Tuesday 25 March 2014

8. KELAHIRAN PERSAUDARAAN RAHIB

Pada tahun 1885, Sri Ramakrishna mula mengalami sakit tekak yang berlanjutan. Selepas sebulan, keadaannya bertambah buruk apabila beliau bercakap atau mengalami keghairahan rohani. Walaupun rawatan doktor pakar diberikan, sakitnya tidak menunjukkan sebarang tanda pulih.

Semakin hari, semakin ramai orang baru mula datang ke Dakshineswar untuk berjumpa dengan Sri Ramakrishna. Tanpa mengendahkan nasihat doktor-doktor, beliau meneruskan tugasnya untuk memberi ajaran rohani. Pengikut-pengikut beliau memutuskan untuk membawa beliau ke tempat baru, jauh daripada keriuhan dan pencemaran di Kolkata.


Rumah Taman Kasipur
Pada bulan Disember 1885, Sri Ramakrishna dibawa ke rumah taman Kasipur,  di bahagian persisiran bandar Kolkata. Rumah dua tingkat itu dikelilingi oleh taman dan dusun buah-buahan. Di taman itu juga terdapat sebuah kolam yang cantik. Tempat itu sangat sunyi, aman dan udaranya segar.

Dua belas orang pengikut Sri Ramakrishna, antaranya Narendra, Rakhal, Baburam, Niranjan, Sashi, Sharat dan Tarak bersatu untuk menjaga beliau. Tanpa mengendahkan bantahan dan rungutan keluarga mereka, pemuda-pemuda ini meninggalkan segala-galanya dan mengambil tugas menjaga guru mereka. Pengikut-pengikut yang telah berumah tangga, terutamanya Surendra dan Balaram Bose pula menanggung perbelanjaan Sri Ramakrishna, membayar sewa rumah, dan menguruskan makanan dan minuman pemuda-pemuda yang menjaga beliau.

Narendra berasa lega selepas melakukan segala persediaan untuk penjagaan dan rawatan Sri Ramakrishna. Oleh itu, dia membuat keputusan untuk pergi ke rumahnya untuk sehari dua bagi menguruskan hal-ehwal keluarganya. Dia menyuarakan hasratnya kepada saudara-saudara segurunya sebelum tidur. Namun, pada malam itu dia langsung tidak dapat melelapkan matanya. Melihat beberapa orang yang masih berjaga, Narendra memanggil mereka untuk berjalan-jalan di taman. Dalam kesejukan bulan Disember, di bawah kerlipan jutaan bintang, Narendra mula bercakap dengan penuh bersemangat.

“Mahaguru sedang menderita dengan penyakit yang serius. Siapa tahu, kalau beliau telah membuat keputusan untuk meninggalkan jasadnya? Selagi kita masih ada masa, biar kita cuba maju dalam kehidupan rohani kita dengan berkhidmat kepada beliau, dengan melakukan meditasi dan aktiviti-aktiviti keimanan. Kalau tidak, kita akan menyesal selepas beliau meninggal dunia. Sia-sia sahaja kita berfikir kita akan berdoa selepas menyelesaikan kerja ini dan itu. Hanya belenggu nafsu yang mengikat kita kepada dunia ini akan bertambah kuat. Kita mesti menghapuskan segala keinginan dan nafsu yang menyebabkan kita melupakan Tuhan. Jadi, mari kita hapuskan segala nafsu. Biar kita lepaskan segala-galanya.”

Narendra duduk di bawah sebatang pokok. Sejurus kemudian, dia meneruskan, “Bakar ranting-ranting dan rumput-rumput kering ini. Fakir-fakir Hindu menyalakan unggun api pada waktu malam dan duduk mengelilinginya. Marilah kita juga menyalakan unggun api dan membakar segala nafsu kita di dalamnya.”

Akur pada kata-kata Narendra, saudara-saudara segurunya mengumpul rumput dan ranting kering lalu menyalakan unggun api. Kemudian, kumpulan kecil itu duduk mengelilinginya. Setiap seorang membayangkan bahawa segala keinginan dan nafsu duniawi mereka sedang hangus dalam api itu. Lebih kurang pukul empat pagi, mereka bangun dari tempat itu dengan riang dan bersemangat.  

Pada suatu malam lain, Narendra dan Girish Ghosh duduk untuk bermeditasi di bawah sebatang pokok. Tempat itu penuh dengan nyamuk. Girish mencuba untuk menumpukan mindanya dengan sia-sia. Dia tidak dapat menutup matanya disebabkan dengungan dan gigitan nyamuk-nyamuk. Akhirnya, dengan berputus asa, dia membuka matanya. Menoleh ke arah Narendra, dia tercegat kagum. Ratusan nyamuk meliputi badan Narendra bagai kain cadar. Narendra sedang duduk tanpa bergerak, khusyuk dalam meditasinya.                                                                   
Ketika ini kehidupan Buddha menjadi topik utama yang dibincangkan oleh pengikut-pengikut Sri Ramakrishna, terutamanya Narendra. Seperti Buddha, mereka juga ingin meninggalkan segala-galanya untuk mencari Kebenaran. Mereka menulis ayat suci Buddha di atas dinding bilik meditasi mereka, :

        “Biar badan ini kering di tempat duduknya. 
        Biar isi dan tulangnya hilang.
        Tanpa mencapai Nirvana yang amat sukar diperolehi dalam 
        jutaan tahun, badan ini tidak akan bangun dari tempat duduknya.”


Pokok Bodhi di Bodh Gaya
Narendra teringin untuk melawat Bodh Gaya, tempat Buddha mencapai Nirvana. Dia meluahkan hasratnya kepada Kali dan Tarak. Kemudian, dengan senyap-senyap tanpa memberitahu sesiapa, mereka meninggalkan rumah taman Kasipur. Tarak telah menguruskan tambang tiket keretapi untuk mereka. Mereka memakai pakaian jingga rahib dan turun di stesen keretapi Gaya. Dari sana mereka berjalan sejauh tujuh batu untuk sampai ke Bodh Gaya. Menjelang waktu senja selepas orang ramai meninggalkan tempat itu, seluruh tempat itu menjadi sunyi. Narendra dan rakan-rakannya duduk melakukan meditasi di bawah pokok Bodhi yang suci.

Sementara itu, di Kasipur semua orang risau tentang Narendra, Tarak dan Kali. Ibu Narendra, Bhuvaneshwari Devi, datang ke Kasipur apabila mendapat tahu bahawa Narendra telah hilang. Sri Ramakrishna menenangkannya, “Jangan khuatir. Naren tidak boleh pergi ke mana-mana pun. Berapa lama dia boleh pergi? Tidak lama lagi dia akan pulang.”

Seperti yang Sri Ramakrishna katakan, Narendra tidak dapat tinggal lama di Bodh Gaya. Akibat cirit-birit, dia membuat keputusan untuk pulang ke Kasipur. Malangnya, mereka langsung tidak ada duit untuk membeli tiket keretapi. Oleh itu, Narendra pergi berjumpa dengan ketua kuil Bodh Gaya dan menyanyikan beberapa buah lagu suci. Ketua kuil yang gembira dengan nyanyian Narendra memberinya sedikit wang untuk membeli tiket keretapi. Seorang peguam, kawan lama mendiang bapanya juga menjemput Narendra untuk bernyanyi di rumahnya dan memberinya baki wang perjalanan. Demikian selepas tiga hari di Bodh Gaya, mereka kembali ke Kasipur.

Di Kasipur, Narendra mula mendesak Sri Ramakrishna untuk memberinya sedikit pengalaman rohani. “Mengapa kamu menyusahkan saya? Dahulu kamu memberitahu saya bahawa kamu ada ibu bapa dan kamu perlu menjaga keluarga kamu. Tengok sini, dahulu seorang lelaki mati dan menjadi hantu. Selepas lama bersendirian, hantu itu berasa sepi dan mula mencari teman. Sebaik sahaja mendengar berita tentang kematian seseorang, hantu akan berlari ke tempat itu, dengan harapan ia akan mendapat teman. Malangnya, semua orang yang mati itu mendapat kebebasan. Jadi, mereka tidak menjadi hantu. Oleh itu, dengan hampa, hantu itu pulang ke tempatnya dan meneruskan dengan hidupnya yang sepi. Hantu yang malang itu tak pernah mendapat teman. Keadaan saya juga seperti hantu itu. Apabila saya berjumpa dengan kamu, saya berfikir akhirnya saya sudah mendapat seorang teman. Namun, kamu juga runsing tentang ibu bapamu. Jadi, saya pun tidak mendapat seorang teman.”  

Beberapa orang pengikut Sri Ramakrishna berasa khuatir untuk mendekati Sri Ramakrishna. Mereka telah mendengar khabar angin bahawa kemungkinan penyakit yang dihidapi oleh Mahaguru mereka adalah satu wabak berjangkit. Mendengar ini, Narendra berlari ke bilik Sri Ramakrishna. Di suatu sudut bilik itu, dia ternampak sebuah mangkuk yang mengandungi sisa bubur yang tidak dapat dihabiskan oleh Sri Ramakrishna. Narendra mengangkat mangkuk itu dan menelan kandungannya sekaligus. Melihat kejadian ini, pengikut-pengikut lain mula berasa malu dengan diri mereka. Mereka juga kini lebih menyayangi dan menghormati Narendra disebabkan kasihnya pada Sri Ramakrishna. 

Narendra mencemuh sesiapa sahaja yang cuba untuk meniru keghairahan rohani yang dialami oleh Sri Ramakrishna. Keghairahan rohani Sri Ramakrishna adalah hasil usaha beliau selama bertahun-tahun untuk menjalani kehidupan yang suci dan imannya yang tidak berbelah bahagi. Keadaan beliau bukan disebabkan emosi yang keterlaluan. Narendra cuba menasihati saudara-saudara segurunya dan berkata, “Sifat sentimental yang tidak membawa perubahan kekal dalam hidup manusia, yang menyebabkan seseorang beria-ia untuk menyedari Tuhan seketika tetapi tidak memberinya kuasa untuk menghalang dirinya daripada mencari 'perempuan dan emas', tidak mempunyai sebarang kekuatan di dalamnya. Sifat sentimental begitu tidak ada sebarang nilai dalam kehidupan.”

“Apabila orang cuba untuk mengamalkan agama,” kata Narendra, “lapan puluh peratus dalam kalangan mereka menjadi penipu, dan lebih kurang lima belas peratus menjadi gila. Hanya baki lima peratus sahaja yang mendapat sedikit pengalaman terus mengenai Kebenaran dan demikian menjadi berahmat. Jadi, berwaspadalah!”

Manusia dengan pelbagai ragam datang berjumpa dengan Sri Ramakrishna. Antaranya ialah seorang bernama Mahimacharan. Dia mempunyai banyak sifat mulia tetapi suka menunjuk-nunjuk. Ramai orang yang terpedaya dengan ketampanan dan kemanisan kata-katanya, menganggapnya sebagai orang yang mulia. Selepas berjumpa dengan Sri Ramakrishna, dia akan duduk di suatu sudut dengan sebuah alat muzik dengan satu tali. Sambil mengulangi ‘Om’, dia memainkan alat muzik itu. Dia juga mula memberi ceramah kepada semua pengikut muda Sri Ramakrishna bahawa itu merupakan disiplin rohani yang paling mudah dan mujarab. Narendra yang melihat saudara-saudara segurunya mendengar ajaran Mahimacharan tanpa bantahan mula hilang kesabarannya.

“Apakah buktinya bahawa apa yang kamu lakukan adalah suatu disiplin rohani?” Narendra menyoal Mahimacharan. Mahimacharan menjawabnya, “Bunyi ialah Brahman. Tuhan tidak dapat menahan Diri-Nya dan akan mendedahkan Diri-Nya sekiranya Mantera diucap dengan iringan muzik. Tak perlu lakukan apa-apa lagi.” Narendra berkata, “Adakah Tuhan telah melakukan sebarang perjanjian begitu dengan kamu? Atau Tuhan akan datang secara curi-curi seperti ular yang menari dengan tarikan mantera dan haruman herba-herba, apabila kamu meninggikan suara kamu dan menyahut kata-kata mistikal seperti ‘Hum’ ‘Hum’?” Kata-kata Narendra mendiamkan Mahimacharan dan dia meninggalkan tempat itu dengan segera. 

Sifat semula jadi Narendra adalah untuk membantu orang-orang miskin, yang tertindas, bernasib malang, dan teraniaya. Apabila dia mendapat tahu bahawa kawannya Hazra tidak mendapat restu Sri Ramakrishna, dia mula merayu kepada beliau. Pada mulanya, Sri Ramakrishna enggan kerana Hazra ialah seorang hipokrit dan suka bermegah diri. Akhirnya, mendengar rayuan Narendra, beliau dengan penuh simpati berkata, “Masanya belum tiba lagi. Dia akan direstui pada saat kematiannya.”
                                                                                                                   Walaupun menerima rawatan yang baik, kesihatan Sri Ramakrishna menjadi semakin tenat. Beliau hanya dapat menelan sedikit bubur suji yang cair, itu pun dengan susah-payah. Simptom-simptomnya menandakan bahawa beliau menghidap barah tekak. Narendra merujuk pada buku-buku perubatan pada masa itu dan sedar bahawa Sri Ramakrishna sedang menanti ajalnya. Pada masa itu, tidak ada sebarang rawatan untuk penyakit barah. Pengetahuan ini mengukuhkan lagi semangat Narendra untuk menambahkan disiplin rohaninya dan untuk mendapatkan pengalaman terus mengenai kewujudan Tuhan. Pengikut-pengikut muda Sri Ramakrishna juga meningkatkan disiplin rohani seperti meditasi, pembelajaran sastera agama, nyanyian lagu-lagu suci, dan perbincangan mengenai hal-hal rohani dan keagamaan.

Meskipun peperiksaan undang-undangnya telah hampir dekat, Narendra langsung tidak memberi sebarang perhatian kepada pelajarannya. Melihatnya berulang-alik ke Kasipur, saudara-maranya memarahinya. Pada suatu hari, ketika dia sedang cuba untuk membaca, tiba-tiba dia menjadi amat takut, seolah-olah pelajaran adalah suatu perkara buruk. Dia mula menangis. Akhirnya, dia mencampak bukunya dan berlari keluar. 

Melihat Narendra mengabaikan pelajarannya, Sri Ramakrishna bertanya, “Kamu tidak mahu meneruskan pendidikan kolej?” Dengan penuh perasaan, Narendra menjawab, “Tuan, saya akan rasa amat lega sekiranya saya mendapat ubat yang membolehkan saya melupakan semua yang telah saya belajar.”

Sri Ramakrishna melatih Narendra untuk menjadi ketua bagi pengikut-pengikut mudanya. Setiap hari selepas waktu senja beliau meminta semua orang lain untuk meninggalkan biliknya. Kemudian, beliau memanggil Narendra dan mengajarnya untuk dua atau tiga jam. Narendra memahami bahawa gurunya sedang melakukan persediaan terakhir untuk meninggalkan jasadnya.  
 

Narendra gemar melakukan meditasi. Dia memberitahu Sri Ramakrishna mengenai hasratnya untuk menghabiskan hidupnya dalam meditasi. Sebaliknya, Sri Ramakrishna tidak merestui niat Narendra. “Kamu patut malu dengan diri kamu! Kamu sedang meminta perkara yang remeh temeh. Saya berfikir kamu akan menjadi seperti sebatang pokok banyan yang besar, dan beribu-ribu orang akan berehat di bawah teduhan kamu. Sekarang saya lihat kamu mencari kebebasan kamu sendiri.”

PERSAUDARAAN RAHIB
Pada suatu hari, seorang pengikut Sri Ramakrishna bernama Gopal Tua datang ke Kasipur. Dia telah membawa beberapa helai kain jingga Sannyasi dan kalungan Rudraksha untuk disedekahkan kepada fakir-fakir. Sri Ramakrishna berujar, “Di mana lagi kamu akan jumpa orang-orang alim dan suci seperti budak-budak ini? Kamu akan mendapat pahala jika kamu memberikannya kepada mereka.” Demikian Sri Ramakrishna memberikan kain jingga Sannyasi kepada sebelas orang pengikutnya – Narendra, Rakhal, Baburam, Niranjan, Yogindra, Tarak, Shashi, Sharat, Kali, Latu, dan Gopal Tua. 
Pada hari-hari terakhirnya, Sri Ramakrishna menyerahkan tugas memimpin pengikut-pengikutnya kepada Narendra. Apabila sakitnya menjadi tidak tertahan dan beliau langsung tidak dapat bercakap, Sri Ramakrishna menulis di atas sekeping kertas, “Narendra akan mengajar,” sebagai pesanan kepada pengikut-pengikut lain. Apabila Narendra membantah, Sri Ramakrishna memberi kepastian dengan bahasa isyarat, “Kamu akan melakukannya. Malah, tulang-tulang badanmu juga akan melakukannya.”

Pada 16 Ogos 1886, Sri Ramakrishna meninggalkan jasadnya. Keesokan harinya, selepas melakukan upacara pembakaran tubuh Mahaguru mereka di tebing Ganges, pengikut-pengikut beliau kembali ke rumah taman Kasipur. Suasana yang hiba memenuhi setiap ruang rumah itu. Setiap orang berasa seolah-olah masa depan mereka sendiri telah menemui jalan buntu.


Narendra menjinjing abu suci Sri Ramakrishna
Narendra telah bersama-sama dengan gurunya selama lebih lima tahun. Dalam tempoh ini, pelbagai peristiwa telah mengubah Narendra; daripada seorang teruna bangsawan kepada seorang insan yang berwawasan. Selepas kematian Sri Ramakrishna, hidup Narendra mendapat satu matlamat baru: bekerja siang dan malam untuk memastikan hidup dan ajaran Sri Ramakrishna sampai ke seluruh pelosok dunia.









No comments:

Post a Comment