Monday 24 March 2014

17. PENUBUHAN RAMAKRISHNA MISSION

Arca Sri Ramakrishna
Swamiji mahu semua rahib-rahib dan pengikut-pengikut Sri Ramakrishna untuk bekerja bersama-sama secara teratur. Oleh itu, beliau memanggil satu mesyuarat pada 1 Mei 1897 di rumah mendiang Balaram Bose. Hampir 40 orang hadir dan bersetuju untuk memulakan satu pertubuhan yang dikenali sebagai Ramakrishna Mission. Melalui Ramakrishna Mission, rahib-rahib dan pengikut-pengikut Sri Ramakrishna yang telah berumah tangga mula melakukan pelbagai aktiviti untuk perkembangan rohani dan sosial. Motto pertubuhan ini adalah Atmano Mokshartham Jagad Hitaya Cha - “Demi Kebebasan sendiri dan untuk kebaikan dunia”.



Kehadiran Swamiji di Kolkata memberikan inspirasi kepada ramai pemuda-pemuda untuk menjadi pengikutnya. Melihat kesungguhan dan kesucian mereka, beliau menjadikan mereka rahib dan memberikan mereka pelbagai tugas dalam pertubuhan Ramakrishna Mission. Beberapa orang yang mendapat inspirasi daripada beliau memulakan pelbagai kegiatan kebajikan mengikut kemampuan masing-masing.

Dua minggu selepas penubuhan Ramakrishna Mission, kerja-kerja bantuan kebuluran dimulakan di wilayah Murshidabad oleh Swami Akhandananda. Swamiji gembira dengan semangat Akhandananda lalu memberinya sokongan penuh. Beberapa bulan kemudian, Akhandananda juga memulakan sebuah rumah anak yatim. 

Sambutan kebangsaan ke atas kejayaan Swamiji akhirnya terpaksa dihentikan. Kerja keras beliau selama beberapa tahun ini menyebabkan kesihatan beliau terjejas. Atas nasihat doktor dan pujukan kawan-kawannya, beliau bersetuju untuk berehat di kawasan pergunungan Darjeeling. Namun, Swamiji tidak boleh hidup dengan bermalas-malasan. Di Darjeeling juga, beliau tidak berhenti memberi inspirasi kepada pengikut dan kawan-kawannya dengan menulis surat. “Saya hanya faham sejenis kerja sahaja, iaitu membuat baik kepada orang lain. Semua kerja lain adalah kejahatan,” katanya. 

Di Darjeeling, Swamiji berbincang dengan Swami Brahmananda, Girish Ghosh dan beberapa orang lain tentang rancangannya untuk menubuhkan sebuah organisasi. "Saya akan membawa revolusi dalam pertubuhan rahib," katanya kepada Swami Turiyananda. Sesungguhnya, Swamiji telah membaharui pertubuhan kerahiban tradisional mengikut kehendak zaman. 


DI INDIA UTARA
Pada bulan Mei 1897, Swamiji bertolak ke Almora di pergunungan India Utara. Penduduk Almora telah menjemputnya untuk memberikan ceramah dan merestui mereka. Swamiji, beberapa orang rahib lain serta pengikut-pengikut Swamiji tiba di Almora. Selama dua belas minggu, Swamiji memberi ceramah dan berjumpa dengan ramai orang dan memberi inspirasi dan arahan kepada pengikut-pengikut dan sahabat-sahabatnya tentang pelbagai perkara.

Ketika berada di Delhi, Swamiji menjadi tetamu di rumah Natakrishna yang beliau kenali semasa merantau beberapa tahun dahulu. Beliau menolak jemputan orang-orang kaya Delhi dan memilih rumah kawannya yang sederhana.

Natakrishna memberitahu beliau pada suatu hari: “Saya sedang melakukan Gayathri Japam dan Sandhya lima atau enam bulan ini. Namun, saya masih tidak dapat sebarang cahaya.” Swamiji menjawabnya, “Serulah Tuhan dalam bahasa ibundamu. Tak guna kamu mengulangi Stotra dalam bahasa Sanskrit yang kamu tidak faham.” Kemudian, beliau menerangkan maksud Gayatri Mantra.

Di Alwar, Swamiji menerima banyak jemputan daripada kawan-kawan lamanya. Beliau menghantar utusan kepada seorang wanita tua bahawa beliau ingin memakan chappati yang disediakannya. Wanita tua ini telah memberikan makanan kepadanya semasa beliau sedang merantau sebagai fakir yang tidak dikenali. Gembira menerima pesanan itu, wanita miskin itu menyediakan chappati dan menjemput Swamiji dan kawan-kawannya untuk makan di pondoknya.

RUMAH TAMAN NILAMBAR MUKHERJEE
Sejak kembali ke India, agenda utama Swamiji adalah untuk mendapatkan sebuah tapak tetap untuk mendirikan kuil bagi Sri Ramakrishna dan juga untuk membina sebuah biara dan pusat latihan bagi bakal rahib-rahib. Namun, hanya pada tahun 1898, hasrat beliau tercapai.

Sebidang tanah seluas tujuh ekar ditemui di tebing barat sungai Ganges di Belur. Pada 3 Februari 1898, Swamiji membeli tanah ini dengan sumbangan derma daripada Cik Muller, seorang wanita Amerika. Tidak lama kemudian, Hariprasanna, seorang pengikut Sri Ramakrishna meletak jawatannya sebagai jurutera, dan mengambil ikrar Sannyasa. Swamiji menamakannya sebagai Swami Vijnanananda dan memberinya tugas untuk mengawasi kerja-kerja pembinaan biara baru mereka. Hampir keseluruhan pembinaan ini adalah hasil sumbangan derma daripada Puan Sara Bull. Bagi mengawasi kerja-kerja pembinaan di tapak baru mereka, rahib-rahib Ramakrishna berpindah ke rumah taman Nilambar Mukherjee di kampung Belur pada 13 Februari 1898. 

Rumah taman Nilambar Mukerjee
Swamiji berasa gembira dengan kehidupan di rumah taman Nilambar Mukherjee. Udara yang nyaman, jauh daripada keriuhan bandar, dan keadaan rumah yang bersih dan luas menjadikannya sebuah tempat yang sesuai untuk menjadi biara walaupun untuk sementara waktu sahaja.

Sehari selepas biara mereka berpindah ke rumah taman Nilambar Mukherjee, Swami Saradananda, Puan Sara Bull, dan Cik Josephine Macleod tiba dari Amerika. Swamiji telah memanggil Saradananda ke India untuk mengambil tugas pengurusan organisasi mereka.

Semasa di rumah taman Nilambar, Swamiji memperkenalkan rutin-rutin harian, dan peraturan yang harus diikuti oleh penghuni-penghuni biara. Semua rahib mesti bangun pada pukul 4 pagi, dan selepas membersihkan diri, melakukan meditasi di bilik sembahyang. Orang yang gagal mematuhi peraturan ini sebagai hukuman mesti pergi mengemis makanannya untuk hari itu.

Swami Shivananda
Pada suatu pagi, Swami Shivananda tidak mendengar loceng yang dibunyikan untuk menandakan waktu bangun. Akibatnya, beliau tidak pergi untuk meditasi pagi. Swamiji menyedari ini dan berkata kepadanya, “Saudara, saya tahu kamu tidak memerlukan meditasi. Kamu telah pun mencapai matlamat yang unggul melalui rahmat Sri Ramakrishna. Namun, demi menjadi teladan kepada golongan muda ni, kamu mesti melakukan meditasi bersama-sama mereka setiap hari.” Shivananda mengikuti arahan ini sehingga ke akhir hayatnya.

Sri Ramakrishna seorang yang sangat cerewet tentang kebersihan. Swamiji juga sama seperti gurunya. Beliau akan memeriksa bilik-bilik di biara itu untuk memastikan ianya dibersihkan. Pada suatu ketika, orang gaji mereka tidak sihat. Oleh itu, selama tiga atau empat hari, tandas biara tidak dibersihkan. Swamiji memerhatikan ini. Keesokan harinya, pada pukul empat pagi, tanpa memberitahu sesiapa pun beliau mula menggosok tandas itu. Beberapa orang rahib muda terlihat ini dan berlari untuk menegahnya. Mereka merayu kepadanya untuk memberikan tugas itu kepada mereka. Namun, Swamiji tidak berhenti sehingga menghabiskan kerja itu.

Saudari Nivedita
Seorang lagi pengikut Barat yang telah datang ke India untuk membantu tugas Swamiji ialah Cik Margaret Noble dari England. Swamiji memberikan Cik Noble ikrar Brahmacharya dan menamakannya sebagai “Nivedita” bermaksud “seorang yang berbakti”.  

Pada bulan Mac 1898, Swamiji pergi ke Darjeeling untuk berehat. Sebulan kemudian, berita bahawa wabak epidemik sedang merebak di Kolkata sampai ke telinganya. Beliau kembali ke Kolkata dengan segera. Kebanyakan orang di bandar itu sedang berpindah keluar dan ramai orang miskin menjadi mangsa wabak itu.

Swamiji dan pengikut-pengikutnya dengan segera memulakan kerja-kerja kebajikan untuk menghapuskan wabak itu dan juga untuk merawat pesakit-pesakit. Macam mana mereka dapat melakukan kebajikan tanpa wang?  Swamiji memberitahu saudara segurunya: “Kita akan menjual tanah yang telah dibeli untuk Biara baru kita, jika perlu. Kita adalah golongan Sannyasin. Kita patut bersedia untuk tinggal di bawah pokok dan mengemis untuk makanan kita.” Namun, langkah drastik ini tidak dilakukan kerana orang ramai mula memberikan derma kepada Ramakrishna Mission.

Sebidang tanah yang besar disewa dan sebuah kem didirikan. Pesakit-pesakit diberikan rawatan di kem itu. Ramai orang datang memberikan bantuan kepada Swamiji dan pengikut-pengikutnya. Mereka juga membersihkan jalan-jalan, dan rumah-rumah penduduk di sekitar dan mengajar orang ramai mengenai langkah-langkah pencegahan wabak.

Selepas ini, masyarakat mula melihat Swami Vivekananda dan rahib-rahib Ramakrishna dengan penuh hormat. Mereka mula sedar bahawa Swamiji bukan sahaja mengajar falsafah yang tinggi, tetapi juga seorang yang mengamalkan falsafah itu dalam hidupnya sendiri. Masyarakat di Kolkata juga mula melihat Ramakrishna Mission sebagai sesuatu yang baru, yang tidak pernah berlaku di India, di mana rahib-rahib memberikan khidmat kebajikan.  
       
Sebaik sahaja kerja-kerja membanteras wabak di Kolkata selesai dan tidak ada ancaman lagi, Swamiji bertolak ke pergunungan Himalaya atas jemputan Kaptain dan Puan Sevier yang ketika itu sedang melawat Almora. Kali ini beliau ditemani oleh saudara-saudara segurunya, Niranjananda dan Turiyananda dan dua orang pengikutnya yang menjadi rahib, Sadananda dan Swarupananda. Puan Sara Bull, Cik Josephine Macleod, Nivedita dan Puan Patterson juga turut bersama. Puan Patterson ialah seorang kenalan Swamiji dari Amerika. Apabila mendapat tahu bahawa beberapa hotel di Amerika enggan untuk menyewakan bilik kepada Swamiji kerana diskriminasi perkauman, Puan Patterson telah menjemput beliau ke rumahnya untuk tinggal sebagai tetamu.

Sepanjang perjalanan ini cukup menarik kerana Swamiji menghiburkan teman-temannya dengan cerita-cerita daripada mitos dan sejarah setiap tempat yang mereka lalui. Perhentian pertama mereka adalah di Nainital dan dari sana mereka pergi ke Almora. Melihat Swamiji bergurau senda dan riang, segelintir orang tidak bersetuju dengannya dan ada pula yang rasa hairan. Malah ada juga yang secara terus-terang memberitahunya, “Swamiji, tuan seorang guru agama. Tuan tidak patut bergelak ketawa dan bersuka ria seperti orang biasa. Kelakukan begini tidak sesuai dengan tuan.” Swamiji mempunyai jawapannya yang tersendiri: “Kita anak Tuhan - Yang Bahagia dan Yang Abadi. Jadi kenapa kita nak bermuka murung dan sedih?” 

Ketika berada di Almora, Swamiji menerima telegram pada 3 Jun 1898 bahawa Encik Goodwin telah meninggal dunia di India Selatan. Dengan penuh duka, Swamiji menulis sepucuk surat kepada ibu Encik Goodwin. “Hutang budi saya kepada Goodwin, tidak boleh dijelaskan. Sesiapa sahaja yang berfikir bahawa sebarang pemikiran saya telah membantu mereka, patut tahu bahawa hampir setiap perkataan yang diterbitkan adalah melalui usaha Encik Goodwin yang tidak mengenal payah dan langsung tidak mementingkan diri.”      

Ketika ini juga Swamiji meminta pengikutnya, Kaptain dan Puan Sevier untuk tinggal di Almora dan menguruskan penerbitan jurnal bahasa Inggeris, 'Prabuddha Bharata'. Beliau juga meminta pengikutnya, Swami Swarupananda untuk menjadi editor jurnal itu.
                                                                                                                    Sebulan kemudian, mereka pergi ke Kashmir, di mana kebanyakan masanya mereka tinggal di rumah bot. Swamiji juga membawa Saudari Nivedita untuk menziarahi gua Amarnath. Selepas ini, Swamiji sering bersendirian dan sentiasa berada dalam mood yang senyap. Adakalanya beliau menulis sajak untuk meluahkan rasa hatinya.  


Rumah bot, Kashmir
Swamiji mengakhiri lawatannya ke Kashmir, dan secara tiba-tiba pulang ke rumah taman Nilambar Mukherjee bersama Sadananda pada bulan Oktober 1898. Kegembiraan penghuni-penghuni di Biara itu tidak terkira. Namun, mereka juga sedar bahawa kesihatan Swamiji sangat tenat disebabkan penyakit lelah. Ramai kawan-kawan lama dari Kolkata datang menziarahinya.




Girish Ghosh yang datang untuk melihat Swamiji terlantar di atas katil, terperanjat melihat beliau berjalan-jalan di tingkat bawah biliknya. “Apa yang terjadi, mengapa kamu berjalan-jalan? Saya dengar kamu sangat tenat?” Swamiji menjawabnya dengan senyuman: “Tengok sini G.C., sebaik sahaja saya menutup mata untuk tidur, saya melihat muka Brahmananda yang risau. Saya sedang berjalan agar dia percaya bahawa saya sudah sembuh. Dia nak menjadikan saya seorang pesakit. Sebenarnya saya sihat-sihat sahaja.” 

Memang benar keadaan kesihatan Swamiji telah merungsingkan Swami Brahmananda dan menyebabkannya mengambil tanggungjawap barunya sebagai ketua mereka. Swamiji juga berasa gembira dengan pentadbiran Brahmananda.

Sepanjang masa di Kolkata, Swamiji menerima lawatan daripada orang-orang yang ingin mendapatkan ajaran rohani atau memberitahu kepadanya tentang masalah mereka. Ini menyebabkan masa makan dan rutin hariannya yang lain terganggu dan saudara-saudara segurunya mula risau dan menasihatkan beliau untuk tidak menerima pelawat kecuali pada waktu-waktu tertentu. Swamiji menjawab mereka, “Dengan bersusah payah mereka datang berjumpa dengan saya, ada yang datang berjalan kaki dari rumah mereka; dan bolehkah saya, yang sedang duduk di sini, enggan bercakap dengan mereka beberapa perkataan, hanya kerana ia akan menjejaskan kesihatan saya?”

Malah, rasa simpati Swamiji untuk semua orang juga dikritik oleh beberapa orang. Mengapakah Swamiji memberi ajaran rohani dan menerima pelbagai jenis orang sebagai pengikutnya, tanpa sebarang pertimbangan? Seorang pengikut yang tidak tertahan mendengar kritikan begini, menanyakan beliau mengenai ini. Swamiji memandang pengikut itu dan bercakap dengan penuh emosi, “Anakku, adakah kamu katakan yang saya tidak mengenal manusia? Apa! Apabila saya melihat seorang manusia, saya bukan sahaja melihat apa yang ada dalam hatinya sekarang, tetapi melihat segelintir daripada kelahiran lepasnya juga. Saya tahu apa yang ada dalam minda dalaman seorang, apa yang dia sendiri tidak tahu. Tetapi kenapa saya merestui orang begitu? Jiwa-jiwa ini telah mengetuk semua pintu lain untuk mendapatkan sedikit ketenangan dan mereka telah dihalau di semua tempat. Akhirnya mereka telah datang kepada saya. Jika saya juga, enggan menerima mereka, mereka tidak akan ada sebarang tempat teduhan lain. Jadi saya tidak memilih.”

Swamiji memberikan sepenuh perhatiannya untuk melatih pengikut-pengikut dan pemuda-pemuda yang ingin menjadi rahib. Mereka ini akan menjadi pasukan tenteranya untuk menyebarkan ajaran Sri Ramakrishna. Swamiji sendiri menetapkan semua disiplin dan rutin harian yang mereka perlu ikuti. Beliau sendiri akan melakukan kerja-kerja seperti memasak, menguli roti, mencakul di taman, atau menggali telaga. Setiap orang juga dikehendaki untuk memberi ceramah. Tambahan lagi, mereka juga dikehendaki melakukan senaman setiap hari, dan mengawal makan minum mereka.

“Untuk saya tidak ada rehat! Saya akan mati bekerja! Saya suka tindakan! Hidup adalah sebuah medan pertempuran, dan seorang mesti sentiasa bertindak. Biar saya hidup dan mati bertindak! Namun, setiap tindakan yang dilakukan mesti dilakukan tanpa keinginan untuk hasilnya, dengan semangat pelepasan.”

“Hanya seorang rahib sahaja, boleh menjadi seorang pekerja yang hebat; kerana dia tidak mempunyai sebarang ikatan. Tidak ada pekerja lain sehebat Buddha atau Jesus. Tidak ada apa-apa kerja sekular. Semua kerja adalah pemujaan.” 

“Jangan lupa, khidmat kepada dunia dan kesedaran Tuhan adalah ideal bagi rahib! Jangan lepaskannya!” Kepada seorang pengikut yang ingin melakukan disiplin rohani untuk kebebasan dirinya, Swamiji berkata, “Kamu akan pergi ke neraka jika kamu mencari kebebasan kamu! Cari kebebasan orang lain jika kamu ingin mencapai Yang Hebat! Hapuskan niat untuk Mukti diri. Ini adalah disiplin rohani yang paling mulia.”

“Kerja, anak-anakku, kerjalah dengan sepenuh jiwa raga kamu! Jangan pedulikan hasilnya. Apa salahnya kalau kamu pergi ke neraka kerana bekerja untuk orang lain? Sri Ramakrishna telah datang dan memberikan hidupnya untuk dunia ini. Saya juga akan mengorbankan hidup saya. Kamu juga, setiap orang, patut melakukan seperti itu. Semua kerja-kerja ini adalah cuma satu permulaan. Percayalah saya, daripada tumpahan darah kita, pekerja-pekerja dan wira-wira Tuhan yang hebat, yang akan membawa revolusi di seluruh dunia akan lahir.”  

Swamiji mahu pengikut-pengikutnya menjadi manusia yang sempurna. “Kamu mesti bersedia untuk melakukan meditasi sekarang, dan kemudian kamu mesti bersedia untuk pergi dan bertani di ladang. Kami mesti bersedia untuk menerangkan kerumitan sastera-sastera agama sekarang, dan kemudian pergi dan menjual hasil ladang di pasar. Lelaki yang sejati adalah orang yang kuat bagai kekuatan sendiri tetapi masih memiliki hati seorang perempuan.” 

“Brahmacharya patut menjadi seperti api yang membara dalam nadi-nadi!” 

“Semua orang di sini mahu memimpin, dan tiada sesiapapun untuk mematuhi! Dalam melakukan kerja-kerja, arahan pemimpin mesti dipatuhi dengan sepenuhnya. Jika saudara-saudara seguru saya menyuruh saya untuk menghabiskan baki hidup saya dengan membersihkan longkang biara ini, ketahuilah, pasti, saya akan patuh pada arahan itu tanpa sepatah kata pun. Hanya orang yang tahu bagaimana hendak mematuhi arahan, tanpa sebarang rungutan, untuk kebaikan umum, boleh menjadi pemimpin yang hebat.”    

Pada suatu hari, Swamiji sedang mengadakan kelas Rig Veda dan menjelaskan proses ciptaan, apabila Girish Ghosh tiba. Melihatnya, Swamiji berkata: “Baiklah, G.C., kamu tidak peduli untuk mempelajari semua ini. Kamu menghabiskan hidup kamu dengan memuja tuhan ini dan itu, eh?” Girish menjawab, “Apa yang saya harus belajar, saudara? Saya tidak ada masa mahu pun akal untuk mendalami semua perkara itu.” Kemudian Girish meneruskan, “Saudara, kamu telah membaca Veda dan Vedanta secukupnya. Adakah kamu mendapati di dalamnya cara untuk kita keluar daripada penderitaan teruk di negara ini – semua tangisan pilu, semua kelaparan, semua jenayah zina dan dosa-dosa ngeri yang lain?” Girish meneruskan dengan memberi gambaran tentang penderitaan dalam masyarakat. Swamiji duduk dengan senyap. Air matanya mula mencurah. Kemudian, beliau bangun dan meninggalkan tempat itu. Girish berkata, “Tengok! Betapa hebat dan penuh kasih hatinya! Saya menghormati Swamiji kamu, bukan sebagai seorang cendikiawan, tetapi untuk hatinya, yang menitiskan air mata memikirkan tentang penderitaan manusia.”
    


Kuil lama di Biara Belur
PERASMIAN BIARA BELUR
Perasmian Biara Belur berlaku pada hari Jumaat, 9 Disember 1898. Satu perarakan pengikut-pengikut Sri Ramakrishna bermula dari rumah taman Nilambar Mukherjee, ke tapak tetapnya di Belur. Swamiji mendahului perarakan itu dengan menjunjung sebuah kendi yang mengandungi abu suci Sri Ramakrishna. Ketika itu, Swamiji terkenang akan kata-kata gurunya suatu ketika dahulu di Kasipur, “Naren, saya akan pergi dan tinggal di mana sahaja kamu mahu membawa saya, menjunjung saya di bahu kamu – tidak kira di bawah sebatang pokok atau dalam sebuah pondok kecil!”

Swamiji dalam ucapan perasmian Biara Belur menyatakan: “Tempat ini akan menjadi sebuah pusat di mana semua fahaman akan diajar dan diamalkan secara harmoni, seperti yang Sri Ramakrishna amalkan.”

Ketika ini, satu lagi impian Swamiji iaitu untuk memulakan sebuah penerbitan dalam bahasa Bengali juga tercapai. Selepas menamatkan lawatan di India Utara, Josephine datang berjumpa dengan Swamiji dan menyerahkan kepadanya lapan ratus dolar. “Ini sahaja duit yang saya dapat kumpul dalam beberapa tahun ini,” katanya. Dengan serta-merta, Swamiji berkata kepada Swami Trigunatitananda, “Nak, sekarang mulakan majalah kamu.” Dengan wang itu, sebuah percetakan dibeli untuk penerbitan majalah Udbodhan dalam bahasa Bengali. 


Pemandangan Biara Belur dari Sungai Ganges












No comments:

Post a Comment