Monday 24 March 2014

16. HERO KEBANGSAAN

Pada 15 Januari 1897, Swami Vivekananda kembali ke India. Captain dan Puan Sevier dan J.J.Goodwin menemani beliau dari England. Swamiji tidak dapat mengawal perasaan gembiranya untuk kembali ke tanah air tercintanya. Beliau memberitahu seorang pengikutnya, "Sebelum meninggalkannya, aku mencintai India. Sekarang, debu-debu India juga adalah suci bagiku. Udaranya juga adalah suci bagiku. Kini India tanah suciku, tempat ziarah, Tirtha!" 

Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di semua bandar-bandar besar untuk memberi jemputan kepada Swamiji. Hampir semua surat khabar telah menulis editorial mengenai beliau dan mengumumkan kedatangan beliau. Masyarakat India yang ketika itu sedang dijajah oleh orang Inggeris menganggap diri mereka lemah. Kejayaan Swamiji di Amerika dan Eropah telah mengembalikan maruah bangsa mereka dan mereka mula sedar tentang kekuatan mereka. Swamiji berkata bahawa setiap negara seperti setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelebihannya tersendiri. Kerohanian adalah kekuatan negaranya. Oleh itu seluruh negara India kini bangkit untuk mengalu-alukan kedatangan hero negara mereka.

Ratusan orang telah berkumpul di pelabuhan Colombo. Sorokan dan tepukan gemuruh kedengaran sebaik sahaja Swamiji turun daripada kapal. Orang ramai bertolak-tolak untuk melihat dan menyentuh kaki Swamiji. Perarakan besar diatur dan pancaragam dimainkan dengan lagu-lagu Thevaram dan sebuah lagu yang digubah khas untuk Swamiji dalam bahasa Sanskrit. Bunga-bungaan ditaburkan dan air mawar direnjis di sepanjang jalan di mana beliau berlalu. Dalam perjalanan beliau ke sebuah kuil di Colombo, beliau berhenti di hadapan hampir lima puluh rumah untuk menerima kalungan bunga, buah-buahan, manisan dan persembahan seumpamanya yang secara tradisi diberikan kepada orang-orang alim.

Swamiji memberi sebuah ucapan pendek bahawa penghormatan dan penghargaan yang diberikan kepada beliau menunjukkan kecenderungan bangsanya. Ia bukan penghormatan kepada seorang ahli politik hebat, atau seorang askar yang berani, atau seorang jutawan, tetapi kepada seorang fakir miskin. Beliau berasa bangga melihat semangat penduduk negaranya yang meraikan seorang alim yang telah mengharumkan agama mereka.

Di Colombo, Swamiji menetap di sebuah banglo yang kini dikenali sebagai ‘Vivekananda Lodge’. Setiap hari orang ramai datang untuk melihat dan bercakap kepada beliau. Pada suatu hari, seorang wanita miskin, datang membawa buah-buahan untuk Swamiji. Wanita itu meminta nasihat beliau mengenai kehidupan rohani. Beliau menasihatinya untuk membaca kitab suci Bhagavadgita. Wanita itu menjawab, “Saya boleh membaca kitab itu, Swamiji, tetapi apa gunanya kepada saya jika saya tidak dapat memahaminya dan merasakannya?” Ini mengukuhkan lagi pendapat Swamiji bahawa rakyat negaranya, walaupun tidak berpendidikan dan miskin masih berpengetahuan bahawa agama adalah sesuatu untuk dialami dan dirasakan dan bukannya setakat mengisi otak dengan ilmu.

Dari Colombo, Swamiji meneruskan perjalanan melalui darat ke benua India. Di setiap bandar, pekan dan kampung, persiapan telah dibuat untuk meraikan kedatangan beliau. Ke mana sahaja beliau pergi, tempat itu menjadi pesta ria di mana mercun dan bunga api di bakar, bunga-bungaan ditabur dan pancaragam dimainkan.


Dengan menaiki sebuah bot, Swamiji mendarat di Pamban pada 26 Januari 1897. Sahabatnya, Raja Ramnad telah tiba untuk menjemput beliau dengan kereta pedati diraja. Malah Raja itu sendiri bersama pegawai-pegawai istana menarik pedati yang Swamiji naiki. Perarakan berterusan sehingga ke banglo di mana beliau akan menetap sementara berada di Pamban. Di sepanjang jalan sorokan “Hara Hara Mahadeva!” bagai memecah langit kedengaran.

Perarakan kejayaan berterusan. Swamiji melawat bandar demi bandar di India Selatan– Ramnad, Rameswaram, Paramakkudi, Manamadurai, Madhura, Kumbhakonam, Tiruchirapalli, Tanjavur dan lain-lain. Di semua tempat, orang ramai berkumpul untuk melihat dan mendengar ucapannya.

Dalam perjalanan ini, Swamiji melawat sekali lagi, kuil Rameswaram dan kuil Minakshi di Madurai. Lima tahun dahulu beliau telah melawat kuil-kuil itu sebagai seorang rahib yang tidak penting. Kini beliau ialah seorang hero kebangsaan. Beliau diberi layanan seperti seorang maharaja dan khazanah kuil-kuil itu juga dibuka untuk perhatiannya.

Semasa berada di Kuil Rameswaram, Swamiji memberi ceramah pendek mengenai ‘Real Worship’ dan berkata :

“Sifat mementingkan diri adalah dosa utama, memikirkan tentang diri sendiri dahulu. Orang yang berfikir, ‘Saya akan makan dahulu, saya akan mendapatkan lebih banyak wang berbanding orang lain, dan saya akan memiliki segala-galanya”, orang yang berfikir, “Saya akan pergi ke syurga sebelum orang lain, saya akan mendapat Mukti sebelum orang lain” adalah orang yang mementingkan diri sendiri. Orang yang tidak mementingkan diri berkata, “Saya akan menjadi yang terakhir, saya tidak peduli tentang syurga, malah saya juga akan pergi ke neraka jika dengan itu saya dapat membantu saudara-saudara saya.’ Sifat tidak mementingkan diri ini adalah ujian bagi agama."

Swamiji juga mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan negaranya yang ketika itu berada di bawah penjajahan Inggeris. Beliau meminta bangsanya untuk menyedari kekuatan dalaman mereka dan bangkit untuk memajukan negara mereka. Semasa berucap di Kumbhakonam, beliau berkata:

“Bangkit, bangun, dan jangan berhenti sehingga mencapai matlamat. Bangkit, bangun! Bangun daripada pukau kelemahan ini.”

Pada 2 Februari, Swamiji menaiki keretapi bersama pengikut-pengikutnya untuk pergi ke bandar Madras. Sepanjang perjalanan, di mana sahaja keretapi berhenti, orang ramai telah berkumpul untuk memberi penghormatan kepada beliau dan menerima restunya. Kampung-kampung kecil juga telah menghantar wakil mereka untuk berjumpa dengan beliau di setiap hentian dengan kalungan bunga dan lain-lain persembahan.

Suatu peristiwa yang menyentuh hati Swamiji berlaku ketika dalam perjalanan ini. Keretapi yang beliau naiki tidak akan berhenti di sebuah stesen yang terletak tidak jauh dari Madras. Orang ramai yang telah berkumpul di stesen itu merayu kepada ketua stesen agar memberi isyarat untuk menghentikan keretapi itu tetapi tidak berjaya. Akhirnya melihat keretapi menghampiri stesen, ratusan orang meniarap di atas landasan keretapi itu. Akibatnya, keretapi terpaksa dihentikan untuk seketika. Dengan riang, mereka berlari ke gerabak di mana Swamiji berada. Melihat kesungguhan dan kasih mereka, beliau merestui mereka.

Penduduk Madras telah melakukan persiapan sejak beberapa minggu untuk menerima Swami Vivekananda. Madras menpunyai tempat khas dalam hidup Swamiji sebagai bandar yang mula-mula mengenali kehebatannya dan melakukan segala persediaan untuk menghantar beliau ke Amerika. Kini Madras bersedia untuk menyambut Swamiji sebagai seorang hero. Jalan di antara stesen keretapi Egmore sehingga Castle Kernan (kini dikenali sebagai 'Rumah Vivekananda') telah dihiasi dan hampir tujuh belas pintu gerbang telah didirikan. Di sepanjang jalan, panji-panji dipasang dengan slogan-slogan seperti ‘Hidup Swami Vivekananda!’ dan ‘Selamat Datang Swami Vivekananda!'


Castle Kernen (kini, Vivekananda House)
Pada pagi 6 Februari 1897, keretapi yang Swamiji naiki berhenti di Stesen Keretapi Egmore. Pada keesokan harinya, semua suratkhabar di Madras merakamkan bahawa sorokan keriangan yang kedengaran di Egmore adalah satu peristiwa dalam sejarah. Bandar Madras tidak pernah meraikan sesiapa pun seperti itu.
  
Sepanjang tempoh sembilan hari di Madras, Swamiji memberikan beberapa ceramah dan berjumpa secara informal dengan ramai orang. Beliau merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk membawa revolusi dalam pemikiran rakyat negaranya dan membawa kesedaran mengenai peranan mereka di arena dunia. Oleh itu, tanpa mengenal penat-lelah beliau bercakap dan berjumpa dengan ramai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat. 


“Apa yang kita perlu adalah kekuatan, jadi percayalah pada diri kamu. Kita telah menjadi lemah, dan itulah sebabnya kita mencari ilmu hitam dan mistik  – benda-benda yang menakutkan ini; mungkin ada kebenaran di dalamnya, tetapi ia telah hampir memusnahkan kita.”

“Langkah pertama dalam mendapatkan kekuatan adalah dengan berpegang teguh kepada Upanishad dan percaya: ‘Aku ialah Jiwa’.”


“Pedang tidak boleh memotong aku. Senjata tidak boleh menembusi aku; api tidak boleh membakar aku; angin tidak boleh mengeringkan aku; akulah yang Maha Berkuasa, akulah yang Maha Mengetahui.’ Ulangi kata-kata berahmat ini. Jangan kata kita lemah; kita boleh melakukan apa sahaja dan segala-galanya. Semua orang mempunyai jiwa mulia yang sama. Mari kita mempercayainya.”


“Inilah ujian untuk kebenaran – apa sahaja yang menjadikan kamu lemah secara fizikal, intelek, dan rohani, ketepikannya seperti racun. Itu tidak ada sebarang jiwa. Itu tidak boleh menjadi kebenaran. Kebenaran memberikan kekuatan. Kebenaran adalah kesucian. Kebenaran adalah segala ilmu. Kebenaran mesti membawa kekuatan. Kebenaran mesti membawa kesedaran. Kebenaran mesti membawa kecergasan.”


KEMBALI KE KOLKATA
Dari Madras, Swamiji berlayar ke Kolkata melalui Teluk Bengal. Pelayaran ini memberikan sedikit rehat kepada beliau yang telah letih dengan ceramah, perbincangan dan pelbagai aktiviti lain di India Selatan. Sebelum menaiki kapal, peminat-peminatnya di Madras telah memberinya ratusan buah kelapa muda. Melihat begitu banyak kelapa muda di dalam kapal, seorang pengikut beliau bertanya, “Swamiji, adakah ini sebuah bot kargo? Mengapa mereka membawa begitu banyak kelapa muda ke dalam?” Swamiji, dengan riang menjawab, “Oh tidak, bukan begitu! Semuanya adalah kelapa saya! Seorang doktor telah menasihatkan saya untuk meminum air kelapa muda menggantikan air.”

Selepas tiba di Pelabuhan Budge Budge, Swamiji menaiki sebuah keretapi khas ke Stesen Sealdah, Kolkata pada pagi Jumaat, 19 Februari 1897. Lebih 20,000 orang sedang menunggu ketibaan beliau di stesen keretapi. Dalam suasana yang riuh-rendah, Swamiji dan teman-temannya dibawa ke kereta kuda. Pemuda-pemuda kolej Institusi Metropolitan, di mana beliau sendiri pernah belajar dahulu, melepaskan kuda daripada kereta itu, dan mula menariknya. Dengan iringan perarakan yang panjang, Swamiji dibawa ke Kolej Ripon di mana satu pentas telah disediakan. Tersentuh dengan sambutan yang diterimanya daripada orang Kolkata, tempat lahirnya, beliau tidak dapat memberi ceramah panjang kecuali berterima kasih.

Swamiji juga gembira untuk bertemu kembali dengan saudara-saudara segurunya. Latu Maharaj pada mulanya berdiri di dalam kumpulan orang ramai dan melihat dari jauh. Beliau khuatir Swamiji akan rasa malu untuk memperkenalkan seorang yang tidak berpendidikan sepertinya kepada pengikut-pengikut Inggerisnya. Swamiji selepas berjumpa dengan semua saudara segurunya, dan mendapati Swami Adbhutananda tidak ada di situ, mula mencarinya. Akhirnya, dalam kalangan orang ramai yang sedang berada di luar, beliau ternampak Adbhutananda dan pergi bercakap kepadanya. “Semua orang lain dah datang, mengapa kamu masih berada di sini?” “Saya ingat tentu kamu sudah lupa pada saya,” jawab Adbhutananda. Swamiji memegang tangannya dan berkata, “Kamu masih saudara Latu saya, dan saya masih saudara Naren lama kamu.” Kemudian, Swamiji membawa Adbhutananda memakan bersama-samanya.

Biara mereka telah dipindahkan ke Alambazar, sebuah tempat yang lebih baik berbanding Baranagore yang usang. Swamiji bermalam di sini bersama-sama rahib lain dan juga pengikut-pengikut beliau. Goodwin, Alasinga, Kidi juga menetap bersama beliau di sini.  Pada waktu siang, Swamiji akan berjalan kaki ke rumah taman Gopal Lal Seal di Kasipur bersama satu kumpulan kecil. Ratusan orang daripada pelbagai lapisan masyarakat mengunjungi beliau di sini untuk mendapatkan pertolongan dan nasihat, berbincang, mendapat restu atau cuma untuk melihat beliau.


Biara Alambazar
Pada suatu hari, Swamiji dan Premananda sedang duduk bersembang di rumah taman Gopal Lal Seal di Kasipur. Tiba-tiba Swamiji menjadi senyap. Satu hantu dengan kepala yang terpenggal muncul di hadapan beliau. Dengan pilu, hantu itu merayu kepada beliau untuk menyelamatkannya daripada kehidupan yang terseksa itu. Swamiji berdoa agar hantu itu mendapat kebebasan dan merestuinya. Selepas hantu itu beredar pergi, Swamiji menceritakan kejadian yang berlaku kepada Premananda yang langsung tidak sedar tentang kehadiran hantu itu. Kemudian mereka menyiasat tentang sejarah tempat itu. Beberapa tahun dahulu, seorang lelaki yang memberi hutang dengan bunga yang tinggi telah tinggal di rumah taman itu. Seorang pemiutang telah memenggal kepala lelaki itu dan mencampak mayatnya ke dalam sungai berdekatan.


Di rumah taman Gopal Lal Seal

Segala pujian, sanjungan dan penghormatan yang Swamiji terima langsung tidak mengubahnya. Beliau gembira untuk kembali kepada kehidupan lamanya sebagai fakir dan berkongsi kemiskinan dengan saudara-saudara segurunya.

Pada suatu hari Ramlal Dada, seorang anak buah Sri Ramakrishna datang untuk berjumpa dengan Swamiji. Melihatnya, Swamiji bangun dari kerusinya dan dengan penuh hormat meminta Ramlal Dada untuk duduk. Ramlal Dada, juga seorang yang rendah diri, enggan untuk duduk di atas kerusi itu di hadapan pelawat-pelawat lain. Namun, Swamiji mendesaknya dan akhirnya berjaya memujuknya untuk duduk. Swamiji sendiri berjalan mundar-mandir di bilik itu dan dengan bisikan berkata, “Seorang mesti menghormati saudara-mara gurunya sama seperti dia menghormati gurunya sendiri.”

Swamiji sekali lagi mula bertugas sebagai pemimpin di Biara Alambazar. Dengan lega, beliau menyerahkan wang yang telah dikumpul melalui ceramah-ceramahnya kepada Brahmananda. Beliau mahu semua saudara segurunya untuk mengambil bahagian dalam rancangan beliau untuk membangkitkan kesedaran rakyat negaranya. Beliau memberitahu mereka bahawa apa yang beliau sedang lakukan adalah amanat Sri Ramakrishna. Kini sudah tiba masanya mereka melaksanakan tanggungjawap sebagai pengikut Sri Ramakrishna dengan memberikan ajaran Sri Ramakrishna mereka kepada dunia dan melupakan tentang kebebasan diri sendiri. 

Swamiji dan saudara-saudara segurunya
Atas arahan Swamiji, Swami Ramakrishnananda (Sashi) bertolak ke Madras untuk memulakan sebuah pusat pengajaran Vedanta. Ramakrishnananda ialah satu-satunya pengikut Sri Ramakrishna yang tidak pernah merantau sebagai fakir. Selama sebelas tahun, beliau telah tinggal di biara mereka dan melakukan tugas memuja abu suci Sri Ramakrishna. Walaupun ada masanya, rahib-rahib lain mencadangkan untuk membubarkan biara Baranagore atas masalah kewangan, Ramakrishnananda enggan untuk meninggalkannya. Kini, tanpa sebarang rungutan, dengan ceria, Ramakrishnananda meninggalkan biara mereka untuk melaksanakan tugas yang Swamiji berikan padanya. 


No comments:

Post a Comment