Tuesday 25 March 2014

5. PERTEMUAN DENGAN SRI RAMAKRISHNA

Bulan November 1881. Narendra berumur lapan belas tahun. Surendra, seorang jiran dan sahabat Narendra telah mengatur satu majlis di rumahnya. Narendra dijemput untuk menyanyikan beberapa buah lagu suci dalam majlis itu. Tetamu khas pada hari itu adalah seorang alim bernama Sri Ramakrishna. Selepas mendengar nyanyian Narendra yang menyentuh jiwa, Sri Ramakrishna telah menyoal Surendra mengenainya. Beliau juga telah meminta Surendra untuk membawa Narendra ke Dakshineshwar.

Narendra telahpun mendengar tentang Sri Ramakrishna daripada pengetua kolejnya, Reverend W.Hastie yang mengajarnya sastera Inggeris. Ketika menerangkan tentang keadaan ‘keghairahan rohani’ yang digambarkan dalam sajak Wordsworth bertajuk ‘The Excursion’, Hastie meminta pelajar-pelajarnya untuk melawat seorang alim bernama Sri Ramakrishna sekiranya mereka berminat untuk memahami maksud perkataan itu dengan jelas. Hastie memberitahu mereka bahawa dia pernah melihat Sri Ramakrishna mengalami keghairahan rohani.


Sri Ramakrishna tinggal di taman kuil Bhavatarini di Dakshineshwar, berdekatan Kolkata. Beliau berasal dari Kamarpukur, sebuah kampung kecil di Bengal Barat, lebih kurang 107 km dari Kolkata. Walaupun tidak berpendidikan dan beliau bercakap dalam bahasa pasar, kehidupan beliau yang suci dan alim menarik ramai pendeta, cendikiawan dan pemuda-pemuda berpendidikan Barat kepada beliau. Malah boleh dikatakan bahawa tidak ada sebarang perkara lain di dalam hati dan pemikiran Sri Ramakrishna kecuali Tuhan Yang Maha Esa.

Sementara itu, melihat keengganan Narendra untuk menerima sebarang lamaran perkahwinan dan minatnya dalam hal-hal rohani, abang saudaranya Ramachandra Datta berkata kepada Narendra: “Jika kamu benar-benar ingin untuk menyedari Tuhan, berjumpalah dengan Sri Ramakrishna, Mahaguru di Dakshineswar. Tak guna kamu melawat Brahmo Samaj atau tempat-tempat begitu.” 


                                                                                          
Sebulan kemudian, Surendra menjemput Narendra untuk menemaninya ke kuil Dakshineswar. Narendra bersetuju. Dengan menaiki kereta pedati, Narendra bersama Surendra dan beberapa orang kawan lain tiba di kuil itu.  

Kuil taman Bhavatarini di Dakshineswar terletak di sisir sungai Ganges. Kuil ini telah dibina pada tahun 1855. Pada hari ini ia adalah satu tempat ibadat yang paling popular di Kolkata. Kuil ini mempunyai dua belas kuil kecil untuk Dewa Shiva, enam di kiri dan enam di kanan tangga yang menuju ke sungai. Kuil-kuil Shiva ini dibina mengikut gaya pondok berdom di kampung-kampung Bengal. Di depan kuil-kuil Shiva adalah sebuah halaman yang luas. Sebuah dewan muzik terletak di bahagian selatan kuil dan di bahagian utara terdapat kuil Radhakanta. Kuil Bhavatarini terletak di antara kuil Radhakanta dan dewan muzik. Kawasan sekitarnya dikelilingi kebun dan taman bunga, dan sebuah hutan kecil. Sri Ramakrishna tinggal di sebuah kamar di bahagian barat-laut halaman kuil, menghadap sungai Ganges. 
 
Pertemuan pertama Narendra dan Sri Ramakrishna adalah sungguh bermakna. Sri Ramakrishna sendiri menceritakannya begini: 

“Narendra memasuki kamar ini melalui pintu barat, yang menghadap Ganges. Saya mendapati dia tidak kisah tentang perwatakannya; rambut dan pakaiannya langsung tidak kemas. Tidak seperti teman-temannya, dia kelihatan amat tersisih, seolah-olah dia tidak berminat dengan dunia ini. Matanya menunjukkan bahawa sebahagian besar fikirannya sentiasa berada dalam renungan. Apabila saya melihat ini, saya merasa kagum. Macam mana seorang yang beraspirasi rohani begini boleh tinggal di Kolkata, tempat bagi orang-orang yang materialistik? Segulung tikar telah dibentang di atas lantai. Saya memintanya untuk duduk, dan dia duduk bersila berdekatan kendi air Ganges. Beberapa orang rakannya berada bersamanya pada hari itu. Saya mendapati bahawa mereka adalah hanya orang-orang duniawi yang biasa dan berfikir hanya tentang keseronokan mereka.”

Dalam pertemuan pertama ini, Sri Ramakrishna meminta Narendra untuk menyanyikan beberapa buah lagu.Narendra bernyanyi dengan penuh perasaan: 

Mari kita pulang sekali lagi, O hati, ke rumah kita!
Sini di bumi asing ini
Mengapa kita merantau tanpa hala dalam samaran orang asing?
Semua makhluk hidup ini, dan juga lima unsur-unsur
Adalah asing bagi mu, semuanya; satu pun bukan milikmu.
Mengapa kau melupakan diri begini,
Kerana cinta pada orang asing, hati dungu?
Mengapa kau lupakan orang mu sendiri?  
Jejaki jalan kebenaran, O hati!
Mendakilah tanpa penat, dengan Cinta sebagai pelita yang menyinari jalanmu.
Sebagai bekalan perjalanan, bawalah bersamamu
Nilai-nilai murni, yang tersorok kemas
Kerana, seperti dua orang penyamun
Ketamakan dan delusi menunggu untuk menyamun segala hartamu.
Dan sentiasa bawa bersamamu, sebagai penjaga
untuk melindungimu daripada bahaya,
Fikiran tenang dan kawalan diri.
Teman orang-orang alim akan kau temui
Sebuah rumah rehat di tepi jalan;
di situ rehatkan anggota-anggotamu yang penat seketika, tanyalah jalanmu,
Jikalau kau rasa ragu-ragu, padanya yang mengawal di sana.
Jika sesuatu di tengah jalan menakutkan kamu,
Dengan lantang serulah nama Tuhan;
Kerana Dia adalah Pemerintah jalan itu,
Malah Maut juga mesti tunduk pada-Nya.                                                        
Sebaik sahaja lagu itu tamat, Sri Ramakrishna berdiri dan mendekati Narendra. Beliau memegang tangan Narendra dan membawanya keluar ke beranda lalu menutup pintu di belakangnya. Ia adalah musim sejuk. Tikar-tikar buluh telah digantung di sepanjang beranda itu untuk menghalang angin sejuk. Narendra menunggu untuk mendengar nasihat tentang disiplin rohani. Tiba-tiba Sri Ramakrishna memegang tangan Narendra dan mula menitiskan air mata kegembiraan.

Beliau bercakap kepadanya dengan penuh mesra, seolah-olah mereka adalah kawan karib: “Kamu datang sangat lambat! Wajar ke apa yang kamu buat? Kamu tak tahu ke saya sedang menunggu kamu di sini? Telinga saya hampir hangus mendengar siang dan malam percakapan orang-orang duniawi ini.” Beliau terus menangis dan merepek begini untuk seketika. Kemudian, beliau berdiri tegak dan mengumpul jari-jemarinya memberi salam dan mula bercakap kepada Narendra seolah-olah dia adalah seorang dewa: “Saya tahu siapa anda sebenarnya, tuan. Anda ialah Nara, seorang Rishi zaman purba, jelmaan Narayana. Anda telah datang ke bumi untuk menghapuskan penderitaan dan kesengsaraan manusia.”

Narendra telah belajar daripada bapanya untuk tidak menunjukkan air muka terperanjat dalam sebarang situasi. Meskipun hairan dengan tindakan Sri Ramakrishna, tanpa sebarang reaksi, dia berfikir dengan senyap, “Siapa orang ni? Dia tentu seorang gila!” Sebentar kemudian, Sri Ramakrishna masuk ke kamarnya dan membawa keluar, manisan, gula batu dan sandesh lalu mula menyuap Narendra. Tanpa menghiraukan bantahan Narendra untuk memakannya sendiri dan berkongsi dengan kawan-kawannya, Sri Ramakrishna menyuapnya. “Oh, mereka juga akan mendapat manisan, tapi kamu makan dulu.” Hanya apabila Narendra menghabiskan semua juadah itu, beliau kelihatan lega. Kemudian sekali lagi dengan memegang tangan Narendra, beliau berkata, “Tolong berjanji untuk datang ke sini lagi secepat mungkin, seorang diri.” Melihat kesungguhannya, Narendra tidak sanggup ingkar dan dia berkata, “Saya akan cuba, tuan”.                        

Selepas itu, Narendra kembali ke kamar Sri Ramakrishna dan duduk bersama kawan-kawannya. Sri Ramakrishna kelihatan normal dan beliau mula bercakap dengan orang-orang lain dalam kamar itu seperti biasa. Walaupun Narendra hairan dengan kelakukan Sri Ramakrishna yang pelik tetapi dia yakin Sri Ramakrishna adalah seorang yang benar-benar telah melepaskan segala-galanya demi Tuhan. Oleh itu, dia mengajukan soalan yang dia telah tanya kepada ramai orang-orang alim sehingga itu – “Bolehkah manusia melihat Tuhan?” Akhirnya, kali ini dia menerima jawapan.

Sri Ramakrishna berkata: “Ya, Tuhan boleh dilihat. Sama seperti saya sedang melihat kamu dan bercakap kepada kamu tetapi dengan lebih jelas lagi. Tetapi siapa yang mahu melihat dan bercakap kepada Tuhan? Demi isteri, anak-anak, wang, dan harta benda, orang menderita dan mencurahkan air mata – tetapi siapa yang menangis untuk melihat Tuhan? Jika benar-benar seseorang ingin untuk melihat Tuhan dan menyeruNya, Tuhan akan pasti mendedahkan Diri-Nya kepada orang itu.”

Kesungguhan dan kejujuran di sebalik kata-kata ini menyentuh hati Narendra. Pertama kali dalam hidupnya dia berjumpa dengan seorang yang dapat mengakui bahawa manusia boleh melihat Tuhan. Dia juga berasa tertarik dengan kesucian dan sifat polos Sri Ramakrishna.




No comments:

Post a Comment