Monday 12 January 2015

SUMBANGAN DAN FALSAFAH

Sumbangan kepada Agama Hindu dan Vedanta
Apakah sumbangan Swami Vivekananda kepada agama Hindu? Vivekananda sendiri berkata:  

“Tugas memberikan idea-idea agama Hindu dalam bahasa Inggeris, memberi makna kepada falsafah-falsafah hambar, mitologi yang rumit dan psikologi yang pelik untuk menjadikan suatu agama yang senang, mudah, popular, disamping memenuhi keperluan intelek yang tinggi adalah satu tugas yang hanya boleh difahami oleh mereka yang telah mencubanya. Advaita yang abstrak mesti dihidupkan dan dijadikan menarik dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni harus dihasilkan daripada mitologi yang rumit. Psikologi yang saintifik dan praktikal mesti lahir daripada amalan Yoga yang membingungkan. Semua ini mesti menjadi sesuatu yang kanak-kanak juga boleh memahami. Itu ialah matlamat hidup saya.”

Sumbangan khas Swami Vivekananda boleh dirumuskan begini:

  • Memberikan nafas baru lagi moden kepada institusi Sannyasa tradisional dengan menubuhkan Ramakrishna Mission dan Ramakrishna Math. 

  • Membebaskan Vedanta daripada monopoli golongan pendeta Hindu dan mengajarnya sebagai satu agama universal yang boleh diterima dan diamalkan oleh insan sejagat.
 
Walaupun secara umumnya, Vivekananda mengikuti falsafah Advaita Sankara dalam ajaran Hinduisme dan Vedantanya, beliau juga telah memberikan beberapa sumbangan asli. Ini boleh dirumuskan seperti berikut:

  • Veda bukan kitab-kitab tertentu sahaja. Seperti mana sains merangkumi semua hukum sains alam fizikal, Veda merangkumi semua hukum abadi alam kerohanian.

  • Tiga sistem Vedanta iaitu Advaita, Visistadvaita dan Dvaita adalah tidak bercanggah antara satu sama lain. Sistem-sistem ini menunjukkan Kebenaran (atau Tuhan) dari perspektif berlainan.

  • Memberikan interpretasi yang jelas tentang konsep Maya dalam Vedanta. Menurut Vivekananda, Maya ialah satu kenyataan fakta tentang alam ini dan bukannya satu teori semata-mata.

  • Semua konsep manusia mengenai Tuhan adalah antropomorfik dan ia tidak boleh dielakkan.
 
Demikian, Vivekananda menjadikan  Vedanta satu agama yang praktikal dengan menekankan aspek Sadhana (aktiviti-aktiviti kerohanian) seperti sifat tersisih dan kedahagaan untuk Tuhan.


Falsafah Vivekananda 
Vivekananda telah memberikan falsafahnya dengan amat jelas dalam dua keadaan. Pada permulaan karya hebatnya, Raja Yoga, beliau telah merumuskan falsafah yang dinamakan sebagai Kalimat Vedanta Baharu:
  • Setiap jiwa berpotensi ketuhanan
  • Matlamat hidup adalah untuk mendedahkan ketuhanan ini dengan menguasai Alam luaran dan dalaman.
  • Capailah matlamat ini sama ada dengan bekerja, bersembahyang atau menguasai psikik, atau dengan falsafah. Lakukan satu atau beberapa atau semua perkara ini dan dapatkan kebebasan! Inilah agama sebenarnya. Semua doktrin, kepercayaan, upacara, kitab-kitab, tempat ibadat, atau simbol keagamaan hanyalah perkara sekunder.

Satu lagi kalimat falsafah Vivekananda ialah motto Ramakrishna Sangha iaitu: ‘Atmano mokshartham jagaddhitaya ca’ – ‘Seseorang harus berusaha untuk kebebasan diri sendiri dan juga untuk kebaikan dunia’. 



Seluruh falsafah Vivekananda adalah berasaskan kepada dua perkara ini.

MUTIARA KATA VIVEKANANDA

Arca Swamiji di Ramakrishna Math,  Bangalore





Om Namah Sri Yatirajaya Vivekananda Suraye   Sat-Chit-Sukha Swarupaya Swamine Tapa Harine

Salam untuk Vivekananda, raja segala Sannyasin. 
Salam untuk penjelmaan Sat, Chit, Ananda, dan penghapus segala duka. 


Swami Vivekananda:

“Kata-kata saya adalah jiwa dan hidup. Kata-kata ini akan menembusi benak kamu dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadanya.”

"Bangkitlah, bangunlah! Jangan berhenti sehingga tujuan tercapai."
 

"Segala-galanya dalam dunia ini, baik atau buruk, ialah milik Tuhan. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita, baik mahu pun buruk, sedang membawa kita kepada-Nya."

"Inilah ujian untuk kebenaran : apa sahaja yang menjadikan kamu lemah secara fizikal, intelek, dan rohani, ketepikannya seperti racun. Itu tidak ada sebarang jiwa. Itu tidak boleh menjadi kebenaran. Kebenaran memberikan kekuatan. Kebenaran adalah kesucian. Kebenaran adalah segala ilmu. Kebenaran mesti membawa kekuatan. Kebenaran mesti membawa kesedaran. Kebenaran mesti membawa kecergasan."


"Kawalan tenaga-tenaga badan menghasilkan kekuatan minda. Tenaga fizikal hendaklah dikumpul dan ditukar kepada tenaga minda, dan rohani. Wujud  bahaya besar dalam menggunakan tenaga-tenaga tubuh badan bagi keseronokan tanpa batasan, yang menyebabkan kehilangan daya ingatan minda."


"Setiap jiwa ditakdirkan untuk menjadi sempurna. Setiap makhluk, akhirnya akan mencapai kesempurnaan."


"Segala-galanya boleh dikorbankan demi kebenaran, tetapi kebenaran tidak boleh dikorbankan untuk apa-apa pun."


"Jangan mengharapkan bantuan daripada sesiapa pun. Kita mesti membantu diri sendiri. Jika kita tidak dapat membantu diri sendiri, tidak ada sesiapa pun untuk membantu kita."


"Agama adalah manifestasi ketuhanan yang sedia ada dalam diri manusia. 
Agama adalah idea yang membentuk manusia daripada binatang, dan Tuhan daripada manusia."


"Buang perkataan 'tolong' daripada fikiran kamu. Kamu tidak boleh menolong; ini suatu fitnah! Kamu menyembah! Apabila kamu memberikan sedikit makanan kepada seekor anjing, sebenarnya kamu menyembahnya sebagai Tuhan. Tuhan ialah segala-galanya dan Dia berada dalam segala-galanya."


"Seluruh dunia boleh bersatu atas dasar menjadi baik dan membuat baik."


"Ambillah satu idea. Jadikan idea itu sebagai matlamat hidupmu - fikirkannya, mimpikannya, hiduplah dengan idea itu. Biar otak, otot, saraf dan setiap bahagian badanmu dipenuhi dengan idea itu. Ketepikan semua idea lain. Inilah langkah mencapai kejayaan."