Monday 24 March 2014

15. BERSAMA-SAMA PARA PENGIKUT

New York
Selepas kejayaan yang dicapainya sebagai seorang penceramah yang hebat, Swami Vivekananda mula berasa jemu dengan kemasyhurannya. Nama dan kemasyhuran tidak mempunyai apa-apa makna baginya. Beliau mahu pelajar-pelajar yang serius dan ikhlas untuk menerima ajarannya.

Oleh itu, pada hujung bulan Januari 1895, Swamiji berpindah ke satu kawasan yang miskin di Bandar New York dan menyewa sebuah bilik kecil. Beberapa orang pelajar yang berkemampuan, membayar sewa bilik itu. Swamiji mengatakan bahawa di negaranya seorang guru agama tidak menerima wang daripada pelajarnya. Seorang guru bertanggungjawap untuk menampung kelas dan pelajar-pelajarnya dan dia akan melakukan apa sahaja pengorbanan untuk membantu seorang pelajar yang tidak berkemampuan. Oleh itu, beliau mula mengajar ilmu rohani dan ilmu agama dengan percuma.

Swamiji juga seorang yang berpegang teguh pada pendirian bahawa ajaran rohani tidak patut dijadikan perniagaan. Oleh itu, walaupun ramai pelajarnya adalah kaya, beliau enggan menerima bayaran untuk kelas-kelasnya. Beliau berjaya mengumpul beberapa orang yang terpilih untuk menjadi pengikut setianya dengan mengajar di New York dari biliknya sendiri. Beliau berkata, “Adakah bila-bila masa dalam sejarah dunia, orang-orang kaya melakukan sesuatu kerja yang hebat? Hati dan akal yang sentiasa melakukannya. Bukan dompet.” 

Sejak permulaan kelas di New York, dua orang wanita kaya sering menghadiri kelas-kelas Swamiji yang diadakan pada pukul sebelas pagi, tiga kali seminggu. Pada suatu hari mereka membawa bersama seorang lelaki. Selepas Swamiji menamatkan kelasnya, lelaki itu tampil ke hadapan dan berkata: “Nama saya Francis Leggett. Saya harap tuan akan memakan malam bersama saya satu hari nanti.” Swamiji menerima jemputan itu. Sejak itu, Leggett dan dua orang wanita Amerika itu, Betty dan Josephine Macleod menjadi kawan baik Swamiji. 


Swamiji mengajar Josephine, “Sentiasa ingat ini. Secara kebetulan, kamu ialah seorang Amerika dan seorang wanita. Namun, selama-lamanya, kamu seorang anak Tuhan. Siang dan malam ingat siapa diri kamu. Jangan melupakannya.”

J.J.Goodwin
Agar ajaran Swamiji kekal abadi, Josephine mengupah seorang jurutrengkas mahkamah bernama Encik J.J.Goodwin. Goodwin berkebolehan untuk menulis dua ratus perkataan dalam seminit. Pada mulanya, beliau mengenakan bayaran yang tinggi.  Selepas seminggu mendengar dan merekodkan kata-kata Swamiji, Goodwin enggan menerima sebarang bayaran. Beliau berkata, “Jika Vivekananda memberikan hidupnya, saya sekurang-kurangnya boleh memberikan perkhidmatan saya.” Seperti bayang-bayang, Goodwin mengikut Swamiji dan mencatatkan kata-kata beliau.
Swamiji menekankan pelajar-pelajarnya menjalani kehidupan yang suci dan memakan makanan yang ringkas. Ini adalah penting bagi pelajar-pelajar yang melakukan meditasi. Swamiji berkata, “Kesucian dalam pemikiran, percakapan, dan perbuatan adalah amat penting untuk sesiapa yang ingin menjadi salih.”

Swamiji juga menasihatkan bahawa:  “Kita adalah apa yang dibentuk oleh fikiran kita. Jadi, berhati-hatilah dengan apa yang kamu fikirkan. Kata-kata cuma perkara kecil. Fikiran hidup dan merantau jauh. Setiap fikiran yang kita fikirkan adalah sebati dengan karakter kita sendiri. Jadi, bagi orang yang suci dan alim, gurau senda atau caci makinya juga akan mempunyai jalinan kasih dan kesuciannya sendiri dan itu membawa kebaikan.”

Dalam bulan Jun 1895, Swamiji berjaya menulis bukunya yang terkenal, Raja Yoga. Buku ini mendapat sambutan baik dan menarik perhatian William James, seorang ahli falsafah Harvard. Buku ini juga menjadi inspirasi kepada Tolstoy. 

Menjelang musim panas 1895, Swamiji sudah letih dengan mengadakan kelas. Rakan-rakannya mencadangkan agar beliau pergi ke kawasan peranginan untuk berehat. Cik Dutcher, salah seorang pelajarnya mempunyai sebuah rumah rehat di Thousand Island Park. Dia menjemput Swamiji untuk menghabiskan cuti musim panas di situ. Swamiji menerima jemputan itu dengan gembira. Pelajar-pelajarnya juga dijemput untuk bercuti bersama-samanya. 

Thousand Island Park, terletak di sebuah pulau di Sungai St. Lawrence, lebih tiga ratus batu dari New York. Kebiasaannya pulau ini digunakan untuk aktiviti-aktivit agama dan rohani sahaja. Oleh itu, semua aktiviti rekreasi lain adalah dilarang di sini. Swamiji sedar bahawa jika sesiapa sanggup mengikutnya ke sebuah tempat terpencil begitu, meninggalkan semua keselesaan hidupnya, orang itu layak menjadi pengikutnya. Dengan penuh harapan, Swamiji menantikan kedatangan mereka. 


Pondok Cik Dutcher
Cik Dutcher mula melakukan segala persediaan untuk menerima Swamiji di pondoknya. Malah dia juga melakukan pengubahsuaian kepada pondoknya untuk menambahkan saiz pondok itu. Pondok itu telah dibina di atas sebuah batu yang besar, di atas sebuah bukit. Kawasan di sekelilingnya penuh dengan pokok-pokok. Ini menyebabkan pondok itu terselindung di dalam sebuah hutan. Keadaan ini cukup sesuai untuk kehidupan renungan dan meditasi.  

Pada 18 Jun 1895, Swamiji tiba di Thousand Island Park. Sepuluh orang pelajarnya dari New York turut menyertainya di sini. Tanpa disangka, dua wanita baru juga telah datang dari Detroit. Mereka telah mendengar ceramah Swamiji di Detroit lebih setahun dahulu. Malangnya, mereka tidak berpeluang untuk berkenalan dengan beliau. Disebabkan Swamiji sering menjelajah ke seluruh Amerika, mereka tidak dapat menjejakinya. Mereka hampir putus harapan untuk berjumpa dengan Swamiji, dan berfikir kemungkinan beliau telah pulang ke India. Akhirnya, secara kebetulan, mereka mendapat tahu bahawa Swamiji akan berada di Thousand Island Park. Tanpa berlengah, mereka bertolak untuk mencarinya. Apabila mereka sampai di pulau itu, hari telah malam dan ianya sedang berhujan. Dalam sinaran lampu suluh penunjuk jalan mereka, dengan bersusah payah mereka berjaya mencari Pondok Cik Dutcher. Mereka mengumumkan kehadiran mereka dengan hati yang penuh debaran. Swamiji menerima mereka dengan senyuman dan menjemput mereka masuk ke dalam. Salah seorang daripada mereka ialah Cik Christine Greenstidel. Beliau menjadi salah seorang pengikut setia Swami Vivekananda. 

Swamiji dan dua belas orang pengikutnya berada di Thousand Island Park selama tujuh minggu. Beliau memulakan kelas pertama dengan Kitab Injil, kerana semua pelajar-pelajarnya adalah beragama Kristian. Selain itu, kitab-kitab Veda, Upanishad, kisah hidup Buddha dan pelbagai perkara agama dan rohani juga diajar dan dibincangkan. Kata-kata Swamiji ialah seperti batu permata, dan semua yang dikatakannya padan di antara satu sama lain seperti mozek yang cantik. Semasa bercakap beliau mungkin akan terlanjur jauh dari topiknya, tetapi beliau akan sentiasa kembali kepada perkara yang asas, yang penting – “Dapatkan Tuhan! Tidak ada perkara lain yang penting!”

Selepas Swamiji menceritakan kisah Sita, seorang pelajar bertanya kepada beliau, “Macam mana Swamiji melihat wanita-wanita yang cantik dan mahir dalam seni memikat hati?” Dengan tenang dan penuh serius Swamiji menjawabnya, “Jika wanita yang tercantik di dunia melihat saya dengan cara yang tidak sopan, dia akan dengan serta-merta bertukar menjadi katak hijau yang hodoh. Pasti orang tidak akan meminati katak!”

Cik S.Ellen Waldo, seorang pengikut Swamiji merakamkan percakapan beliau. Pada suatu hari Cik Waldo sedang membacakan catatannya kepada beberapa orang. Swamiji sedang berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu. Selepas pelawat-pelawat itu meninggalkan bilik itu, beliau bercakap kepada Cik Waldo: “Macam mana kamu dapat menangkap pemikiran dan percakapan saya dengan begitu sempurna? Saya rasa seolah-olah saya sedang mendengar percakapan saya sendiri.” Catatan yang diambil oleh Cik Waldo, kemudiannya diterbitkan sebagai ‘Inspired Talks’.


Sister Christine
Pada 6 Ogos 1895, Swamiji meninggalkan pulau itu dengan mengatakan: “Saya merestui Thousand Islands”. Tujuh minggu itu walaupun telah membawa yang terbaik daripada Swamiji, badannya kini memerlukan rehat. Dalam perjalanan balik ke New York, beliau tidur semalaman dalam keretapi walaupun pada satu ketika keretapi mengalami masalah enjin. “Saya langsung tidak tahu mengenainya,” Swamiji menulis kepada Saudari Christine. 

LAWATAN KE ENGLAND DAN EROPAH
Pada bulan Ogos 1895, Encik Francis Leggett membawa Swamiji ke Peranchis untuk menghadiri upacara perkahwinannya dengan Betty. Leggett seorang ahli perniagaan dan jutawan. Beliau telah menyewa sebuah bilik di Hotel Continental, sebuah hotel mewah di Peranchis. Vivekananda menerima layanan seperti seorang kerabat diraja di hotel itu. Beliau juga melawat muzium, gereja-gereja lama, istana-istana, galeri seni dan lain-lain tempat menarik di Peranchis bersama Leggett, Betty dan Josephine. Swamiji juga kagum dengan makam Napolean Bonaparte dan tempat-tempat memorialnya.

Dalam suasana dunia materialistik itu, Swamiji membawa bersama-samanya sebuah botol kecil yang mengandungi air suci Ganges. Melihat lautan manusia yang asyik dengan kehidupan duniawi yang penuh dengan perselisihan dan persaingan, beliau akan meminum setitik air Ganges dan merasakan dirinya menjadi tenang, seolah-olah beliau telah kembali ke pergunungan Himalaya.

Swamiji seterusnya bertolak ke England melalui keretapi. Beliau telah menerima jemputan untuk memberikan ceramah di negara itu. Encik Sturdy menjemputnya dari Stesen Keretapi Paddington, London dan membawanya ke rumahnya di Caversham. Selama enam minggu, Swamiji menjadi tetamu Encik Sturdy. Seperti kebiasaanya, di England juga beliau mengunjungi hampir setiap tempat-tempat bersejarah atau yang mempunyai nilai kesenian. Selain itu, beliau juga membantu Encik Sturdy untuk menguasai bahasa Sanskrit dan menterjemahkan buku Narada Bhakti Sutras ke dalam bahasa Inggeris.

Encik Sturdy dan beberapa orang lain mengaturkan ceramah pertama Swamiji di Prince Hall, London. Ceramah ini mendapat sambutan baik. Selama dua bulan beliau memberikan ceramah-ceramah umum dan perbincangan informal di rumah-rumah persendirian, beberapa buah kelab dan persatuan di London. Adakalanya kelas-kelas beliau menjadi penuh sesak sehingga wanita-wanita Inggeris bangsawan juga tidak kisah untuk duduk di atas lantai demi mendengar ucapan Swamiji. 

Kerja yang Swamiji mulakan di England cukup memuaskan hatinya. Di England juga, beliau mendapat tiga orang pengikut setianya, iaitu Kaptain dan Puan Sevier dan Cik Margaret Nobel. Selepas menyerahkan tugas meneruskan ajaran Vedanta di London kepada Encik Sturdy, Swamiji bertolak ke Amerika pada bulan November 1895.


KEMBALI KE AMERIKA
Swamiji kembali ke New York dan menyewa sebuah tempat untuk kediaman dan kelas-kelas beliau. Leon Landsberg, seorang pengikutnya yang telah mengambil ikrar rahib di Thousand Island Park, kini menjadi teman serumahnya. Hampir semua ceramah-ceramah ini telah dicatatkan oleh Encik Goodwin dan kemudiannya diterbitkan sebagai buku-buku.

Bagi meneruskan kerja-kerja penyebaran ajaran Vedanta dengan lebih teratur dan meluas, Swamiji menubuhkan Vedanta Society of New York. Beliau juga memberikan otoriti kepada pengikut-pengikut beliau di Amerika dan England untuk memulakan kelas-kelas Vedanta mengikut kemampuan masing-masing.

Ceramah-ceramah Swamiji di New York, telah dicatatkan oleh Encik J.J.Goodwin. Kemudian, ceramah-ceramah ini telah diterbitkan di bawah tiga tajuk utama iaitu Raja Yoga, Karma Yoga dan Bhakti Yoga. Pada Februari 1896, Karma Yoga di terbitkan di Amerika Syarikat. Raja Yoga diterbitkan di London pada 13 Julai 1896. Bhakti Yoga pula diterbitkan di Madras pada September 1896.  

Apakah sumbangan Swami Vivekananda kepada agama Hindu? Beliau sendiri menyatakan begini: “Untuk memberikan idea-idea agama Hindu dalam bahasa Inggeris. Kemudian membawa makna daripada falsafah-falsafah hambar, mitologi yang rumit dan psikologi yang pelik untuk menjadikan suatu agama yang senang, mudah, popular, dan pada masa yang sama memenuhi keperluan minda yang tinggi. Ia adalah satu tugas yang hanya boleh difahami oleh mereka yang telah mencubanya. Advaita yang abstrak mesti menjadi hidup – menarik – dalam kehidupan seharian. Nilai moral mesti lahir daripada mitologi yang rumit. Psikologi yang saintifik dan praktikal mesti lahir daripada amalan yoga yang membingungkan. Dan semua ini mesti dijadikan sesuatu yang kanak-kanak juga boleh memahami. Itu adalah tugas hidup saya.”

Hasil pemikiran yang intensif, Swami Vivekananda berjaya memberi makna baru dan asli kepada agama Hindu dan falsafah India. Beliau merupakan orang pertama yang menunjukkan bahawa falsafah Hindu adalah sebenarnya saintifik dan bahawa disebalik epik-epik dan mitologi Hindu, terdapat kebenaran yang hebat.

LAWATAN KEDUA KE ENGLAND
Pada 15 April 1896, Swamiji belayar dari New York ke Liverpool dengan kapal laut S.S.Germanic. Dari Liverpool, beliau kembali ke Reading dan menjadi tetamu Encik E.T.Sturdy. 


Swami Saradananda 
Atas permintaan Swamiji, seorang saudara segurunya, Swami Saradananda telah datang dari India. Adik Swamiji, Mahendranath Datta juga, ketika itu berada di London untuk belajar undang-undang. 

Sejak meninggalkan India, tiga tahun dahulu, inilah pertama kali, Swamiji bertemu dengan seorang saudara segurunya. Jadi, selama beberapa hari, mereka bercakap tentang perkembangan biara mereka di India. Swamiji juga mendapatkan maklumat tentang setiap ahli biara mereka. 

Ketika itu, biara mereka telah dipindahkan ke Alambazar. Swamiji mula merancang pelbagai strategi untuk membangunkan Biara Alambazar. Pada 27 April 1896, Swamiji menulis sepucuk surat yang panjang ke Biara Alambazar. Surat itu mengandungi segala arahannya untuk sebuah kehidupan biara. 

Selepas tinggal beberapa hari di Reading, Swamiji berpindah ke Southwest London. Encik Sturdy telah menyewa sebuah rumah kecil di 63, St. George's Road. Swamiji, Saradanandaji, Encik Mahendranath, Encik J.J.Goodwin, dan Encik John P. Fox tinggal di rumah ini. Kadang-kadang, Encik Sturdy juga tinggal bersama-sama mereka. Cik Muller juga sering melawat mereka.  

Swamiji memulakan kelas-kelasnya di London pada bulan Mei 1896. Dalam masa sebulan, kelasnya bertambah besar. Oleh itu, beliau memulakan tiga siri ceramah di sebuah dewan kuliah di Royal Institute of Painters in Water-Colours (juga dikenali sebagai Prince's Hall) di Piccadilly. Selain itu, Swamiji juga memberikan ceramah-ceramah di rumah-rumah persendirian dan kelab-kelab terkenal, seperti Sesame Club. 

Di London juga Swamiji menerima jemputan daripada London Hindu Association, sebuah pertubuhan bagi pelajar-pelajar India di Great Britain dan Ireland. Dalam satu persidangan yang dianjurkan oleh pertubuhan itu, Swamiji bercakap tentang 'The Hindus and Their Needs'.    

Pada suatu hari, ketika minum petang di taman Cik Muller, Swamiji bercakap. “Saya akan mempunyai banyak kerja yang susah untuk dilakukan dalam hidup ini. Berbanding dahulu, kali ini ada banyak lagi kerja untuk dilakukan. Kali ini saya akan bekerja sehingga ke saat akhir. Saya baru sahaja telah memulakan kerja saya. Di Amerika, saya telah membangkitkan hanya satu atau dua ombak. Satu ombak tidal mesti dibangkitkan. Masyarakat mesti diterbalikkan. Dunia mesti diberikan satu tamadun baru. Dunia akan memahami apakah Kuasa itu dan mengapa saya telah datang. Berbanding kuasa yang saya telah tunjukkan dahulu, kali ini sesuatu yang lebih besar akan berlaku.”

Semasa berada di London, Swamiji menerima jemputan daripada Professor Max Muller dari Universiti Oxford. Muller ialah seorang Orientalis yang terkenal. Beliau telah membaca kisah dan ajaran Sri Ramakrishna selama beberapa tahun. Oleh itu, beliau menjemput Swamiji untuk makan tengah hari di rumahnya pada 28 Mei 1896. Beliau juga membawa Swamiji ke Perpustakaan Bodlein dan beberapa buah kolej di Oxford.  Akhirnya, beliau menemani Swamiji ke stesen keretapi. “Bukan setiap hari seseorang boleh berjumpa dengan seorang pengikut Ramakrishna Paramahamsa,” katanya kepada Swamiji. 
 
Max Muller, 1898

Melihat kehidupan sederhana Professor yang berumur lebih tujuh puluh tahun itu di sebuah rumah kecil bersama-sama isterinya, Swamiji terkenang akan golongan Rishi zaman purba. Swamiji juga kagum dengan cinta Muller untuk India. “Apa yang anda sedang lakukan untuk memperkenalkan Sri Ramakrishna kepada dunia?” tanya Muller. “Jika anda boleh memberikan bahan, saya akan menulis sebuah buku mengenai Sri Ramakrishna.” Swamiji mendapatkan kata-kata dan fakta penting hidup Sri Ramakrishna dan menghantarnya kepada Muller. Dengan menggunakan bahan-bahan itu, Professor Max Muller menulis dan menerbitkan buku “Ramakrishna: His Life and Message”.


PERCUTIAN DI SWITZERLAND
Menjelang musim panas tahun 1896, Vivekananda menerima jemputan untuk bercuti di pergunungan Alps. Dengan girang beliau menyahut, “Oh, saya teringin untuk melihat salji dan merayau di pergunungan! Saya juga mesti merentasi glasier!” Captain dan Puan Sevier dan Cik Muller menemani Swamiji dalam percutian ini.

Di Dover, mereka menaiki kapal ke Calais, merentasi Selat English yang tenang ketika itu. Selepas bermalam di Paris, keesokan harinya mereka bertolak ke Geneva. Swamiji menghabiskan hampir sehari melawat pameran industri dan pembuatan Swiss di Geneva. Perkara yang paling menarik minat beliau ialah pertunjukan belon udara. Sebaik sahaja melihatnya, Swamiji menyahut, “Oh, kita mesti menaiki belon!” Seperti kanak-kanak, beliau kelihatan tidak sabar-sabar untuk menaiki belon udara. Puan Sevier tidak bersetuju dengan idea itu dan mula membantah. Swamiji dan Kaptain Sevier, sebaliknya berdegil dengan idea mereka. Akhirnya, mereka berjaya memujuk Puan Sevier. Dengan girang, Swamiji menikmati pengalaman menaiki belon udara. Cuaca yang tenang dan senja yang menakjubkan. Apabila belon turun ke darat, mereka bertangkap gambar untuk dijadikan kenangan. Disebabkan ada banyak lagi perkara untuk dilihat, Swamiji terpaksa menahan dirinya daripada menaiki belon udara sekali lagi.

Selepas bermandi di kolam renang di Tasik Leman, Swamiji juga melawat Istana Chillon yang terkenal. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Chamonix menerusi Mont Blanc. “Ini memang sungguh menakjubkan!” sahut Swamiji ketika berada di atas salji di Mont Blanc. Dengan hampa, beliau terpaksa melepaskan ideanya untuk mendaki gunung itu. Selepas melihat dengan teleskop, beliau bersetuju dengan penunjuk jalan mereka bahawa hanya pendaki yang mahir boleh mencuba untuk mendaki cerun glasier itu.

Swamiji merasakan lawatannya ke Alps adalah tidak sempurna sekiranya beliau tidak merentasi glasier. Oleh itu, dengan menaiki keldai, mereka sampai di sebuah kampung di mana glasier Mer-de-Glace bermula. Bukannya mudah untuk mendaki gunung glasier! Dari masa ke semasa, Swamiji berhenti untuk melihat jurang-jurang yang mendalam, atau untuk menikmati tompokan hijau yang kelihatan di semua tempat. Selepas merentasi glasier, mereka terpaksa mendaki cerun yang curam untuk sampai ke perkampungan yang terletak di puncaknya. Di sini, pertama kali dalam hidupnya, Swamiji mengalami vertigo. Kakinya tergelincir beberapa kali. Sampai di pondok penumpang di puncak gunung itu, dengan lega kawan-kawannya menghidangkan beliau kopi panas untuk menenangkannya.

Pengalaman di pergunungan Alps ini memberikan peluang kepada Swamiji untuk mencurahkan keinginan hatinya kepada kawan-kawannya. “Oh, saya mahu untuk sebuah biara! Di situ, saya boleh pergi untuk berehat selepas bekerja dan menghabiskan masa dengan meditasi. Di situ, pengikut-pengikut India dan Barat saya boleh hidup bersama-sama. Saya akan melatih mereka, pengikut India untuk menjadi pengajar Vedanta di Barat dan pengikut Barat untuk memberikan perkhidmatan mereka demi kebaikan India.” Mendengar kata-kata gurunya, Kaptain Sevier menyahut, “Ya, kita mesti membina sebuah biara begitu!”

Perjalanan diteruskan. Swamiji dan pengikut-pengikutnya tiba di kampung Little St.Bernard selepas mendaki gunung selama empat hari. Di sini, beliau melihat anak-anak anjing Saint Bernard yang terkenal. Dengan girang dan beria-ia Swamiji menyahut, “Saya nak bawa seekor anak anjing ini ke India!” Tentu anjing itu mempunyai nasib yang baik kerana seseorang telahpun membeli semuanya. Sekiranya ia dibawa ke India, pasti ia akan mati kerana anjing jenis itu tidak boleh hidup dalam iklim tropika.

Seterusnya, kumpulan pengembara ini sampai di kampung kecil Saas-Fee di lembah Upper Rhone. Kampung ini dikelilingi gunung-ganang yang diliputi salji. Swamiji merasakan pergunungan Alps ialah Himalaya kecil. Sama seperti Himalaya, ia dapat membawa fikiran beliau ke tahap yang tinggi, menghindari segala perasaan keduniawian. Kehidupan yang tenang di pergunungan ini memberi Swamiji peluang untuk melakukan meditasi yang mendalam.

Lucerne adalah destinasi seterusnya. Itu sebuah pekan yang cantik di Switzerland. Di sini, Swamiji menikmati cili yang paling pedas yang beliau pernah makan di Barat. Penjual cili menjadi terperanjat melihat Vivekananda memakan cili pedas dengan mentah. Melihat muka penjual itu, Swamiji bertanya, “Kamu ada cili yang lebih pedas lagi?”

Kemudian, mereka beredar di Schaffhausenm di mana mereka menikmati pemandangan Air Terjun Rhine yang menakjubkan. Mereka meneruskan perjalanan ke negara Jerman dengan menaiki keretapi. Selama dua hari, mereka berhenti di bandar Heidelberg.  Mereka melawat universiti yang tertua di Jerman, yang ditubuhkan pada tahun 1386 dan juga Great Tun, sebuah tong wain yang terbesar di dunia. Selepas melawat tempat-tempat menarik di Jerman, Swamiji pulang ke England melalui Amsterdam.

Swami Abhedananda
Selepas bercuti selama dua bulan, Swamiji kembali ke London dengan lebih sihat dan bersemangat. Semasa berada di Wimbledon sebagai tetamu Cik Muller, beliau belajar untuk menunggang basikal. Pada bulan Oktober 1896, Swami Abhedananda tiba dari India. Setelah Abhedananda memberikan ceramah pertamanya di London, Swamiji kelihatan amat gembira dan bangga. Beliau pasti saudara segurunya mampu meneruskan kerja-kerja penyebaran   Vedanta yang beliau telah mulakan. Beliau juga menerima berita bahawa Swami Saradananda juga telah berjaya meneruskan kelas-kelas Vedanta di Amerika. Kini, Swamiji mempunyai satu fikiran sahaja - India!




No comments:

Post a Comment