Thursday 20 March 2014

1. PENGENALAN



“Para saudara dan saudari Amerika!” Lima patah perkataan yang ringkas ini membangkitkan tujuh ribu orang. Sepanjang hari mereka telah duduk mendengar ramai penceramah memberi ucapan pengenalan. Lewat petang penceramah yang terakhir untuk hari itu tampil ke hadapan pentas. Perwatakannya menunjukkan seolah-olah dia memiliki seluruh dunia ini. Senyuman di muka kacaknya manis bagai kanak-kanak yang polos. Matanya besar dan bersinar-sinar. Pakaiannya turut menarik perhatian – baju labuh berwarna merah, serban jingga yang kemas menutupi rambutnya yang hitam. Suaranya kedengaran bagai muzik yang menyentuh kalbu. Mendengar ucapannya, ramai orang yang berada di dewan itu tersentak bangun daripada tempat duduk mereka dan bertepuk tangan. Mereka yang duduk di bahagian belakang, cuba berdiri di atas bangku untuk melihat insan yang telah menuturkan kata-kata itu – Swami Vivekananda.

Memang tiada apa yang hebat atau menarik dalam kata-kata “Para  saudara dan saudari Amerika”. Ia lahir daripada hati yang ikhlas dan penuh dengan keyakinan. Sebagai ciptaan Tuhan Yang Satu, setiap makhluk adalah bersaudara. Ini cuma sekadar kata-kata yang idealistik bagi kebanyakan orang. Bagi Swami Vivekananda, ini ialah satu realiti. Kisah Swami Vivekananda adalah mengenai kesungguhan seorang manusia untuk menyedari ideal ini dan menjadikannya satu realiti dalam hidupnya.

Bolehkah kisah Swami Vivekananda yang berlaku lebih seratus tahun dahulu membawa sebarang makna kepada kita dalam kurun ke-21 ini? Di mana sahaja wujud manusia yang ingin mengetahui rahsia kehidupan dan Kebenaran Yang Abadi, kisah Swami Vivekananda akan menjadi pedoman kepadanya. Beliau ialah seorang insan yang menjadi penunjuk jalan kepada manusia sejagat tanpa mengenal agama, bangsa dan negara. Malah, masa juga tidak dapat menyekat pengaruh dan kekuatan kata-katanya. Vivekananda berkata, “Kata-kata saya adalah jiwa dan hidup. Kata-kata ini akan menembusi benak kamu dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadanya.”




























No comments:

Post a Comment