Tuesday 25 March 2014

3. NARENDRA – PEMIMPIN MUDA

Swami Vivekananda
Mulai sekarang, kita akan memanggil Biley dengan nama rasminya, Narendranath Datta atau Narendra. Narendra memulakan persekolahannya semasa berumur enam tahun. Pada hari pertama, seorang sami keluarga Datta telah datang ke rumah mereka. Narendra telah mandi dan memakai dhoti dan baju baru. Semua ahli keluarganya berkumpul di bilik sembahyang. Sami membaca mantera dan berdoa kepada Dewi Saraswati, dewi untuk ilmu. Kemudian sami itu memegang tangan kanan Narendra dan mencelupnya ke dalam sejenis campuran kapur tulis berwarna merah. Narendra menulis di atas lantai abjad Bengali dengan mengatakan, “Ini ialah Ka. Ini ialah Kha”

Selepas upacara itu, Narendra dibawa ke sebuah sekolah pondok. Setiap murid harus membawa alas untuk duduk. Narendra membawa segulung tikar di bawah ketiaknya. Sebuah pen buluh telah diikat pada pinggangnya dengan seutas tali panjang. Dia berasa amat bangga dan gembira untuk memulakan alam persekolahannya. Namun, pengalaman manis ini tidak berkekalan. 

Pendidikan di  rumah
Murid-murid daripada pelbagai lapisan masyarakat menimba ilmu di sekolah pondok. Dalam masa beberapa hari sahaja, Narendra mula bercakap dalam bahasa kesat yang tidak disukai oleh keluarganya. Oleh itu, Vishwanath Datta menamatkan persekolahan Narendra. Seorang guru dilantik untuk mengajar Narendra di rumah mereka. Bhuvaneshwari Devi juga mengajar Narendra bahasa Inggeris dan bahasa Bengali. Seorang pakcik tua Narendra pula, mengajarnya bahasa Sanskrit, lagu-lagu suci dan petikan daripada Mahabharata dan Ramayana. 

Narendra mempunyai memori yang tajam seperti ibunya. Sekali dengar, ibunya dapat mengingati sesebuah lagu suci atau petikan daripada kitab-kitab Ramayana dan Mahabharata. Begitu juga, Narendra dapat memahami sesuatu pelajaran selepas mendengar gurunya membaca sekali. Petikan-petikan yang dihafalnya pada zaman kanak-kanaknya kekal dalam ingatannya sepanjang hayat. 

Antara petikan-petikan yang terbenam dalam memorinya ialah: 

"Demi kebaikan sebuah kampung, seorang harus mengorbankan keluarganya. 
Demi kebaikan sebuah negara, seorang harus mengorbankan kampungnya. 
Demi kebaikan manusia sejagat, seorang harus mengorbankan negaranya. 
Demi kebaikan dunia pula, segala-galanya harus dikorbankan." 

Pada suatu hari, Narendra dan seorang budak yang lebih muda daripadanya telah pergi ke sebuah pesta. Selepas membeli patung-patung Shiva, mereka sedang pulang ke rumah. Tiba-tiba, Narendra mendapati bahawa kawannya tidak berada disampingnya. Apabila dia menoleh ke belakang, kawannya sedang berdiri kaku di tengah-tengah jalan. Kebetulan, sebuah kereta pedati kuda sedang bergerak laju tanpa kawalan. Narendra mencengkam patung-patung itu di bawah ketiaknya dan berlari ke arah kawannya. Dengan pantas dia menarik kawannya dari tempat itu. Jika terlewat, tentu kawannya telah dilanggar kereta pedati itu. Orang ramai di jalan itu terpegun melihat peristiwa ini dan memuji keberanian Narendra.

Narendra mencapai umur tujuh tahun. Dia dihantar ke Institusi Metropolitan, sebuah sekolah yang terkenal di Kolkata pada zaman itu. Di sekolah juga, kenakalan Narendra berterusan. Setiap hari, dia akan pulang ke rumahnya dengan seluar yang koyak. Dia akan bercerita dengan kawan-kawannya walaupun ketika gurunya sedang mengajar.

Sejak kecil lagi, Narendra berpegang kuat pada kebenaran dan kejujuran. Walaupun terpaksa menerima hukuman, dia tidak akan bercakap bohong atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pendiriannya. Pada suatu hari, Narendra sedang bersembang agak kuat di dalam kelas. Guru yang terdengar ini, meminta mereka untuk mengulangi pelajaran mereka. Semua orang berdiam diri kecuali Narendra. Dia menjawab dengan betul semua soalan yang diajukan oleh gurunya. Apabila guru mereka bertanya siapa yang telah membuat bising, semua murid menunding jari pada Narendra. Guru mereka tidak percaya dan menghukum mereka berdiri. Narendra berkata, “Saya yang mesti berdiri, cikgu. Sebenarnya, saya yang membuat bising.”

Sewaktu di sekolah, Narendra sering meluahkan impian masa depannya. Dengan penuh bersemangat dia akan berkata, “Saya akan menjadi seorang raja. Saya akan membuat ini. Saya akan membuat itu.” Kemudian, semua ideanya untuk menjadi raja akan hilang dan dia akan mengelamun tentang kehidupan seorang rahib yang bebas. “Tengok garisan ni,” dia akan menunjukkan tapak tangannya kepada kawan-kawannya sambil berkata, “orang yang mempunyai garisan ini akan menjadi rahib. Jadi, apabila saya dewasa kelak, saya akan menjadi seorang rahib seperti datuk saya.” Melihat Narendra mengangkat dadanya dengan megah, kawan-kawannya juga beria-ia untuk menjadi rahib.

Viswanath Datta, bapa Narendra ialah seorang peguam di Mahkamah Tinggi, Kolkata. Ramai orang datang ke rumahnya untuk berjumpa dengannya. Masyarakat Kolkata melayan tetamu-tetamu dengan menyediakan hukah. Hukah yang berasingan disediakan untuk kasta-kasta dan agama-agama berlainan. Bagi Narendra, kasta adalah suatu misteri besar. Mengapakah seseorang daripada satu kasta tidak dibenarkan untuk memakan bersama-sama orang daripada kasta lain? Apa yang akan berlaku kalau dia menghisap semua hukah itu? Adakah letupan akan berlaku? Adakah bumbung akan runtuh? Narendra memutuskan untuk mencari jawapan kepada misteri itu. Dia cuba menghisap sebatang hukah. Tiada apa yang berlaku. Dia mencuba setiap hukah satu demi satu. Ketika itu, bapanya memasuki bilik itu. Melihat perbuatan Narendra, beliau menyoalnya. Narendra menjawab, “Oh! ayah, saya sedang cuba untuk melihat apa yang akan berlaku sekiranya saya mengingkari larangan kasta.” Bapanya gelak dan beredar dari sana. 


Apakah itu kasta?
Narendra dan kawan-kawannya sering bermain di atas sebatang pokok cempaka., Dengan bising, mereka akan memanjat dan bergayut pada pokok itu. Seorang jiran tua tidak tertahan dengan keriuhan mereka. Walaupun beberapa kali dia menegur, budak-budak itu masih tidak menghiraukannya. 

Akhirnya, orang tua itu cuba untuk menakutkan mereka dengan cerita jembalang pokok cempaka. Kononnya jembalang itu akan mematahkan leher sesiapa yang memanjat pokok itu. Mendengar cerita itu semua budak lain terjun ke bawah dari pokok itu kecuali Narendra. Narendra, sambil bergayut pada dahan, memanggil kawan-kawannya. “Mengapa kamu percaya apa yang datuk itu katakan? Sudah berapa lama kita bermain di atas pokok ini? Kalau benar ada jembalang di atas pokok ini, mengapa selama ini jembalang itu tidak pernah mengusik kita?” katanya. 

Pada suatu hari, Narendra dan kawan-kawannya sedang menaiki sebuah bot untuk merentasi sungai Ganges. Seorang kawannya yang tidak sihat bermuntah di atas bot itu. Ini menyebabkan pemandu bot marah. Dia menghalang mereka turun dari bot selagi mereka tidak membersihkan bot itu. Pemandu bot juga enggan menerima tambang lebih yang mereka tawarkan. Ketika budak-budak lain sedang bercakap kepada pemandu bot, Narendra melompat keluar dari bot itu dan berlari ke darat untuk mendapatkan bantuan. Mujurlah pada masa itu, dua orang askar Inggeris berada tidak jauh dari situ. Narendra memberitahu mereka tentang masalah mereka dalam bahasa Inggeris pasar. Apabila askar-askar itu datang ke bot, pemandu bot tidak dapat berkasar lagi. Dengan menerima tambah lebih, dia melepaskan budak-budak itu. 

Makara Sankranti iaitu perayaan untuk memuja Sungai Ganges ialah cuti umum. Narendra mengajak kawan-kawannya untuk meraikan perayaan itu dengan meriah. Bapanya memberikan segala wang perbelanjaan dan juga menyediakan seorang guru muzik untuk mengajar mereka lagu-lagu khas untuk perayaan Makara Sankranti. Pada hari yang ditetapkan, Narendra dan kawan-kawannya, berbaris dan memulakan perarakan dengan membawa bendera-bendera, dari rumah Narendra di Simla. Sesudah sampai di Sungai Ganges, dengan penuh riang mereka menyanyikan lagu, “Sembah Ibu Ganga”. Kemudian, mereka mencampakkan kalungan bunga ke dalam sungai itu. Selepas bermandi di sungai, mereka kembali ke rumah masing-masing. Pada petang itu, sekali lagi, mereka kembali ke Sungai Ganges. Kali ini, mereka membawa bot-bot mainan yang dibuat daripada batang pokok pisang. Sumbu dinyalakan di atas bot itu lalu dilepaskan ke dalam sungai. Di sepanjang Sungai Ganges, ratusan bot yang bercahaya itu terapung, menandakan kasih anak-anak Hindu untuk Sungai Ganges.

Ketika berumur sebelas tahun, Narendra dan kawan-kawannya memulakan sebuah kumpulan drama di rumahnya. Hampir setiap hari, mereka melakonkan pelbagai drama ciptaan mereka sendiri. Apabila keriuhan mereka menjadi keterlaluan, pakcik Narendra memecahkan pentas mereka. Dengan sedih, mereka membubarkan kumpulan drama itu. 

Selang beberapa hari kemudian, Narendra memulakan sebuah gimnasium di halaman rumahnya. Semua kawan di kejiranan itu dan saudara-mara Narendra menyertai gimnasiumnya. Setiap hari, mereka berkumpul dan melakukan senaman harian dengan bising. Ini berterusan sehingga seorang adik saudara Narendra terpatah tulang tangan ketika bersenam. Peristiwa malang itu menyebabkan pakciknya memusnahkan semua peralatan senaman mereka.  

Namun, minat Narendra untuk bersukan dan bersenam tidak berkurangan. Berdekatan dengan rumahnya, terdapat sebuah gimnasium. Narendra mengajak kawan-kawannya untuk menyertai gimnasium itu. Mereka sering melakukan senaman, bergusti, berenang, dan melakukan pelbagai aktiviti sukan di situ. Bapa Narendra juga menghadiahkannya seekor anak kuda untuk dia belajar menunggang.

Vishwanath Datta tidak suka untuk memarahkan atau menghukum anak-anaknya. Beliau percaya bahawa perubahan harus datang dari dalam diri seseorang. Pada suatu hari, Narendra telah menengking ibunya. Vishwanath yang terdengar kata-kata Narendra, dengan senyap menulis di atas pintu bilik Narendra, “Hari ini, Naren Babu telah memberitahu ibunya perkataan ini ….” – Beliau menulis perkataan yang diucapkan oleh Narendra. Setiap kali kawan-kawan Narendra datang ke biliknya, mereka membaca kata-kata itu. Ini menyebabkan Narendra berasa amat malu akan kelakuannya. Oleh itu, dia tidak mengulangi perbuatan salahnya.   

Naren dan keluarganya tinggal di bangunan ini di Raipur
Pada tahun 1877 disebabkan kerjayanya, Vishwanath membawa keluarganya ke Raipur, sebuah tempat yang terpencil di negeri Chhattisgarh. Mereka menetap di sini selama dua tahun. Narendra tidak dapat meneruskan pendidikan formalnya disebabkan tidak ada sekolah tinggi di tempat itu. Pada masa lapangnya, Vishwanath mengajar Narendra bahasa Hindi dan seni masakan. Narendra juga mempelajari seni muzik tradisional dan menjadi seorang penyanyi dan pemain peralatan muzik yang mahir. Selain itu, dia juga menjadi mahir dalam permainan catur dan sering memenangi pertandingan catur. 

Selain mengajar muzik dan seni masakan kepada anaknya, Vishwanath juga mengajar Narendra untuk menjadi seorang lelaki yang sejati. Pada suatu hari, Narendra bertanya, “Apa yang telah ayah lakukan untuk saya?” Viswanath menjawabnya dengan serta-merta, “Pergi, dan lihat dirimu dalam cermin.” Narendra memahami maksud bapanya. Bapanya telah memberikan Narendra kebebasan untuk berfikir sendiri, badan yang sihat dan melatihnya dalam pelbagai perkara. Ini membolehkan dia berdikari tanpa bergantung kepada sesiapa pun. 


Vivekananda Sarovar di Raipur 


No comments:

Post a Comment