Monday 24 March 2014

14. LAWATAN KE SELURUH AMERIKA

Selepas kejayaan dalam Parlimen Agama-Agama Dunia, kehidupan Swami Vivekananda memasuki satu tahap baru. Daripada seorang fakir miskin, beliau menjadi seorang penceramah yang popular. Ke mana sahaja beliau pergi, beliau bertemu dengan orang-orang yang datang kepadanya, seolah-olah mereka ialah sanak-saudaranya sendiri. Ramai orang Amerika yang kaya dan berbudaya tinggi menjemputnya untuk menjadi tetamu mereka. 

Swamiji berada di Chicago selama beberapa bulan. Beliau menggunakan peluang itu untuk melawat muzium, universiti, sekolah, dan galeri seni, untuk cuba memahami budaya dan kehidupan di Amerika. Beliau  juga diperkenalkan dengan pelbagai golongan masyarakat Amerika dan juga ahli-ahli sains, falsafah, dan seniman-seniman terkenal zaman itu.

Robert Ingersoll
Robert Ingersoll ialah seorang agnostik dan ahli pidato terkenal. Dalam satu perbualan dengan Swamiji, Ingersoll memberi amaran. “Lima puluh tahun dahulu, tuan tentu sudah digantung mati jika tuan datang untuk memberi ceramah agama di negara ini. Mungkin tuan telah dibakar hidup-hidup. Jadi tuan mesti berjaga-jaga ketika mengajar sesuatu fahaman atau doktrin baru di negara ini,” kata Ingersoll.

Seperti yang dikatakan Ingersoll, memang adakalanya Swami Vivekananda menghadapi situasi yang rumit di Amerika Syarikat. Pada zaman itu, golongan berkulit putih memandang rendah pada orang-orang Asia dan Afrika. Beberapa kali, apabila Swamiji pergi ke kedai tukang rambut, beliau dihalau keluar kerana warna kulitnya. Adakalanya semasa beliau berjalan-jalan di kota, budak-budak nakal mengekorinya. Beberapa golongan yang iri hati dengan kejayaan dan kepopularan beliau cuba untuk membunuh beliau dengan membubuh racun ke dalam minumannya! Swamiji menghadapi semua ini tanpa berputus asa. Beliau tahu bahawa tanpa usaha dan dugaan, tidak ada kerja hebat yang boleh dilakukan.

Emma Calve
Swamiji juga berkenalan dengan Emma Calve, seorang penyanyi opera terkenal. Pada suatu hari, Swamiji sedang bercakap tentang teori jelmaan semula dan keabadian, apabila Emma Calve menyahut: “Saya tak tahan dengan idea itu. Saya memegang pada keindividuan saya, meskipun ia tidak penting. Saya tidak mahu diserap ke dalam satu penyatuan abadi. Malah, fikiran itu sahaja menakutkan saya.”

“Pada suatu hari setitik air hujan jatuh ke dalam laut yang luas,” jawab Swamiji. “Apabila titikan air mendapati dirinya di situ, dia mula menangis dan bersungut sama seperti kamu. Laut yang besar mentertawakan titisan air itu. ‘Mengapa kamu menangis?’ laut bertanya. ‘Saya tak faham. Apabila kamu menyertai saya, kamu menyertai semua saudara dan saudari kamu, lain-lain titisan air yang membentuk saya. Kamu sendiri menjadi laut. Jika kamu mahu meninggalkan saya, kamu hanya perlu naik ke atas dengan sinaran matahari ke atas awan. Dari sana kamu boleh turun ke bawah sebagai titisan air kecil, sebagai satu rahmat dan restu kepada bumi yang haus.’”

John D.Rockefeller, seorang ahli kewangan yang kaya juga bertemu dengan Swamiji ketika ini. Rockefeller telah banyak mendengar tentang Swamiji daripada kawan-kawannya. Namun, beliau enggan dan tidak berminat untuk berjumpa dengannya. Pada suatu hari, beliau tidak dapat mengawal dirinya daripada berjumpa dengan Swamiji. Tanpa memberi salam, beliau memasuki bilik bacaan Swamiji. Namun, Swamiji tidak mengendahkan kehadirannya dan meneruskan dengan kerjanya. Beberapa minit kemudian, Swamiji mula menceritakan tentang kisah lampau Rockefeller dan berkata bahawa wang yang beliau telah kumpul adalah amanat Tuhan. Beliau juga menasihatkannya untuk melakukan kebaikan kepada dunia. Rockefeller berasa meradang kerana ada orang berani bercakap begitu kepadanya dan memberinya nasihat. Beliau meninggalkan bilik itu tanpa meminta diri. 

John Rockerfeller

Seminggu kemudian, sekali lagi beliau melulu masuk ke bilik bacaan Swamiji. Dengan angkuh, beliau mencampak sekeping kertas di atas meja Swamiji. Rockeffeller berkata, “Tengok, ini akan memuaskan hati anda! Anda boleh berterima kasih kepada saya untuknya!” Swamiji langsung tidak bergerak atau melihat muka Rockefeller. Beliau mengambil kertas itu dan membacanya. Kertas itu menyatakan tentang hasrat Rockefeller untuk memberi derma yang besar kepada sebuah institusi awam. Dengan tenang, Swamiji berkata: “Kamu yang harus berterima kasih kepada saya.” Peristiwa ini mengubah Rockefeller sama sekali. Beliau memulakan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemanusiaan di seluruh dunia. Tradisi yang dimulakan oleh Rockefeller masih diteruskan atas nama The Rockerfeller Foundation. 

Pada bulan November 1893, Swamiji meninggalkan Chicago. Sebuah Biro Ceramah telah mengatur ceramah-ceramah beliau di tempat-tempat lain seperti Iowa City, Memphis, Madison, Detroit, Boston, Cambridge, Washington dan sebagainya. Beliau menghantar wang daripada kutipan ceramah-ceramah ini kepada Puan Hale untuk di deposit ke dalam bank. Beliau bercadang untuk menggunakan wang itu untuk kerja-kerjanya di India kelak.

Swamiji bercakap dan memberi ceramah tentang pelbagai subjek, tetapi khususnya mengenai kerohanian, keagamaan, falsafah dan mengenai negara India. Beliau menyedarkan masyarakat Amerika bahawa agama bukan untuk kepuasan intelek, ia bukan doktrin atau ilmu dalam buku. Agama perlu diamalkan dan disedari. Beliau menegaskan bahawa tanpa agama, manusia cuma seekor haiwan liar.

Siang dan malam Swami Vivekananda bekerja untuk mengatur semula seluruh falsafah Vedanta agar ia menjadi lebih sistematik, moden, saintifik dan mudah difahami oleh semua orang. Semua agama-agama berlainan beliau kategorikan dibawah tiga tahap dalam falsafah Vedanta, iaitu Dvaita, Vishishtadvaita dan Advaita. Ketiga-tiga falsafah ini adalah menurut tiga tahap perkembangan rohani dalam manusia.

Swamiji mengajar orang Amerika pengajaran yang beliau telah perolehi daripada Sri Ramakrishna dan juga daripada pengalaman terus beliau sendiri. Beliau berkata, “Guru saya telah mengajar saya pelajaran ini ratusan kali, namun saya sering melupakannya. Segelintir orang memahami kuasa fikiran. Jika seorang manusia pergi ke dalam sebuah gua, dan menguncikan dirinya, dan memikirkan satu fikiran yang benar-benar hebat dan meninggal dunia, fikiran itu akan menembusi dinding gua itu, bergetar di angkasa, dan akhirnya akan meliputi seluruh umat manusia. Begitulah kekuatan fikiran; jadi jangan terburu-buru untuk memberikan fikiran kamu kepada orang lain. Mula-mula dapatkan sesuatu untuk diberi. Orang yang mempunyai sesuatu untuk diberi sahaja mengajar, kerana pengajaran bukan percakapan, pengajaran bukan memberikan doktrin-doktrin, ia adalah komunikasi. Kerohanian boleh dikomunikasikan sama seperti saya boleh memberikan kamu sekuntum bunga. Ini adalah benar secara literal.”

Orang Amerika mempunyai banyak anggapan yang lucu dan palsu tentang negara India. Kerap kali beliau terpaksa menjawap soalan-soalan yang tidak bernas. Seorang wanita bertanya kepada Swamiji: “Benarkah di negara tuan, ibu-ibu membuang bayi yang baru lahir pada buaya?” “Ya, puan!” beliau menjawap, “Mereka membuang saya ke dalam, tetapi seperti Jonah cerita dongeng kamu, saya keluar semula.”

Kepopularan Swami Vivekananda juga menarik ramai wanita-wanita kaya Amerika kepadanya. Beberapa orang wanita meminta untuk berkahwin dengan beliau. Beliau menjawab mereka dengan sopan, “Saya seorang sannyasi. Saya tidak ada kena-mengena dengan perkahwinan! Untuk saya semua wanita adalah sama seperti ibu saya!”

Pada suatu hari yang lain, Swamiji telah dijemput untuk berceramah kepada sekumpulan koboi di Midwest. Mereka pernah mendengar beliau bercakap tentang falsafah Vedanta bahawa orang yang telah menyedari Tuhan akan sentiasa tenang dalam apa-apa keadaan pun. Apabila beliau tiba, mereka membawanya ke sebuah pentas yang disediakan dengan tab mandi yang diterbalikan. Swamiji memulakan ceramahnya. Tiba-tiba, bunyi tembakan dan ledakan peluru yang memekak telinga kedengaran di sekeliling dan ia berterusan tanpa henti. Namun, Swamiji meneruskan ceramahnya dengan tenang. Akhirnya, koboi-koboi itu mengelilingi beliau dan mengesahkan bahawa beliau adalah “seorang lelaki yang sejati”. Sekiranya beliau menunjukkan walau sedikitpun rasa takut, tentu mereka telah memanggil beliau sebagai “pengecut”.

KHABAR DARI INDIA
Walaupun Swamiji giat menyebarkan idea-idea Vedanta di serata benua Amerika, hatinya masih berada jauh di Bengal Timur, bersama saudara-saudara segurunya. Sejak menjejak kaki di Amerika, beliau telah berutus surat kepada pengikut-pengikutnya, kecuali dengan saudara-saudara segurunya di Kolkata. Mereka juga menunggu berita daripadanya, malah pada mulanya mereka tidak percaya bahawa Swami Vivekananda yang terkenal di Amerika adalah Narendra mereka. Ada juga yang meragui bahawa mungkin Narendra telah melupakan mereka.

Pada 19 Mac 1894, Swamiji menulis kepada Swami Ramakrishnananda (Shashi). Kegembiraan dan keriangan mereka untuk menerima surat beliau memang tidak terhingga. Berulang kali mereka membaca suratnya, dan bercakap mengenainya selama berhari-hari. Kini mereka yakin Swami Vivekananda adalah Narendra mereka. Kini mereka yakin Narendra masih tidak melupakan mereka. Mereka juga berasa gembira kerana akhirnya kata-kata Sri Ramakrishna bahawa “Narendra akan mengajar” telah menjadi kenyataan.

Namun, surat-surat berikutnya yang Swami Vivekananda tulis kepada saudara-saudara segurunya mempunyai nada militan seorang pemimpin. Beliau memberi mereka arahan untuk keluar daripada kehidupan meditasi dan renungan mereka dan mula membanting tulang demi menyebarkan ajaran Mahaguru Sri Ramakrishna. Rahib-rahib yang selama ini hidup hanya untuk mendapatkan kesedaran Tuhan dan Nirvana untuk diri sendiri, kini diarahkan untuk melupakan tentang diri sendiri dan berfikir tentang orang lain. Swamiji mendesak mereka untuk bertindak dan bekerja demi penduduk negaranya yang miskin dan tertindas. 

“Saya sedang memberi kamu satu idea baru. Jika kamu boleh melakukannya, maka saya akan tahu kamu adalah lelaki sejati dan akan berguna…. Buat satu rancangan yang teratur. Beberapa buah kamera, beberapa peta, glob, dan sedikit bahan kimia, dan sebagainya diperlukan. Benda lain yang kamu perlu adalah sebuah pondok besar. Kamu mesti mendapatkan bersama sekumpulan orang yang miskin. Selepas melakukan semua ini, tunjukkan mereka gambar-gambar untuk mengajar mereka ilmu astronomi, geografi, dan sebagainya, dan ajar mereka tentang Sri Ramakrishna.”

Swamiji mendesak rahib-rahib Ramakrishna untuk mempelajari sastera-sastera agama berdasarkan kepada hidup dan ajaran Sri Ramakrishna: “Tanpa mempelajari hidup dan ajaran Ramakrishna Paramahamsa terlebih dahulu, seseorang tidak boleh memahami maksud sebenar Veda, Vedanta, Bhagavata dan Purana lain.”

Selain memberi ceramah dan memberi inspirasi melalui perbualan, Swamiji juga menulis ratusan surat kepada ramai orang yang dikenalinya.

PUAN SARA BULL
Pada musim bunga tahun 1894, Swami Vivekananda memberikan satu siri kelas-kelas falsafah Vedanta di Greenacre, Maine kepada sekumpulan pelajar-pelajar. Kelas-kelas ini diadakan di bawah sebuah pokok pain yang tua. Adakalanya, beliau terpaksa bercakap selama 7 hingga 8 jam sehari. Dalam kalangan pelajarnya ialah Puan Sara Bull iaitu isteri mendiang Ole Bull, seorang pemain violin Norway yang masyhur pada zaman itu. Puan Bull sendiri juga terkenal di Amerika dan Norway untuk aktiviti-aktiviti kemanusiaan dan kebudayaannya. Tertarik dengan falsafah Vedanta, beliau menjadi pengikut setia Swamiji dan menjemput beliau ke rumahnya di Cambridge.

Puan Sara Bull
Pada hujung tahun 1894, Swamiji memberikan ceramah dan perbincangan formal di rumah Puan Sara Bull di Cambridge. Atas permintaan khas Puan Bull, beliau memberikan satu ceramah bertajuk “Ideal Wanita India”. Beliau mengakhiri ceramah ini dengan mengakui bahawa apa sahaja kebaikan yang beliau lakukan, kehidupan rahib yang beliau telah pilih adalah disebabkan inspirasi yang beliau terima daripada kehidupan suci ibunya dan kasih ibunya yang tanpa kepentingan diri. Ceramah ini amat menyentuh hati wanita-wanita Amerika yang mendengarnya dan tanpa pengetahuan Swamiji, mereka menghantar sepucuk surat kepada ibu beliau, Bhuvaneshwari Devi untuk mengucapkan terima kasih dan mengenang jasanya kepada dunia kerana melahirkan seorang Vivekananda.

No comments:

Post a Comment