Tuesday 25 March 2014

7. PENDERITAAN

Pada tahun 1884, ketika berumur dua puluh satu tahun, Narendra menamatkan pengajian Sarjana Muda Sastera. Sama seperti bapanya, dia juga ingin menjadi seorang peguam. Dia mendaftar untuk kursus undang-undang di Institusi Metropolitan dan berhasrat untuk meneruskan pengajian undang-undang di England. Bapanya juga bersetuju dengan idea ini. Ketika ini, seorang kenalan bapanya membawa satu lamaran perkahwinan untuk Narendra. Bapa si gadis berjanji untuk menghantar Narendra ke England sebagai mas kahwin. Dengan tegas, Narendra menolak lamaran itu.

Pada suatu hari dalam bulan Februari 1884, Narendra telah pergi ke sebuah majlis di rumah kawannya di Baranagore. Selepas bernyanyi, menari dan makan malam bersama-sama kawan-kawannya, dia sedang bersembang dengan riang. Lebih kurang pukul 2 pagi, seorang kawannya bernama Hemali datang dengan tiba-tiba. Khabar yang dibawanya menukar hidup Narendra dalam sekelip mata. Bapa Narendra telah meninggal dunia disebabkan sakit jantung. Dengan menahan air matanya, Narendra bergegas ke rumahnya. Ibu dan saudara-saudarinya sedang duduk mengelilingi jasad bapanya. Sebagai anak lelaki sulung, Narendra melakukan segala upacara kematian bapanya.

Sebelum tempoh berkabung untuk bapanya tamat, satu masalah besar yang berlanjutan sehingga akhir hayat Narendra, bermula. Vishwanath Datta, walaupun telah bekerja bertungkus-lumus sepanjang hayatnya, tidak pernah menyimpan apa-apa untuk keluarganya. Apa yang tinggal cuma hutang sekeliling pinggang. Beberapa orang saudara-mara yang berada di rumah agam nenek-moyang mereka, telah menggunakan nama Vishwanath untuk berhutang. Selama ini, mereka telah hidup bergantung pada Viswanath. Kini dengan melupakan budi, mereka bermusuhan dengan isteri dan anak-anak Vishwanath. Malah, mereka juga mencuba untuk menghalau Narendra bersama-sama ibu dan adik-beradiknya dari rumah agam nenek moyang mereka. Lanjutan ini, Narendra memulakan tindakan mahkamah untuk mendapatkan hak mereka.  

Seminggu selepas kematian bapanya, Narendra melawat Sri Ramakrishna di Dakshineswar. Tangan Sri Ramakrishna yang telah tercedera dibalut dengan splin. Narendra, Surendra, Mahendra dan beberapa orang lain sedang duduk di atas lantai mendengar kata-kata Sri Ramakrishna. Kebiasaannya, Sri Ramakrishna akan meminta Narendra untuk bernyanyi. Pada hari itu, beliau meminta orang lain untuk bernyanyi. Dari semasa ke semasa, beliau melihat wajah Narendra dengan penuh kasih.

Kemudian, Sri Ramakrishna sendiri menyanyikan rangkap ini:

         Kau menyebabkan keagungan dan keaiban, pahit dan manis,
         Dunia ini hanya sekadar permainan-Mu,
         Jadi mengapa, O Yang Penuh Kebahagiaan, 
         Kau membawa persengketaan di dalamnya?

Sri Ramakrishna berkata: “Terdapat tiga kelas pemuja. Mereka dari kelas paling rendah berkata, ‘Tuhan berada di atas sana,’ lalu menunding ke syurga. Pemuja kelas pertengahan berkata bahawa Tuhan berada dalam hati sebagai ‘Pengawal Dalaman’. Pemuja kelas tinggi pula berkata: 'Tuhan yang telah menjadi segala-galanya. Semua yang kita lihat ialah pelbagai rupa Tuhan.’ Narendra sering mentertawakan saya dan berkata: ‘Ya, Tuhan telah menjadi segala-galanya! Jadi periuk ni ialah Tuhan, cawan ialah Tuhan!’

“Semua keraguan hilang apabila seseorang melihat Tuhan. Mendengar tentang Tuhan dan melihat-Nya adalah dua perkara yang berbeza. Hanya dengan mendengar sahaja, seseorang manusia tidak boleh pasti seratus peratus. Jika dia melihat Tuhan dengan matanya sendiri, barulah dia benar-benar percaya.

“Badan wujud hanya untuk masa yang pendek. Hanya Tuhan adalah benar. Jasad wujud sekejap, dan sekejap lagi, tidak wujud. Beberapa tahun dahulu, saya sedang menderita akibat mulas perut. Hriday berkata kepada saya, ‘Berdoalah kepada Ibu untuk menyembuhkan kamu.’ Saya berasa malu untuk bercakap tentang kesakitan saya kepada Ibu. Saya berkata kepada-Nya: 'Ibu, saya pernah melihat satu rangka di Muzium Persatuan Asia. Rangka itu telah ditembusi dengan wayar untuk dijadikan rangka manusia. Wahai Ibu, tolonglah simpan badan saya seperti rangka itu agar saya dapat menyanyikan nama dan keagungan-Mu.’

“Mengapa wujud keinginan untuk hidup? Selepas kematian Ravana, Dewa Rama dan Lakshmana memasuki ibu negara Ravana. Mereka melihat Nikasha, ibu Ravana yang sudah tua, melarikan diri. Lakshmana berasa kagum. Dia berkata kepada Rama, ‘Semua anaknya telah mati. Namun, dia masih mempunyai keinginan untuk hidup!’ Rama memanggil Nikasha dan berkata: ‘Jangan takut. Mengapa ibu melarikan diri?’ Nikasha menjawab: ‘Rama, saya bukan berlari dalam ketakutan. Saya dapat melihat semua perbuatan hebat-Mu hanya kerana saya masih hidup. Saya akan melihat banyak lagi perkara begini, jika saya  hidup lama. Oleh itu, saya mahu hidup.’"

Sri Ramakrishna meneruskan, “Suka dan duka yang dialami oleh badan tidak boleh dielakkan. Lihat Narendra. Bapanya telah meninggal dunia, dan keluarganya berdepan dengan penderitaan. Dia tidak dapat mencari jalan penyelesaian. Tuhan meletakkan seseorang ada kalanya dalam kegembiraan dan ada kalanya dalam penderitaan.”

Trailokya berkata, “Tuhan akan memberkati Narendra, tuan.”

Sri Ramakrishna menjawab dengan senyuman: “Bila tu? Memang benar tidak ada orang yang kelaparan di kuil Annapurna di Benaras. Namun, masih ada orang yang terpaksa menunggu sehingga petang untuk memakan.

 “Orang yang mempunyai wang harus memberikannya kepada orang miskin dan papa kedana. Jaygopal Sen seorang kaya. Dia harus bersedekah. Malangnya, dia tidak berbuat begitu. Walaupun kaya, ada juga orang yang sangat kedekut. Entah siapa yang akan menikmati wang mereka selepas kematian mereka.

Kelmarin, Jaygopal datang ke sini. Dia datang dengan menaiki sebuah kereta pedati. Lampu pedati telah pecah. Kudanya kelihatan seperti baru keluar dari tempat menyimpan mayat. Pemandu pedati pula nampaknya baru dilepaskan dari Hospital Kolej Perubatan. Dia memberikan saya dua biji buah delima yang busuk!”

Selepas mendengar Sri Ramakrishna, Narendra kembali ke rumahnya. Pertama kali dalam hidupnya, dia berdepan dengan realiti hodoh dunia ini. Selama ini, dia telah hidup dalam keselesaan. Kini, dengan perut kosong dan kaki yang lesu, dia terpaksa mengetuk pintu pejabat-pejabat di Kolkata meminta kerja. Di semua tempat, dia hanya menemui kegagalan. Dia tidak mendapat sebarang pekerjaam untuk menyara keluarganya. Makin hari kemiskinan mula mencekik mereka. Pengalaman ini mengajarnya bahawa rasa simpati tanpa kepentingan diri adalah sesuatu yang sukar ditemui. Dunia ini bukan untuk orang yang miskin atau lemah.

Adakalanya, pada waktu pagi, Narendra akan mendapati makanan di rumahnya tidak cukup untuk semua orang. Oleh itu, dengan berbohong kepada ibunya bahawa dia mendapat jemputan makan tengah hari di rumah kawan, dia akan keluar. Pada hari-hari begitu, sepanjang hari dia terpaksa mengikat perut. Martabatnya tidak membenarkannya menceritakan hal ini kepada sesiapa pun. Kadang-kadang, kawan-kawannya yang kaya menjemput Narendra untuk bernyanyi di rumah mereka. Narendra tidak dapat menolak jemputan mereka, dan terpaksa bernyanyi untuk menghiburkan mereka. Dia tidak pernah berkongsi dengan sesiapa pun tentang keadaannya. Sesiapa pun tidak bertanya macam mana dia sedang menguruskan diri dan keluarganya. Melihat keadaannya yang sedih dan pucat, kadang-kadang seorang dua akan bertanya sebab. Entah bagaimana, seorang kawannya berjaya mengetahui rahsianya. Tanpa pengetahuan Narendra, dia menghantar duit kepada Bhuvaneshwari Devi beberapa kali.

Beberapa orang kawan lamanya, apabila mengetahui tentang kemiskinan Narendra, cuba untuk menariknya ke jalan maksiat. Seorang janda muda yang kaya juga cuba menggoda Narendra dengan janji untuk membebaskannya daripada belenggu kemiskinan. Narendra dengan rasa jijik menjawabnya:

“Selama ini, kamu telah hidup dengan sia-sia dengan mencari nikmat tubuh. Bayangan hitam maut berada di depanmu. Sudahkah kamu melakukan sesuatu untuk menghadapinya? Lepaskan semua keinginan kotor begini dan fikirkan tentang Tuhan!”

Meskipun berhadapan dengan segala penderitaan ini, Narendra tidak pernah hilang kepercayaannya kepada Tuhan. Setiap pagi, selepas bangun, dia mengulangi nama Tuhan sebelum keluar mencari pekerjaan. Pada suatu pagi, Bhuvaneshwari Devi yang terdengar anaknya berdoa, berkata dengan pedih: “Diam, nak! Kamu berdoa sejak kecil lagi. Apa yang Dia telah lakukan untuk kamu?”

Kata-kata ibunya menyengat Narendra. Dengan pedih, dia mula berfikir: “Adakah Tuhan benar-benar wujud? Kalau Dia wujud, adakah Dia mendengar doa yang ikhlas? Mengapa saya tak pernah mendapat jawapan untuk doa saya? Jika benar Tuhan Maha Pengasih, mengapa dunia ini penuh dengan kejahatan? Mengapakah syaitan bermaharajalela dalam dunia Tuhan Maha Pengasih? Meskipun Tuhan wujud, nampaknya Dia mesti pekak atau Dia tidak peduli dengan doa manusia.”  

Narendra mula meragui kewujudan Tuhan. Dengan terang-terang, dia mula mengutuk Tuhan dan menyuarakan pendapatnya bahawa dia tidak percaya kepada Tuhan yang tidak mendengar tangisan manusia. Ketika ini, dia juga berhenti melawat Sri Ramakrishna.  

Lanjutan daripada ini, khabar angin mula tersebar bahawa Narendra telah menjadi seorang kafir. Ini ditokok tambah dengan fitnah bahawa dia juga telah menjadi kaki arak dan sedang hidup berfoya-foya. Beberapa orang pengikut Sri Ramakrishna, yang selama ini berkawan dengan Narendra juga mempercayai cerita-cerita itu. Mendengar semua fitnah ini, Narendra berasa hampa bahawa orang boleh mempunyai pandangan yang begitu serong terhadapnya. Dia juga berasa amat terluka memikirkan bahawa Sri Ramakrishna juga kemungkinan mempercayai cerita-cerita bohong mengenai dirinya. “Biarlah beliau juga berfikir begitu. Jika beliau juga percaya pada semua ini, apa yang saya boleh buat? Pendapat baik buruk orang lain tidak ada sebarang makna,” fikirnya. Namun, Narendra tidak perlu khuatir mengenai gurunya.

Sri Ramakrishna mempunyai kepercayaan kuat terhadap Narendra. Beliau memberitahu orang-orang yang membawa tomohan tentang Narendra, “Saya kenal Narendra. Dia tidak akan mengambil langkah yang salah. Saya memberi amaran kepada sesiapa yang mengkritik Narendra! Jangan datang ke sini lagi! Mengutuk Narendra adalah sama seperti mengutuk Dewa Siva!” Beliau juga berkata, “Jangan cuba untuk menilai Narendra. Sesiapa pun tidak akan memahaminya dengan penuh.”

Musim tengkujuh bermula. Narendra masih tidak dapat sebarang pekerjaan. Pada suatu malam, selepas sehari mencari kerja, dia sedang pulang ke rumah apabila hujan lebat turun. Penat, lapar dan basah kuyup, dia langsung tidak dapat mengambil walau selangkah pun. Akhirnya, dia rebah di halaman sebuah rumah. Pelbagai imej dan idea terlantas dalam fikirannya. Sebentar kemudian, semua imej dan idea itu hilang. Pertama kali sejak kematian bapanya, fikirannya menjadi tenang. Dia bangun dan mula meneruskan perjalanan ke rumahnya. Akhirnya, Narendra sedar tujuan hidupnya bukan untuk mencari duit, menjaga keluarga, atau mencari nikmat dunia ini seperti manusia biasa. Tidak. Dia mempunyai destinasi yang lebih bermakna. Dia akan menjadi seorang Sannyasi seperti Buddha. Dia akan memutuskan segala tali persaudaraan duniawi dan memulakan perjalanannya untuk mencari Kebenaran.    

Narendra mula melakukan persediaan untuk menjadi seorang Sannyasi dan menetapkan satu hari untuk meninggalkan rumahnya tanpa memberitahu sesiapa pun. Pada hari yang ditetapkan, dia menerima khabar bahawa Sri Ramakrishna telah datang ke Kolkata. Narendra yakin bahawa itu adalah satu petanda baik. Dia mahu mendapatkan restu gurunya sebelum pergi. Dengan fikiran ini, Narendra berjumpa dengan Sri Ramakrishna. Sebelum dia sempat berkata apa-apa, Sri Ramakrishna mengarahkannya, “Kamu mesti datang ke Dakshineswar bersama-sama saya. Sekarang juga!” Seperti biasa, Narendra tidak dapat menolak kehendak gurunya. Dengan senyap, dia mengikut beliau.

Apabila sampai di Dakshineswar, Sri Ramakrishna memegang tangan Narendra dan bernyanyi dengan air matanya mengalir di pipi:

Saya khuatir untuk bercakap,
Saya khuatir untuk berdiam,
Kerana hatiku berasa takut,
Yang aku akan kehilanganmu Rai…

Narendra tidak dapat mengawal perasaannya lagi. Air matanya juga mengalir. Pada malam itu, selepas semua orang keluar dari kamarnya, Sri Ramakrishna berkata: “Naren, saya tahu kamu telah lahir demi Tuhan. Kamu tidak boleh hidup seperti manusia biasa. Namun, tinggallah bersama-sama keluargamu selagi saya masih hidup. Jangan lakukan sesuatu dengan terburu-buru.”
                                                                                                                    Keesokan harinya, Narendra kembali ke Kolkata dan meneruskan usaha mencari pekerjaan. Akhirnya, dia mendapat kerja sambilan di sebuah firma peguam. Gaji yang diperolehinya cukup sekadar makan minum keluarganya sahaja. Dengan hati yang tenang, dia meneruskan hidupnya dan menziarahi Sri Ramakrishna seperti biasa.

NARENDRA MENERIMA IBU YANG MAHA ESA
Pada suatu hari, Narendra teringat tentang kekuatan doa Sri Ramakrishna. Dia percaya sekiranya beliau berdoa untuknya, maka masalah kewangannya akan selesai. Oleh itu, Narendra bergegas ke Dakshineswar untuk mengajukan rayuannya. Sri Ramakrishna berkata dengan tegas: “Saya tak boleh berdoa untuk wang. Mengapa kamu tak nak berdoa sendiri? Kamu enggan mengakui Ibu Yang Maha Esa, jadi kamu merana begini. Malam ini pergilah ke kuil-Nya dan berdoa. Ibu akan mengabulkan doa kamu.” 

Narendra seorang ahli Brahmo Samaj yang tidak percaya kepada penyembahan berhala. Namun, mendengar kata-kata Sri Ramakrishna, dengan penuh harapan dia pergi ke kuil pada malam itu. Hatinya mula berdebar-debar dan kakinya terhuyang-hayang. Dengan sepenuh hati, dia percaya bahawa dia akan melihat Tuhan dan mendengar suara-Nya. Sampai di hadapan imej Dewi Bhavatarini, dia berdoa – Ibu, berikan aku daya pertimbangan antara baik dan buruk! Berikan aku semangat pelepasan! Berikan aku ilmu dan iman!”

Dengan hati yang tenang, Narendra kembali ke kamar Sri Ramakrishna. Beliau bertanya, “Kamu dah berdoa ke untuk keperluan keluarga kamu?” Narendra terperanjat dengan soalan itu. “Tidak, tuan, saya lupa,” katanya. Beliau berkata, “Baiklah, pergi balik dan berdoa.” Sekali lagi, Narendra kembali ke kuil dan sekali lagi dia melupakan segala-galanya tentang keluarga dan dunia ini. Hatinya penuh dengan iman dan dia berdoa hanya untuk ilmu dan iman.

Apabila dia kembali ke kamar Sri Ramakrishna, beliau bersenyum, “Macam mana, sekarang?” Sekali lagi Narendra tersentak dengan soalan itu, dan berkata dengan bingung, “Tidak tuan, sebaik sahaja saya melihat Ibu, saya melupakan segala-galanya.” Sri Ramakrishna kelihatan marah. “Budak bodoh! Tak bolehkah kamu mengawal diri sedikit dan berdoa untuk keluarga kamu? Balik dan beritahu Ibu apa yang kamu mahu, cepat!”


Untuk kali ketiga, Narendra menuju ke kuil Dewi Bhavatarini. Sebaik sahaja dia berada di hadapan imej Ibu, dia berasa amat malu. “Saya nak minta Tuhan benda yang remeh-temeh! Seperti meminta buah peria dan labu daripada seorang raja!. Memang bodoh! Adakah saya hanya seorang yang berfikiran kecil begini?” Narendra menunduk di hadapan Dewi berkali-kali denagn perasaan malu dan kesal. Kali ini, dengan bersungguh-sungguh, dia berdoa, ‘Ibu, saya tak mahu apa-apa kecuali ilmu dan iman.”

Narendra kembali ke kamar Sri Ramakrishna. Dia sedar bahawa kejadian yang berlaku adalah muslihat gurunya untuk membuka matanya. Oleh itu, dia mendesak dan merayu kepada beliau. Akhirnya, Sri Ramakrishna berkata: "Baiklah – keluarga kamu tidak akan kekurangan makanan yang sederhana dan pakaian yang biasa.”

Selepas peristiwa ini, Narendra berhenti mempersenda amalan agama Sri Ramakrishna. Selama ini, dia sering mengejek Sri Ramakrishna kerana beliau menyembah berhala Dewi Kali. Hanya manusia yang berfikiran cetek mengehadkan kuasa dan keagungan Tuhan. Tuhan Yang Maha Berkuasa boleh mengambil apa-apa rupa dan aspek yang berlainan. Baik dan buruk, cantik dan hodoh, kuat dan lemah, segala-galanya adalah aspek berlainan Tuhan. Pengalaman pahit hidup telah mengajar Narendra untuk menerima aspek Tuhan yang digambarkan oleh Dewi Kali. Perubahan pada Narendra, menyebabkan Sri Ramakrishna amat gembira.
Betapa hebatnya kasih Sri Ramakrishna untuk Narendra! Pada suatu hari, seorang kaya telah datang berjumpa dengan beliau. Beliau memberitahu pengikut itu, “Tengok, bapa Naren telah meninggal dunia. Keluarganya kini kebuluran. Sekarang adalah masa untuk membantunya.” Narendra yang terdengar perbualan ini berasa amat malu. Selepas orang kaya itu beredar, dia menyoal gurunya, “Mengapa tuan memberitahunya mengenai keadaan saya?” Sri Ramakrishna menjawabnya dengan linangan air mata, “Naren, kamu tak tahu ke saya akan lakukan apa sahaja untuk kamu? Untuk kamu, saya sanggup mengemis dari rumah ke rumah.”

Mendengar kata-kata ini, Narendra sedar tentang kasih gurunya. “Apa yang manusia tahu tentang cinta? Mereka hanya tahu berpura-pura untuk kepentingan diri sendiri. Hanya Sri Ramakrishna seorang sahaja yang menyayangi kita sepenuhnya tanpa sebarang motif,” fikirnya.

Tidak lama selepas ini, Narendra ditawarkan jawatan pengetua di sebuah sekolah. Dia bekerja di sekolah itu selama tiga atau empat bulan. Oleh sebab dia perlu bersedia untuk menghadapi peperiksaan undang-undang, dia terpaksa meletakkan jawatan itu.




No comments:

Post a Comment