Tuesday 25 March 2014

6. GURU DAN PENGIKUT

Narendra mula melawat Sri Ramakrishna di Dakshineshwar dengan lebih kerap. Pendidikan moden Inggeris telah memberinya pemikiran yang kritikal dan dia tidak menerima sesuatu tanpa bukti. Narendra menerima Sri Ramakrishna sebagai gurunya hanya selepas menguji beliau sepenuhnya. Sri Ramakrishna sendiri sering menguji Narendra untuk memastikan bahawa dia ialah instrumen yang sesuai untuk menjalankan tugas yang beliau akan serahkan kepadanya.
                                       
Cara pengajaran Sri Ramakrishna adalah amat unik. Beliau mengajar mengikut selera, kecenderungan, dan kemampuan pengikut-pengikutnya. Beliau juga mengajar ilmu rohani dengan menggunakan pelbagai cerita, kiasan, lagu-lagu suci dan ilustrasi-ilustrasi ringkas dan mudah difahami.

Asas ajaran Sri Ramakrishna ialah: “Matlamat hidup manusia adalah untuk menyedari dan mengenali Tuhan.” Beliau mengajar pengikut-pengikutnya untuk berdoa begini:

“Wahai Tuhan, berikan rahmat-Mu dan dedahkan sifat sebenar-Mu, yakni penjelmaan Kebenaran!”

Sri Ramakrishna juga mengajar dengan gurauan dan cerita-cerita lucu. Ketika ini, Narendra sering bermeditasi dan bersembahyang dua kali sehari, pada waktu pagi dan petang. Pada suatu hari, dia sedang menyanyikan sebuah lagu suci di hadapan Sri Ramakrishna. Sebuah rangkap dalam lagu itu berbunyi begini, “Sembah-Nya sentiasa, berusahalah sentiasa untuk menyedari-Nya.” Dengan tiba-tiba Sri Ramakrishna menyampuk dan berkata: “Tidak, tidak; katakan ‘Sembah-Nya dan sembahyanglah dua kali sekali.’ Mengapa kamu bernyanyi dengan sia-sia tentang sesuatu yang kamu tidak akan lakukan?” 

LALAT DAN LAUTAN SIRAP
Pada satu hari, Sri Ramakrishna sedang bercakap tentang "Kebahagiaan Abadi" dan berkata: “Tuhan adalah seperti sebuah lautan sirap. Kamu tidak akan menyelam ke dalamnya? Katakan, terdapat sebuah bekas yang mengandungi sirap. Bayangkan kamu ialah seekor lalat yang ingin meminum sirap itu. Bagaimana kamu akan minum sirap itu?”

Narendra menjawab, "Saya akan duduk di atas mulut bekas itu. Sambil mendongak ke bawah, saya akan menghirup sirap. Jika tergelincir, saya akan jatuh ke dalamnya dan pasti akan tenggelam."

Sri Ramakrishna senyum dan berkata, “Kamu dah lupa, nak. Ini ialah Samudera Satchidananda (Kewujudan-Ilmu-Kebahagiaan Yang Abadi). Tidak perlu khuatir tentang maut. Ini ialah Samudera Abadi. Hanya orang bodoh sahaja yang mengatakan bahawa manusia tidak harus menyayangi Tuhan secara keterlaluan. Bolehkah sesiapa mencintai Tuhan secara keterlaluan? Oleh itu, saya katakan, selami jauh ke dalam Samudera Tuhan.”


GAJAH DAN GEMBALA 
Sri Ramakrishna berkata: "Apakah kamu fikir mengenai ini? Manusia duniawi mengatakan pelbagai perkara mengenai orang-orang alim. Apabila seekor gajah berjalan di jalan raya, sebarang anjing atau haiwan kecil lain boleh menyalak ke arahnya. Gajah tidak akan mengendahkannya. Jika ada orang bercakap sesuatu yang tidak baik mengenaimu, apakah yang akan kamu fikirkan tentang orang itu?”

Narendra: “Saya akan fikir bahawa seekor anjing sedang menyalak.”

Sri Ramakrishna berkata dengan senyuman: “Oh! Jangan! Kamu tidak boleh berfikir begitu nak. Tuhan wujud dalam semua makhluk. Namun, kamu hanya boleh rapat dengan orang baik. Kamu mesti mengelakkan orang jahat. Tuhan memang wujud di dalam harimau, tetapi kamu tidak boleh memeluk harimau. Kamu mungkin berkata, ‘Mengapa lari daripada harimau iaitu salah satu manifestasi Tuhan?’ Jawapannya ialah ‘orang yang menyuruhmu untuk melarikan diri juga satu manifestasi Tuhan’. Kamu tidak boleh mengabaikan kata-katanya.

“Dengar cerita ini. Di sebuah biara berdekatan dengan sebuah hutan, tinggal seorang guru agama bersama pengikut-pengikutnya. Pada suatu hari, dia mengajar mereka untuk melihat Tuhan dalam semua makhluk. Atas kesedaran ini, mereka diminta untuk menghormati semua benda hidup. Tidak lama kemudian, seorang pengikut masuk ke dalam hutan untuk mengumpul kayu-kayan. Tiba-tiba, dia terdengar jeritan seorang gembala gajah, ‘Cepat, lari! Lari! Seekor gajah yang mengamuk sedang menghala ke sini’. Semua orang melarikan diri dengan serta-merta dari tempat itu kecuali pengikut tersebut. Dia berfikir, ‘Gajah ini juga ialah salah satu rupa Tuhan. Jadi mengapa perlu melarikan diri?’ Dia berdiri tegak dan mula menyanyikan lagu-lagu yang memuji gajah. Gembala gajah bertekak memintanya lari dari situ. Namun, pengikut itu tetap tidak berganjak. Akhirnya, gajah yang mengamuk itu, mengangkat pengikut itu dan mencampakkannya ke tanah lalu beredar pergi. Pengikut itu mengalami kecederaan teruk lalu pengsan. Selepas mendengar mengenai kejadian yang berlaku, gurunya bergegas ke tempat kejadian. Dengan bantuan pengikut-pengikut lain, gurunya membawanya pulang ke biara. Selepas menerima rawatan segera, pengikut itu sedar diri. Kemudian, seorang menyoalnya sebab dia tidak melarikan diri dari tempat itu walaupun menerima amaran gembala gajah. Pengikut menjawab, ‘Tok guru telah mengajar bahawa Tuhan telah menjelma dalam rupa yang berlainan seperti harimau dan manusia. Saya fikir, itu ialah Tuhan gajah. Oleh itu, saya tidak berlari dari situ’.

“Gurunya, menjawab, ‘Ya, nak. Memang benar gajah juga ialah salah satu penjelmaan Tuhan. Namun, Tuhan dalam rupa gembala gajah telah melarangmu untuk berada di situ dan memintamu untuk melarikan diri. Oleh sebab semuanya ialah rupa Tuhan, mengapa kamu tidak mempercayai kata-kata gembala gajah? Kamu patut menghiraukan kata-katanya.’”

Sri Ramakrishna meneruskan, “Dalam ciptaan Tuhan terdapat pelbagai jenis benda, manusia, haiwan, pokok dan tumbuhan. Dalam kalangan haiwan, ada yang jinak dan ada yang liar. Binatang liar ialah seperti harimau. Sesetengah pokok memberikan buah yang manis bagai madu. Ada juga pokok dengan buah yang beracun. Begitu juga, dalam kalangan manusia, ada orang yang baik, orang jahat, orang beriman dan orang yang tidak mempercayai Tuhan. Ada manusia yang mencintai Tuhan dan ada juga manusia yang menyayangi kehidupan di dunia ini.

“Manusia boleh dibahagikan kepada empat kategori – orang yang terikat dengan ikatan keduniaan, orang yang mencari kebebasan daripada ikatan keduniaan, orang yang telah bebas daripada ikatan keduniaan dan orang yang kekal bebas.

Orang yang kekal bebas ialah seperti Narada. Mereka tidak pernah terjerumus dalam ikatan keduniaan. Mereka hanya hidup di dunia ini demi kebaikan orang lain, untuk mengajar manusia ilmu rohani.

“Orang yang berada dalam ikatan keduniaan ialah orang yang telah melupakan kewujudan Tuhan. Mereka tidak akan berfikir mengenai Tuhan walaupun secara tidak sengaja.

“Orang yang mencari kebebasan daripada ikatan keduniaan pula hendak membebaskan diri mereka daripada belenggu kehidupan ini. Dalam kumpulan ini, ada yang berjaya menjadi bebas dan ada yang tidak berjaya.

“Orang yang telah bebas pula ialah seperti orang-orang alim. Mereka tidak terikat dengan dunia ini iaitu, dengan ‘perempuan dan emas’. Mereka telah bebas daripada keduniaan. Mereka juga sentiasa ingat pada Tuhan.

“Katakan nelayan memasang jala di tasik untuk menangkap ikan. Ikan-ikan yang bijak tidak pernah kena perangkap itu. Mereka ialah seperti orang yang kekal bebas. Kebanyakan ikan akan terperangkap. Ada di antaranya yang cuba untuk melepaskan diri daripada jala seperti orang yang cuba untuk mendapatkan kebebasan. Tidak semua yang berusaha itu akan bebas. Hanya beberapa ekor ikan sahaja yang akan berjaya melompat keluar daripada jala. Melihat mereka, nelayan akan berkata: ‘Tengok! yang itu dah terlepas’. Tetapi kebanyakan ikan yang kena tangkap, tidak boleh melepaskan diri atau mereka tidak cuba untuk keluar. Sebaliknya, ada yang akan memasukkan kepalanya ke dalam lubuk lumpur dan berfikir dengan senyap, ‘Kita tidak perlu takut lagi. Kita selamat di sini. Malangnya, ikan tidak tahu nelayan akan menariknya keluar bersama dengan jala. Mereka ialah seperti orang yang terikat dengan keduniaan.

“Jiwa yang terikat adalah dibelenggui keduniaan, iaitu ‘perempuan dan emas’, seperti orang yang kedua-dua tangan dan kakinya diikat. Dengan berfikir bahawa ‘perempuan dan emas’ akan memberi kegembiraan dan keselamatan, manusia tidak sedar bahawa ia akan membawa kemusnahan.

“Jiwa yang terikat, tidak berfikir mengenai Tuhan. Jika mereka ada masa lapang, mereka akan berborak kosong, bergosip dan membuat kerja yang tidak berguna. Jika kamu menyoal tindakannya, dia akan menjawab, ‘Oh! saya tidak boleh berdiam diri. Jadi, saya sedang mendirikan pagar.’ Jika mempunyai banyak masa lapang, mereka akan mula bermain daun terup.”

Kemudian, Sri Ramakrishna menunding ke arah Narendra, dan meneruskan: “Kamu semua lihat budak ini. Dia berkelakuan begini di sini. Seorang budak jahat akan berkelakuan lembut apabila berada bersama bapanya. Ketika dia bermain di luar, sikapnya berubah sama sekali. Naren dan orang sepertinya ialah golongan yang sentiasa bebas. Mereka tidak terikat dengan dunia ini. Apabila mereka membesar, mereka akan mengalami bangkitan kesedaran dalaman dan mereka terus mara ke arah Tuhan. Mereka datang ke bumi ini hanya untuk mengajar manusia. Mereka langsung tidak kisah tentang apa-apa di bumi ini. Mereka tidak terpikat pada ‘perempuan dan emas’.”

MALAM DI DAKSHINESHWAR
Hidup Sri Ramakrishna ialah satu pedoman. Oleh itu, beliau mengalakkan pengikut-pengikutnya untuk tinggal dengan beliau mengikut kesesuaian mereka. Narendra juga, apabila dia tidak ada kelas, akan menghabiskan beberapa hari di Dakshineswar bersama-sama beliau.

Pada waktu malam, Sri Ramakrishna akan membenarkan seorang dua untuk tidur di lantai kamar beliau. Beliau mengajar mereka bahawa jika seorang meniarap di atas lantai dan membayangkan imej Ibu Yang Maha Esa di dalam hatinya dan memikirkan perkara-perkara rohani sebelum tidur, dia akan mendapat mimpi-mimpi yang suci. Kebanyakan masanya, Sri Ramakrishna tidak akan membenarkan mereka tidur lena. Di tengah malam, beliau akan mengejutkan mereka, “Helo! Kamu datang ke sini untuk tidur? Jika kamu menghabiskan masa dengan tidur, bila lagi kamu akan berfikir tentang Tuhan?” Sebaik sahaja mendengar suara beliau, mereka akan bangun dan duduk untuk bermeditasi.  

BURUNG CHATAKA
Pada suatu hari, Sri Ramakrishna sedang menerangkan bahawa sifat seorang pencinta Tuhan adalah seperti seekor burung chataka. Beliau berkata: “Burung chataka hanya meminum air hujan. Burung itu sentiasa mendongkak ke langit, menantikan hujan turun. Begitu juga, seorang pencinta Tuhan bergantung kepada Tuhan untuk memuaskan kehausan rohani dan memenuhi keperluan lain mereka.”

Narendra tiba-tiba berkata: “Tuan, kepercayaan bahawa burung chataka hanya meminum air hujan adalah karut. Saya pernah melihat burung-burung itu meminum air dari sungai dan kolam.”

Sri Ramakrishna bertanya: “Apa! Burung chataka meminum air ke seperti burung lain? Jika begitu, apa yang saya faham selama ini adalah salah. Kalau kamu pernah melihatnya, tentu itu mesti betul.”

Sri Ramakrishna mula menjadi rungsing dan sedih. “Jika satu fahaman saya terbukti salah, mungkin ada juga fahaman lain yang salah.”

Selepas beberapa hari, Narendra memanggil Sri Ramakrishna dan menunjukkan ke arah Ganges, “Tengok, tuan. Seekor burung chataka sedang meminum air Ganges!”

Sri Ramakrishna melihat ke arah yang ditunjukkan dan kemudian gelak dengan lega. “Itu seekor kelawar! Bukan chataka! Penjahat! Mulai sekarang saya tak akan percaya kamu membuta tuli.”            

CARTA RAMALAN HUJAN
Pada hari yang lain, Sri Ramakrishna dan Narendra sedang berbual tentang kitab-kitab suci pelbagai agama. Selepas berbincang, Sri Ramakrishna mengarahkan Narendra untuk membawa sebuah carta ramalan hujan yang terletak di atas sebuah meja. Kemudian, beliau meminta Narendra untuk membaca ramalan itu. Selepas Narendra membacanya, beliau memintanya untuk memerah buku itu seperti memerah tuala yang basah. Narendra melakukan seperti yang disuruh.

Kemudian, Sri Ramakrishna berkata, “Tengok, setitik air pun tidak keluar daripada ramalan itu. Selagi air tidak keluar, ini cuma sebuah buku, sebuah buku sahaja.  Begitu juga, selagi kamu tidak menyedari Tuhan, agama tidak berguna. Orang yang membaca kitab suci untuk mendapatkan agama kekal seperti seekor keldai yang mengangkut seguni gula. Keldai langsung tidak tahu kemanisan gula itu.”

EMAS DAN PENCURI
“Tiada seorang pun dalam dua puluh juta manusia yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan,” kata Sri Ramakrishna.

“Mengapa begitu tuan?” tanya Narendra.

“Katakan ada seorang pencuri dalam bilik ini. Dia mendapat tahu bahawa ada longgokan emas di bilik sebelah. Hanya satu dinding yang nipis memisahkan kedua-dua bilik ini. Boleh kamu bayangkan keadaan pencuri itu?” tanya Sri Ramakrishna.

“Tentu matanya tidak akan lelap. Otaknya akan geliga memikirkan cara untuk mendapatkan emas itu. Dia tidak akan berfikir tentang sebarang perkara lain,” jawab Narendra.

“Jadi, bolehkah seorang manusia percaya kepada Tuhan dan tidak tergila-gila untuk melihat-Nya? Jika seorang manusia dengan jujur percaya tentang kewujudan Nikmat Abadi, dan yakin bahawa dia boleh mencapainya, tidakkah orang itu akan menjadi gila dalam usaha untuk mencapainya?”

KAWAN-KAWAN DI DAKSHINESWAR
Narendra juga bertemu dengan ramai pemuda di Dakshineshwar seperti Rakhal, Baburam, Niranjan, Shashi, Sarat, Latu, Subodh dan Gangadhar. Gugusan pohon-pohon di Panchavati ialah tempat kegemaran mereka. Narendra dan pengikut-pengikut muda Sri Ramakrishna sering bermeditasi dan juga bermain-main di situ. Kadang-kadang, Sri Ramakrishna juga akan mengikut mereka untuk berkelah di Panchavati. Mereka akan berlari berkejar-kejar, memanjat pokok, berhayun dari dahan-dahan pokok madhavi dan kadang-kadang memasak. 

Rakhal ialah seorang rakan sekelas Narendra dan juga seorang ahli Brahmo Samaj. Pada suatu hari, Narendra terlihat Rakhal sedang bersembahyang di kuil Radhakanta. Perbuatan memuja berhala adalah bertentangan dengan fahaman dan peraturan Brahmo Samaj. Narendra menyoal dan memarahinya kerana melanggar peraturan itu. Rakhal, seorang yang pendiam. Sejak itu, dia cuba mengelakkan Narendra. Apabila Sri Ramakrishna mengetahui ini, beliau berkata kepada Narendra, “Tolong jangan menakutkan Rakhal. Dia takut pada kamu. Sekarang dia percaya kepada Tuhan Yang Berupa. Macam mana kamu nak mengubahnya?” Selepas itu, Narendra, seorang pencinta kebebasan yang sejati, tidak pernah campur tangan dengan kepercayaan orang lain. Persahabatan Narendra dan Rakhal juga kekal sepanjang hayat mereka.

Sri Ramakrishna tidak menggalakkan pengikut-pengikutnya bercakap sebarang perkara kecuali mengenai Tuhan. Pada suatu malam, Narendra sedang bersembang dengan Mahendranath, seorang guru mengenai kerosakan akhlak para pelajar. Sri Ramakrishna, kebetulan terdengar perbualan mereka. Beliau memarahi Mahendranath, yang lebih tua daripada Narendra, kerana bercakap tentang hal-hal duniawi. “Mengapa berbual tentang perkara begini? Cakap hanya mengenai Tuhan,” tegurnya.
                                                                                                         
'Perempuan dan Emas' 
Dari semasa ke semasa, Sri Ramakrishna mendapat khabar tentang persediaan keluarga Narendra untuk mengahwinkannya. Sri Ramakrishna berdoa dengan air mata agar Narendra tidak dibelenggui dengan perkahwinan dan kewajipan keluarga. Sri Ramakrishna juga sering mengingatkan Narendra bahawa dia tidak boleh mencapai matlamat rohaninya jika dia menjadi hamba kepada “perempuan dan emas”.

Sri Ramakrishna berkata, “Jika seorang lelaki mengekalkan kesuciannya selama dua belas tahun, satu kuasa akan berkembang dalam dirinya. Inteleknya akan menjadi tajam dan dia akan dapat memahami perkara-perkara rohani. Hanya dengan intelek begini sahaja seseorang boleh mencapai Tuhan. Tuhan mendedahkan diri-Nya pada orang yang mempunyai hati yang suci. Iman kepada Tuhan adalah mustahil tanpa hati yang suci. Seseorang lelaki yang tidak suci tidak boleh mencapai iman. Fikirannya berkecamuk dan berbahagi-bahagi pada banyak perkara. Kamu tidak boleh mengharapkan apa-apa jika minda kamu bertumpu hanya pada ‘perempuan dan emas’”.

Selepas menjadi seorang pengikut Sri Ramakrishna, semangat pelepasan Narendra makin menjadi kuat. Kini, dia bercakap kepada rakan-rakannya tentang kemuliaan kehidupan rahib. Namun, mereka tidak memahaminya. Mereka percaya seseorang yang cerdik dan mempunyai pelbagai bakat dan kebolehan seperti Narendra dapat mencapai kejayaan besar dalam apa jua bidang yang diceburinya. Mereka menasihati Narendra untuk menumpukan perhatian pada kerjayanya.

Narendra bukannya tidak pernah berfikir tentang kejayaan duniawi. Dia sedar bahawa dia boleh mendapatkan nama baik, kemashyuran, kedudukan tinggi dalam masyarakat serta kekayaan dan kuasa. Namun, apabila dia berfikir secara mendalam, dia sedar semuanya adalah fana. Masa akan menelan segala-galanya. Jadi mengapa manusia hendak melakukan apa yang akan berakhir dengan maut? Sebaliknya, Narendra sedar bahawa jika dia memilih kehidupan rahib, dia dapat mengatasi maut. Seseorang rahib mencari realiti yang abadi, yang tidak berubah dengan peredaran masa.

KASIH SRI RAMAKRISHNA
Sejak awal pertemuan mereka, Sri Ramakrishna mengikat Narendra dengan kasihnya yang suci. Kalau Narendra tidak pergi ke Dakshineswar untuk beberapa lama, Sri Ramakrishna akan menghantar utusan. Kadang-kadang, beliau sendiri akan datang berjumpa dengannya. Pada suatu hari, Narendra sedang duduk di bilik bacaannya bersama-sama beberapa orang kawannya. Tiba-tiba, dari tingkat bawah, kedengaran suara yang pilu memanggil namanya. Dia berlari ke bawah, tidak dapat mengawal dirinya mendengar suara Sri Ramakrishna. Dengan linangan air matanya, beliau berkata, “Naren, mengapa kamu tak datang berjumpa dengan saya belakangan ini?” Kemudian, beliau menunjukkan manisan yang dibawanya dan mula menyuap Narendra.     


Pada suatu ketika, Narendra tidak pergi ke Dakshineswar untuk beberapa lama. Akhirnya, Sri Ramakrishna memutuskan untuk melawatnya di kuil Brahmo Samaj. Narendra biasanya bernyanyi di kuil Brahmo pada hari Ahad. Ketika Sri Ramakrishna memasuki kuil itu, Narendra sedang duduk di bahagian pentas koir. Seseorang sedang memberikan ceramah. Sri Ramakrishna mula mara ke arah pentas, tanpa mengendahkan keadaan di sekelilinginya. Matanya hanya tertumpu pada Narendra. Tiba-tiba, seseorang memadamkan semua lampu di dewan. Keadaan menjadi kucar-kacir. Narendra yang telah pun melihat Sri Ramakrishna, sedar bahawa orang-orang Brahmo Samaj tidak mahu menjemput Sri Ramakrishna. Khuatir sesuatu akan terjadi kepada gurunya, Narendra bergegas dan memegang tangan beliau. Dalam kegelapan dewan itu, dengan bersusah payah, Narendra membawa Sri Ramakrishna keluar dari tempat itu. Selepas mendapatkan sebuah pedati, dia membawa beliau pulang ke Dakshineswar. Dalam perjalanan, Narendra tidak berhenti memarahkan gurunya kerana datang ke tempat itu tanpa jemputan. Sri Ramakrishna tanpa menghiraukan kata-katanya. Beliau kelihatan amat riang seperti seorang kanak-kanak kerana akhirnya, beliau dapat berjumpa dengan Narendra.

Ujian
Biasanya, Sri Ramakrishna menyambut kedatangan Narendra dengan penuh mesra. Pada suatu hari, apabila Narendra memberi salam, beliau langsung tidak menghiraukannya. Selepas duduk beberapa lama dengan senyap, Narendra keluar dari bilik itu. Dia mula bercakap dengan kawannya, Hazra. Sebentar kemudian, dia terdengar suara Sri Ramakrishna, bercakap dengan orang-orang lain. Sekali lagi, Narendra kembali ke kamar itu dan duduk di hadapan beliau. Peliknya, Sri Ramakrishna tidak memandang muka Narendra. Dengan sengaja, beliau berpaling ke dinding. Sepanjang hari itu beliau tidak bercakap walaupun sepatah kata dengan Narendra. Selepas seminggu, Narendra kembali ke Dakshineswar. Sri Ramakrishna masih melayannya dengan dingin tanpa bercakap atau melihat mukanya. Narendra menghabiskan masanya dengan kawan-kawannya dan kembali ke Kolkata. Keadaan ini berterusan selama sebulan. Narendra juga tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia terluka dengan kelakukan beliau.

Selepas sebulan, Sri Ramakrishna sendiri memanggil Narendra dan berkata, “Saya telah mengelakkan kamu selama sebulan. Namun, kamu masih datang lagi ke sini. Macam mana ni? Tidakkah kamu rasa kecil hati melihat saya berkelakuan dingin?”

“Tuan, saya datang ke sini bukan untuk bercakap kepada tuan. Saya sayang pada tuan dan suka melihat tuan. Untuk itu, saya datang ke sini,” jawab Narendra dengan ikhlas. Jawapan Narendra menggembirakan hati Sri Ramakrishna.

Sri Ramakrishna ialah seorang guru yang tiada tandingannya. Meskipun beliau menyayangi dan mempercayai Narendra, beliau juga menguji Narendra dengan pelbagai cara. Kejadian ini menguatkan lagi keyakinan beliau terhadap Narendra, bahawa dia bukan orang sebarangan. Hanya orang-orang yang mulia seperti Narendra mampu bertahan dengan kedinginan dan pengabaian orang lain. Mereka tidak mengharapkan sebarang tindak balas untuk kasih mereka.

Sri Ramakrishna juga sentiasa mengawasi setiap gerak-geri Narendra. Pada suatu ketika, beliau mendapat tahu bahawa Narendra berkawan rapat dengan seorang pengikut beliau. Orang itu pernah menjalani kehidupan sumbang. Apabila beliau memberi amaran kepada Narendra, dia membantah mengatakan bahawa orang itu telah bertaubat. Sri Ramakrishna berkata: “Tidak kira berapa kali kamu mencuci bekas bawang putih disimpan, sedikit baunya akan kekal juga.”

Pada suatu hari, Narendra dengan sengaja memakan makanan yang dilarang di sebuah restoran dan memberitahunya kepada Sri Ramakrishna. Sri Ramakrishna menjawabnya dengan pantas: “Itu tidak akan menjejaskan kamu. Jika fikiran seseorang manusia tertumpu pada Tuhan, daging khinzir dan daging lembu juga akan menjadi makanan yang suci dan bersih. Sebaliknya, jika seseorang manusia yang penuh dengan keinginan duniawi memakan sayur-sayuran sahaja, itu tidak banyak berbeza dengan memakan makanan yang tidak bersih. Oleh itu, saya tak kisah jika kamu memakan sesuatu yang dilarang.” 

SIAPAKAH MANUSIA UNTUK BERSIMPATI?
Pada suatu hari, Sri Ramakrishna sedang bercakap kepada sekumpulan orang mengenai ciri-ciri mazhab Vaishnava: simpati pada semua makhluk hidup. “Simpati kepada makhluk! Simpati kepada makhluk! Orong bodoh! Kamu seekor cacing kecil yang merangkak di bumi. Kamu hendak menunjukkan simpati kepada makhluk lain! Tidak waras! Kamu tidak boleh bersimpati. Kamu hanya boleh berkhidmat kepada semua. Kenali semua makhluk sebagai manifestasi Tuhan dan berkhidmatlah untuk mereka.”

Hanya Narendra seorang sahaja yang memahami maksud kata-kata ini. Selepas keluar dari kamar itu, Narendra berkata:

“Saya telah mendapat satu idea yang hebat daripada kata-kata Mahaguru tadi!... Jika itu adalah kehendak Tuhan, satu hari nanti saya akan memberikan kebenaran mulia ini kepada dunia. Saya akan menjadikannya satu harta awam bagi orang-orang yang arif, yang bodoh, yang kaya dan yang miskin, brahmin dan pariah.”




















No comments:

Post a Comment