk mengutip derma daripada golongan rakyat biasa dan miskin. Swamiji telah memberitahu pengikut-pengikutnya, “Jika itu kehendak Ibu bahawa saya harus pergi, saya akan dapat wang daripada orang ramai! Ini kerana perjalanan saya ke Barat adalah untuk rakyat biasa dan golongan miskin di negara ini!”  

Pada pertengahan bulan April 1893, Jagmohanlal, Setiausaha Peribadi Raja Ajit Singh, datang dengan tiba-tiba untuk berjumpa Swamiji. Dua tahun dahulu, ketika Swamiji berada di Khetri, Raja Ajit Singh telah meminta restu Swamiji agar dirinya dikurniakan dengan cahaya mata. Kini, seorang putera telah lahir untuknya. Oleh itu, Ajit Singh telah menghantar Jagmohanlal untuk membawa Swamiji ke Khetri bagi merestui puteranya. Walaupun ketika ini Swamiji sedang sibuk dengan persiapan bagi pelayaran ke Amerika, beliau bersetuju dengan pujukan Jagmohanlal. Pengikut-pengikut Swami di Madras, dengan pilu menghantar Swamiji ke stesen keretapi.

Raja Ajit Singh
Swamiji sampai di Khetri pada 21 April 1893. Istana Khetri dan seluruh bandar itu telah dihiasi untuk menyambut kelahiran putera mereka. Muzik dan nyanyian kedengaran di semua arah. Raja Khetri meniarap di hadapan Swamiji untuk mendapatkan restunya. Kemudian, Raja memperkenalkan Swamiji kepada orang-orang keutamaan dalam majlis itu. Swamiji juga merestui putera baru Khetri, Jai Singh.  
 
Ketika tinggal di Fateh Vilas (istana Khetri), Swamiji menerima jemputan untuk  mendengar persembahan muzik seorang penyanyi wanita. Swamiji menolak jemputan itu atas alasan itu bertentangan dengan prinsip hidup seorang Sannyasi. Keengganan Swamiji, melukakan hati penyanyi itu. Dia meluahkan perasaannya dengan menyanyikan sebuah lagu Surdas, seorang penyair Vaishnava. Dalam suasana malam yang hening, suara lunak wanita itu memenuhi kawasan istana.

Wahai Tuhan, jangan lihat pada sifat jahatku.
Bukankah nama-Mu, Wahai Tuhan, Yang Saksama?
Seketul besi berada di dalam arca di kuil,
Dan seketul lagi, dalam pisau di tangan penyembelih;
Tetapi pabila kedua-duanya menyentuh batu nikmat,
Kedua-duanya bertukar menjadi emas.

Air suci di sungai Jamuna
Air kotor dari longkang;
Namun kedua-duanya menjadi suci
Pabila bersatu dengan sungai Ganga.
Jadi, Tuhan, jangan lihat pada sifat jahatku!
Bukankah nama-Mu Yang Saksama?

Mendengar lagu ini, Swamiji teringat bahawa sebagai seorang Sannyasi, beliau harus melihat segala-galanya dengan sama rata kerana Tuhan adalah intipati segala-galanya. Swamiji juga sedar perbuatannya telah melukakan hati wanita itu. Tanpa berfikir panjang, Swamiji bergegas ke dewan muzik dan meminta maaf daripada wanita itu. 
 
Fateh Vilas (kini dikenali sebagai Vivekananda Smriti Mandir)
Swamiji menghabiskan hampir tiga minggu di Khetri. Kebanyakan masanya, beliau berbincang dengan Raja Ajit Singh mengenai pelbagai perkara. Pada 10 Mei 1893, beliau bertolak dari Fateh Vilas ke Bombay. Sebelum mengucap selamat tinggal kepada Swamiji, Raja Ajit Singh menghadiahkan Swamiji pakaian yang mahal, serban sutera berwarna jingga, wang perbelanjaan, tiket kelas pertama kapal S.S.Peninsular. Ajit Singh juga menghantar Jagmohanlal untuk menemani Swamiji sehingga beliau menaiki kapal laut. Pada masa ini juga Swamiji, akhirnya menukar namanya kepada “Vivekananda” atas permintaan Ajit Singh.

Swami Vivekananda dan Jagmohanlal berhenti di Jalan Abu dan bermalam di rumah seorang pekerja stesen keretapi. Kebetulan, Swami Brahmananda (Rakhal) dan Swami Turiyananda (Hari) sedang tinggal di kawasan berdekatan. Mendengar kehadiran Swamiji, mereka datang berjumpa beliau dengan menaiki sebuah kereta lembu. “Oh, kamu datang dengan kereta lembu? Adakah mereka memberi kamu alas serami untuk kamu duduk?” Apabila mereka menjawab "tidak", Swamiji memarahi mereka. “Dungu! Kalau kamu telah memberinya beberapa syiling, tentu pemandu kereta lembu telah menyediakan tempat duduk yang selesa.”


                
         Swami Brahmananda                              Swami Turiyananda

Sebelum meninggalkan Jalan Abu, Swamiji menasihati Turiyananda. “Biar Rakhal bersendirian. Balik ke Biara Baranagore. Buat kerja Mahaguru dan cuba untuk membangunkan Biara kita.” 

Kemudian, Swamiji memberitahu mereka, badannya menggeletar dengan penuh perasaan, “Sekarang saya telah merantau seluruh India…. Malangnya, saudara-saudara, saya rasa terseksa untuk melihat dengan mata saya sendiri, kemiskinan dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat. Saya tidak dapat menahan air mata saya! Sekarang saya yakin sepenuhnya bahawa adalah sia-sia untuk mengajar agama kepada mereka tanpa mencuba untuk membasmi kemiskinan dan penderitaan mereka dahulu. Untuk sebab inilah – untuk mencari lebih banyak jalan untuk menyelamatkan orang-orang India yang miskin – sekarang saya sedang pergi ke Amerika.”



No comments:

Post a Comment