Monday 24 March 2014

18. PELAYARAN AKHIR KE BARAT


Swamiji berpendapat bahawa beliau perlu kembali ke negara-negara Barat untuk melihat perkembangan kerja yang dimulakannya. Cadangan ini disambut dengan riang oleh kawan-kawan dan pengikut-pengikutnya. Mereka percaya bahawa pelayaran laut akan memulihkan kesihatan Swamiji. Rancangan, dan persediaan mula dilakukan.

Kali ini, Swamiji ingin membawa Swami Turiyananda, dan Saudari Nivedita bersama-samanya. Turiyananda telah menghabiskan hidupnya dengan renungan dan meditasi. Beliau juga merupakan seorang yang pendiam. Oleh itu, beliau agak keberatan untuk menerima cadangan Swamiji. Melihat keenggannya, Swamiji memegang bahunya dan berujar, “Saudara, kamu tak lihat ke bagaimana saya sedang mengabdikan hidup saya, seinci demi seinci, bagi memenuhi misi Mahaguru kita? Sekarang saya sudah menghampiri akhir hayat saya! Bolehkah kamu melihat ini tanpa mencuba untuk mengurangkan beban saya?” Turiyananda tidak sanggup untuk menolak permintaan Swamiji. Apakah guna kehidupan ini jika bukan untuk memenuhi permintaan Swamiji? Dengan ceria, Turiyananda mengemas, dan mula bersedia untuk menjadi seorang pengajar Vedanta di Amerika.                                                                                                                                        
Tanggal 20 Jun 1899. Swamiji menaiki S.S.Golconda di pelabuhan Kolkata dan belayar ke Barat untuk kali kedua. Beliau menulis rencana dalam bahasa Bengali mengenai kisah lawatan ini untuk majalah Udbodhan. Rencana ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai "Memoirs of European Travel”.

S.S.Golconda sampai di pelabuhan Madras. Swami Ramakrishnananda, Swami Niranjananda, serta kawan-kawan Swamiji, dan ratusan penduduk Madras telah pun berkumpul di pelabuhan. Malangnya, disebabkan penyakit wabak di Kolkata ketika itu, penumpang-penumpang kapal itu dikenakan kuarantin, dan tidak dibenarkan untuk turun ke darat. Oleh itu, dengan menaiki bot-bot kecil, penduduk Madras memberikan penghormatan mereka dengan mengelilingi kapal itu. Berpuluh-puluh bakul makanan ringan, buah mangga, pisang, kelap,a dan pelbagai barangan lain dihantar ke dalam kapal untuk Swamiji. 

Selepas pelayaran selama empat puluh dua hari, SS Golconda tiba di Tilbury Dock, London pada 31 Julai 1899. Ibu, dan adik perempuan Saudari Nivedita, Saudari Christine dan Puan Mary Funke, dan beberapa orang lain telah datang ke pelabuhan untuk menjemput Swamiji dan kumpulannya.

Kemudiannya, Swamiji dan Turiyananda ditempatkan di sebuah rumah pertumpangan di 35 Woodside. Dari bilik ini, Swamiji berjalan kaki ke rumah Saudari Nivedita. Adik Nivedita, Richmond sambil bergurau mengadu kepada Swamiji bahawa kakaknya sedang memperkenalkan tradisi Hindu dalam keluarganya, dan telah senarai hitamkan daging lembu daripada menu mereka. Swamiji ketawa dan kemudiannya membawa Richmond ke sebuah restoran. Richmond terkejut apabila Swamiji memesan stik daging lembu. Swamiji berkata kepada Richmond, “Makan, nak, ini untuk kamu. Saya sedang memberikan kamu kembali apa yang Nivedita telah rampas daripada kamu.”   

Selepas berehat di London selama 18 hari, Swamiji meneruskan perjalanannya ke Amerika. Kali ini, Christine dan Mary Funke mengikutnya. Pelayaran selama sepuluh hari ini penuh bermakna kepada dua orang pengikut dari Amerika itu. Setiap pagi mereka membaca Bhagavad Gita, melafaskan mantera-mantera Veda, puisi, dan cerita-cerita Sanskrit. Pada waktu petang, Swamiji  biasanya berjalan mundar-mandir di atas dek, kadang-kadang berhenti untuk bercakap mengenai Alam Semula jadi, dan memberikan mereka pengajaran, “Jika alam Maya ini secantik ini, bayangkan betapa hebatnya kecantikan Realiti di sebaliknya?”
                                                                                                                        
                                     
          Saudari Nivedita                                  Saudari Christine 

LAWATAN AKHIR KE AMERIKA SYARIKAT
Pada pagi Isnin, 28 Ogos 1899, Swamiji kembali ke New York, selepas lebih tiga tahun. Dari sana, beliau, Swami Turiyananda dan kawan-kawannya, Encik dan Puan Leggett, menaiki keretapi ke Ridgely, yang berada lebih sembilan puluh batu dari New York. Walaupun Swamiji kelihatan sedikit penat, beliau kelihatan ceria, dan bersemangat. Beliau membawa sebuah botol besar yang dibungkus dengan kertas lama dengan berhati-hati. Botol istimewa itu mengandungi acar yang dibawanya dari India untuk Josephine. Beberapa hari selepas itu, Abhedananda juga sampai di Ridgely Manor. Swamiji berasa gembira untuk berjumpa dengannya. Abhedananda menceritakan tentang perkembangan ajaran Vedanta di New York.

Swamiji menetap di ‘Pondok Swamiji’ di Ridgely selama sepuluh minggu. Ramai kawan-kawan lamanya dari seluruh Amerika datang berjumpa dengannya. Keadaan yang tenang di Ridgely, banyak membantu untuk memulihkan kesihatan Swamiji. Ketika ini, Swamiji merancang langkah seterusnya untuk menyebarkan falsafah Vedanta di Amerika. Sementara itu, Turiyananda bertolak ke Montclair, sebuah pekan di New Jersey untuk memulakan kelas-kelas Vedanta.    


Vivekananda dan kawan-kawannya di Ridgely Manor

Swamiji masih belum memulakan kerja-kerja ceramahnya. Sebaliknya, kini beliau lebih suka untuk perbincangan informal dengan pelajar-pelajar di Rumah Vedanta. Pada satu hari ketika bercakap dengan kelasnya, Swamiji tiba-tiba berhenti bercakap dan keluar dari bilik itu. Semua orang berasa hampa dan kecewa kerana mereka sedang mendengar ceramah itu dengan penuh perhatian. Seorang kawan kemudiannya menanyakan beliau mengenai ini. Beliau menjadi serius dan menjawab, “Pada masa itu, saya sedar minda semua orang yang sedang mendengar kata-kata saya sedang menjadi lembut seperti tanah liat. Saya mempunyai kuasa untuk memberinya apa sahaja bentuk yang saya mahu. Tetapi untuk berbuat begitu adalah bertentangan dengan falsafah saya; saya mahu setiap orang maju menurut sifat semulajadi masing-masing. Oleh itu, saya terpaksa menghentikan ceramah itu”.

Semua orang digalakkan untuk menanyakan soalan semasa Swamiji mengadakan kelas. Seorang wanita tua menanyakan mengapa beliau tidak bercakap tentang dosa. Beliau kelihatan terperanjat dengan soalan itu. “Puan, saya bersyukur kepada dosa-dosa saya. Melalui dosalah, saya telah mempelajari kemuliaan. Dosa saya juga, sama seperti kemuliaan saya, telah membantu membentuk diri saya. Sekarang saya ialah seorang yang berceramah tentang kemuliaan. Mengapa fikirkan tentang kelemahan manusia? Puan tidak tahu ke, orang yang paling jahat juga sering mempunyai beberapa kemuliaan yang mungkin tidak ada pada seorang yang alim?” 

KAMU IALAH SINGA
Swamiji menegaskan bahawa kita tidak harus mengingatkan seseorang tentang kelemahan dan dosanya. Sebaliknya, kita harus mengingatkan mereka tentang sifat ketuhanan dan kemuliaan jiwa.

“Saya akan memberitahu kamu sebuah cerita. Seekor singa betina yang sedang mencari mangsa, datang kepada sekumpulan kambing, dan apabila ia melompat ke atas seekor kambing, ia melahirkan seekor anak singa dan mati di tempat kejadian. Anak singa membesar dalam kumpulan kambing, memakan rumput, dan mengembek seperti seekor kambing, dan ia tidak pernah tahu bahawa ia adalah seekor singa. Pada suatu hari seekor singa datang ke tempat itu dan berasa terperanjat untuk melihat seekor singa besar sedang memakan rumput dan mengembek seperti seekor kambing. Melihat singa ini, kumpulan kambing melarikan diri dan singa-kambing juga mengikut mereka. Tetapi singa mencari peluangnya dan pada satu hari ia mendapati singa-kambing sedang tidur. Ia mengejutkan singa-kambing dan berkata, “Kamu adalah seekor singa.” Singa-kambing berkata, “Tidak,” dan ia mula mengembek seperti seekor kambing. Tetapi singa-asing membawanya ke sebuah tasik dan memintanya untuk melihat bayangannya di dalam tasik dan lihat sama ada bayangan itu tidak serupa dengannya. Singa-kambing melihat dan mengaku bahawa ia adalah serupa. Kemudian singa-asing mula mengaum dan memintanya untuk mengaum sepertinya. Singa-kambing mencuba suaranya dan sebentar kemudian sedang mengaum dengan hebat seperti singa-asing. Dan ia tidak lagi menjadi seekor kambing.

“Itulah. Kita ialah singa berkulit kambing. Kita telah dipukau menjadi lemah oleh persekitaran kita.”

Pada pertengahan bulan November, Swamiji bertolak ke Chicago di mana beliau menetap kembali bersama keluarga Hale. Beliau juga berjumpa dengan kawan lamanya, Puan Emma Calve dan Saudari Nivedita yang ketika itu berada di Chicago untuk mencari bantuan kewangan bagi memulakan sekolahnya di Kolkata. Swamiji mendapat ramai sahabat baru, dan bertemu dengan orang-orang yang telahpun membaca buku-bukunya dan ingin berkenalan dengannya. 

Pada 3 Disember, Swamiji tiba di Los Angeles. Josephine telah pun datang ke Los Angeles untuk mengatur kelas-kelas bagi Swamiji. Puan Blodgett, yang telah mendengar Swamiji berceramah di Parlimen Agama-Agama Chicago, lebih enam tahun dahulu menjadi tuan rumahnya.

Puan Blodgett memberitahu Josephine, “Selepas Vivekananda selesai memberi ucapan pertamanya, ratusan wanita muda di dewan itu bergegas, dan berlari untuk berjabat tangan dengannya. Saya berfikir ketika itu, ‘Baiklah, jika beliau dapat mengawal dirinya daripada serangan begini, pasti beliau adalah seorang dewa." Semasa berada di Chicago juga, Puan Blodgett telah membeli sebuah poster Swamiji dan menggantungnya di rumahnya. Sekali pun dia tidak pernah bermimpi bahawa suatu hari nanti, Swami Vivekananda akan menjadi tetamunya!  

Semasa menjadi tetamu Puan Blodgett, pada suatu hari Swamiji sedang menunjukkannya cara untuk mengikat serban. Proses ini mengambil masa yang lama kerana beliau menggunakan beberapa ela kain panjang. Josephine mula mendesaknya untuk bergegas kerana khuatir beliau akan lambat untuk ceramahnya. Puan Blodgett yang terlalu tertarik dengan demonstrasi mengikat serban, berkata, “Swamiji, jangan bergegas. Ini seperti seorang lelaki yang akan digantung mati. Orang ramai berebut-rebut untuk mendekati tempat hukuman. Lelaki itu menyahut, ‘Jangan bergegas, selagi saya tidak sampai ke sana, tidak ada perkara menarik yang akan berlaku.’ – Jadi, Swamiji, saya pasti, selagi Swamiji tidak sampai ke sana, tidak ada perkara menarik yang akan berlaku!”

Sekali lagi, Swamiji mula memberikan ceramah-ceramah Vedanta yang dihadiri ratusan orang. Selepas mendengar ceramahnya, dua orang adik-beradik datang berjumpa dengannya dan berjanji untuk menganjurkan beberapa ceramah. Adik-beradik Mead ini tanpa membuang masa mula mendapatkan kelas-kelas di tempat-tempat baru untuk ceramah Swamiji.

Swamiji bukan sahaja mengajar dan memberi ceramah, tetapi diri dan hidupnya sendiri adalah contoh untuk ajarannya. Melihat personalitinya sahaja, ramai orang tertarik kepadanya. Menurut ajarannya, kerohanian adalah sesuatu yang praktikal dan bukannya teori semata-mata.

“Kita mesti melihat manusia dengan penuh simpati. Ia bukannya begitu mudah untuk menjadi orang yang baik. Apakah kamu tetapi cuma sebuah mesin sehingga kamu menjadi bebas? Haruskah kamu berasa bangga kerana kamu seorang yang baik? Pasti tidak. Kamu adalah baik kerana kamu tidak boleh menahan diri kamu. Orang lain adalah jahat kerana dia tidak dapat menahan dirinya. Jika kamu berada dalam keadaannya, siapa tahu apa yang kamu akan buat?”     

Bukan semua orang yang meminati atau bersetuju dengan ceramah-ceramah Swamiji. Ada juga segelintir manusia yang mempersendakan dan mengkutuk ajarannya. Pada satu hari, seorang lelaki bertanya, dengan agak biadap, “Swami, jika semua benda adalah satu, apakah perbezaan di antara sebiji kobis dan seorang lelaki?” Dengan tajam, Swamiji menjawabnya, “Masukkan sebilah pisau ke dalam kaki kamu, dan kamu akan lihat perbezaannya.”

Awal Januari 1900, Swamiji berpindah ke sebuah pekan di Pasadena Selatan. Di sini, beliau menjadi tetamu adik-beradik Mead. Hampir setiap hari, beliau memberi ceramah, kadang-kadang di dewan dan kadang-kadang di bawah pokok di atas bukit. Hasil ceramah-ceramah ini melahirkan persatuan-persatuan Vedanta di Los Angelas dan Pasadena. Kesihatannya juga bertambah baik dan Swamiji  menulis kepada Christine, “Dalam sebulan lagi, saya akan menjadi kuat seperti singa dan dapat tahan lasak seperti baghal.”


Vivekananda di Pasadena, California pada tahun 1900

Semasa tinggal bersama-sama keluarga Mead, Swamiji sering bermain dengan Ralph, yang berumur tujuh belas tahun dan Dorothy, yang berumur empat tahun. Mereka menjadi kawan rapatnya di rumah itu. Beliau juga gemar mendengar cerita “Alice in Wonderland” dan “Alice Through the Looking Glass” bersama-sama Dorothy dan kawan-kawannya.

Ralph amat menyayangi Swamiji. Dia sentiasa cuba melakukan apa sahaja yang dia boleh untuk Swamiji, sama ada menggosok kasutnya atau mendapatkan paip tembakaunya. Pada suatu hari, Swamiji menyanyakan Ralph sama ada dia boleh melihat matanya sendiri. Ralph menjawab, “Tentu tidak boleh, kecuali saya melihatnya dalam cermin”. Swamiji berujar, Begitu juga dengan Tuhan! Dia berada denganmu, serapat matamu. Tuhan adalah milikmu, walaupun kamu tidak boleh melihat-Nya.”

Swami Vivekananda percaya falsafah Vedanta mempunyai peluang yang baik dan luas di Amerika. Namun, beliau juga menyedari kelemahan orang Amerika dan memberi amaran. “Vedanta tidak mengenal dosa. Ada kesilapan, tetapi tidak ada dosa. Dalam jangka panjang, semuanya akan menjadi betul. Tidak ada Syaitan – tidak ada benda karut begini. Vedanta percaya kepada satu dosa sahaja, hanya satu dosa di dunia ini, yakni: pada saat kamu berfikir kamu ialah seorang yang berdosa, atau sesiapa sebagai pendosa, itu adalah dosa. Daripada itulah wujudnya semua kesilapan lain, atau apa yang dipanggil sebagai dosa.”

Dari San Francisco, Swamiji berpindah ke Alameda, sebuah pekan kecil berdekatan Oakland dan tinggal di Home of Truth Alameda, sebuah rumah era Victoria yang dikelilingi taman dan kebun. Ceramah-ceramah beliau di sini adalah mengenai Raja Yoga.

Pada petang Easter, Swamiji sedang bercakap kepada satu kumpulan kecil mengenai semangat pelepasan dan hubungan guru-pengikut. Idea mengenai guru-pengikut adalah sesuatu yang bukan sahaja memeranjatkan tetapi juga dibenci oleh masyarakat Barat. Beliau berkata, “Jika kamu hendak menjadi pengikut saya, dan saya memberitahu kamu untuk masuk ke dalam mulut meriam, kamu mesti melakukannya tanpa soalan.”                                                                                                
Di negeri California sahaja, Swamiji telah memberikan lebih seratus ceramah dan banyak lagi perbincangan informal dan persendirian. Semua ini berlaku hanya dalam masa empat bulan. Ada masanya beliau terpaksa bercakap kepada lebih 3000 orang. Bayangkan, pada masa ini mikrofan belum dicipta lagi! Akibatnya, beliau sekali lagi jatuh sakit dan kawan-kawannya membawanya berehat di kem Marin County, utara San Francisco.


 Vivekananda di San Francisco


Berehat dalam maksud Swamiji adalah melakukan meditasi di bawah pokok, kali ini di hutan pokok redwood. “Kamu boleh melakukan meditasi ke atas apa sahaja,” beliau memberitahu kawan-kawannya, “tetapi saya akan melakukan meditasi ke atas hati seekor singa. Itu memberikan kekuatan.”

Ketika berada di sebuah pekan kecil di Amerika Syarikat, pada suatu hari Swamiji terserempak dengan satu kumpulan pemuda. Mereka sedang berdiri di atas jambatan dan mencuba untuk menembak kulit-kulit telur yang terapung di atas sebuah sungai kecil. Beliau sambil tersenyum memandang mereka cuba berkali-kali tetapi gagal untuk menembak sebiji kulit telur pun. Seorang pemuda yang melihat senyuman Swamiji, mencabarnya untuk menembak. Beliau menerima cabaran itu dan melepaskan tembakan tanpa terlepas sasaran. Melihat kejayaan ini, pemuda-pemuda itu kagum dan menganggap beliau seorang penembak yang terlatih. Mereka tidak percaya apabila Vivekananda memberitahu bahawa beliau tidak pernah memegang senapang sebelum itu. Beliau berkata bahawa rahsianya adalah tumpuan minda, bukan pada kepakaran.   

Pada bulan Mei 1900, Swamiji pergi berkelah di Camp Taylor di Marin County, California. Pada malam pertama, beliau berkata kepada teman-temannya, “Bayangkan bahawa kamu ialah yogi-yogi, yang tinggal dalam sebuah hutan di India. Lupakan bandar-bandar kamu. Lupakan segala-galanya. Fikirkan hanya tentang Tuhan.” Kemudian menunding ke arah sungai yang mengalir berdekatan, beliau meneruskan, “Lihat, ini ialah Ibu Ganges.” Mereka menyalakan unggun api Dhuni dan duduk mengelilinginya untuk melakukan meditasi.


Pemandangan Marin County, California

Sebelum meninggalkan Amerika, Swamiji menghabiskan beberapa hari bersama-sama keluarga Hale di Chicago. Pada pagi akhir beliau berada Chicago, Mary Hale mendapati beliau dalam keadaan sedih. Keadaan katilnya yang tidak tersentuh, membuat Mary menyoalnya. Beliau mengakui bahawa malam itu beliau tidak dapat tidur. Dengan bisikan, beliau berkata, “Oh, memang susah untuk memutuskan pertalian dengan orang!” Itu adalah pertemuan akhir Swamiji dengan keluarga Hale. Beliau mengatakan bahawa apa sahaja kejayaan yang dicapainya di Amerika adalah disebabkan jasa empat orang gadis keluarga ini.  

Semasa di California, seorang wanita telah menghadiahkan Swamiji sebidang tanah di Lembah San Antonne. Kini beliau menyerahkan tanah itu kepada Swami Turiyananda dan memintanya untuk memulakan satu pusat untuk meditasi. Turiyananda menerima tanggungjawab ini dan bertolak bersama dua belas pengikut untuk menubuhkan Ashrama Santhi.

Sejak menjejaki Amerika pada 1893, Swamiji telah menghabiskan tiga puluh sembilan bulan di Amerika. Akhirnya, selepas menyerahkan tugas penyebaran ajaran Vedanta di negara itu pada saudara-saudara segurunya, Swami Abhedananda dan Swami Turiyananda, Swamiji meninggalkan Amerika pada 26 Julai 1900. 

PARIS
Merentasi lautan yang bergelora, S.S.Champagne, tiba di Le Havre pada 3 Ogos 1900. Pada hari yang sama, Swamiji menaiki keretapi ke Paris. Beliau bertemu kembali dengan beberapa orang kawan lamanya dan mendapat ramai kenalan baru. Swamiji juga memberi ceramah dalam Bahasa Perancis. Selain itu, beliau dan kumpulannya melawat muzium, galeri seni, pameran dan sebagainya.

Kemudian, Swamiji menerima jemputan Puan Sara Bull dan pergi berehat di rumahnya di sebuah perkampungan Inggeris. Ketika ini, Saudari Nivedita juga menjadi tetamu Puan Bull. Swamiji mengambil peluang ini untuk meneruskan latihan Nivedita sebagai pengikut setianya.

Pada masa ini juga, Swamiji sering memikirkan tentang Buddha dan sering bercakap tentang kehidupan dan ajaran Buddha. Bagi Swamiji kehidupan Buddha dan Sri Ramakrishna ada banyak persamaannya. Pada suatu hari, beliau sedang menceritakan tentang kematian Buddha, seolah-olah peristiwa itu sedang berlaku di depan matanya.

Sehelai kain telah dihampar di bawah sebatang pokok dan Buddha baring di atasnya, pada sebelah kanan seperti harimau berehat, untuk menghembuskan nafas akhirnya. Tiba-tiba seorang lelaki datang berlari kepadanya dan meminta beliau untuk memberinya ilmu. Pengikut-pengikut Buddha hampir menghalau lelaki baru itu kerana mengganggu, tetapi, Buddha mendengarnya dan menghalang mereka, “Jangan! Jangan! Buddha sentiasa bersedia,” dan Buddha bangun dengan menyiku dan mula mengajar. Ini berulang selama empat kali, dan akhirnya, hanya selepas itu, Buddha berasa beliau bebas untuk mati. Swamiji berkata, “Saya pernah melihat ini, kamu tahu, dalam keadaan Sri Ramakrishna!” Sri Ramakrishna ketika sakit tenat dan menunggu ajalnya di Kasipur, juga mengajar seorang, yang telah datang kepadanya dari jauh, walaupun pengikut-pengikutnya menghalang orang baru itu daripada berjumpa dengan guru mereka.

Ketika ini juga Swamiji berkenalan dengan seorang Perancis bernama Duke of Richelieu. Sebelum meninggalkan negara Perancis, Swamiji meminta Duke itu untuk melepaskan dunia dan menjadi pengikutnya. “Apa yang saya akan dapat kalau saya mengikut Swamiji?” tanya Duke muda itu. “Saya akan memberikan kamu keinginan untuk mati.” Manusia takutkan kematian. Namun, orang-orang yang telah mengenali Kebenaran Abadi, tidak akan berasa takut untuk menghadapinya, sebaliknya mereka akan menerimanya dengan ceria dan tenang.

Ketika beliau dan kawan-kawannya sedang berjalan-jalan di kota Cairo, mereka sedang melalui satu kawasan pelacuran. Beberapa orang wanita muda sedang duduk di atas sebuah bangku, di bawah bayangan sebuah bangunan lama. Melihat Swamiji, mereka mula memanggilnya dan bergelak ketawa. Kawan-kawan beliau cuba untuk membawanya jauh dari tempat itu, tetapi tiba-tiba Swamiji berjalan ke arah wanita-wanita itu dan berkata “Anak-anak malang! Anak-anak malang!”. Beliau mula menangis dengan kuat. Wanita-wanita itu menjadi senyap dan berasa malu dengan kelakuan tidak senonoh mereka. Seorang wanita, datang ke depan Swamiji, tunduk hormat, dan mencium tepi kainnya dan berkata dalam bahasa Sepanyol, “Orang alim! Orang alim!” 

Setiap tempat baru yang mereka melawat pada masa itu, nampaknya telah menyebabkan Swamiji merasa dengan lebih kuat sifat fana dunia ini. Malah, penjara bawah tanah di sebuah kota purba juga mengingatkannya sebagai sebuah tempat yang ideal untuk meditasi. Hatinya mula risau tentang kawannya di India, Kaptain Seveir dan pada satu hari beliau meluahkan rasa hatinya untuk pulang ke India dengan serta-merta. Walaupun sedih, kawan-kawannya menerima keputusan beliau dan Puan Calve, membelikan tiket kapal untuk beliau bertolak ke Bombay. Sebelas hari kemudian, Swamiji turun di Bombay dan tanpa berlengah menaiki keretapi pertama ke Kolkata. 

No comments:

Post a Comment