Tuesday 25 March 2014

9. BIARA BARANAGORE



Sebuah kuil di Baranagore
Selepas kematian Sri Ramakrishna, pengikut-pengikutnya mengosongkan rumah taman Kasipur dan kembali ke rumah masing-masing. Beberapa orang seperti Latu, Sashi, dan Yogindra yang tidak ada tempat berteduh, mula merantau ke tempat-tempat suci. Narendra juga terpaksa kembali ke rumahnya dan meneruskan pelajarannya. Hatinya sedih memikirkan keadaan saudara-saudara segurunya. Sri Ramakrishna telah menyerahkan tugas menjaga dan memimpin pengikut-pengikut mudanya kepada Narendra. Macam manakah Narendra dapat menyempurnakan tugas ini? Ke manakah dia boleh membawa mereka? Dengan hati yang berat, Narendra memikirkan tentang Sri Ramakrishna dan berdoa agar dia dapat memenuhi kehendak gurunya.


Surendranath Mitra
Pada suatu hari, Surendranath Mitra datang berjumpa dengan Narendra. Dengan penuh perasaan, Surendra berkata: “Hidup ini tidak ada apa-apa makna tanpa Mahaguru kita. Demi melupakan suka duka kehidupan ini, kami datang kepada Mahaguru untuk ketenangan. Sekarang beliau tidak ada lagi. Ke mana lagi kami boleh pergi? Semasa Mahaguru masih hidup, saya telah memberikan sedikit wang untuk menjaga beliau. Saya akan beri kamu duit itu. Gunakannya untuk mendapatkan sebuah rumah dan uruskan perbelanjaan harian kamu. Abang Gopal, Latu, Yogindra, dan Sashi yang telah bergantung sepenuhnya kepada Mahaguru kita, kini tidak ada tempat berteduh. Jika kamu boleh membawa mereka tinggal bersama-sama dan memulakan sebuah biara, tentu kami akan datang ke sana. Di biara itu, kita akan mengenang hari-hari manis bersama-sama Mahaguru kita.” 



Narendra mendapat harapan baru selepas mendengar cadangan Surendra. Ya, dia akan memanggil pengikut-pengikut Sri Ramakrishna yang ingin melepaskan dunia dan hidup demi Tuhan. Malah, mereka akan mempunyai sebuah tempat sendiri untuk menyimpan harta mereka - abu suci Sri Ramakrishna yang disimpan di dalam sebuah kendi, beberapa barang yang telah digunakan oleh Sri Ramakrishna seperti bantal, tilam, pakaian, kasut, dan sebagainya.


Biara Baranagore
Tanpa berlengah, Narendra menyewa sebuah rumah dengan sewa yang paling murah di Baranagore. Rumah dua tingkat itu berada dalam keadaan usang, buruk, terbiar dan dipercayai berhantu. Tingkat bawahnya dihuni oleh ular-ular, kumpulan cicak dan biawak. Sebahagian besar bangunan berada dalam keadaan hampir runtuh. Sekeliling rumah itu terdapat belukar dan di belakangnya terdapat sebuah kolam kecil yang menjadi tempat nyamuk membiak. Sungai Ganges dan tempat pembakaran mayat Kasipur, di mana jasad Sri Ramakrishna dibakar berada tidak jauh dari rumah itu. Jauh dari keriuhan bandar, rumah terpencil itu menjadi tempat yang ideal untuk meditasi dan renungan.

Walaupun Narendra bekerja keras untuk memulakan Biara Baranagore, pada mulanya dia tidak dapat tinggal sepanjang masa di sana. Sri Ramakrishna telah memintanya untuk tinggal bersama-sama keluarganya sehingga dia memenuhi tanggungjawab terhadap keluarganya. Ketika ini, dia juga sering menghadiri mahkamah berhubung pertikaian harta pusaka keluarganya. Oleh itu, pada mulanya Tarak, Gopal Tua, dan Kali menjadi penghuni tetap Biara Baranagore. Tidak lama kemudian, seorang demi seorang pengikut Sri Ramakrishna mula menyertai mereka.
      
Balaram Bose
Pada mulanya, Surendra dan Balaram Bose menanggung sebahagian besar perbelanjaan biara ini. Selepas kematian mereka, Girish Ghose dan Mahendranath Gupta pula mengambil alih tugas ini. 

HARI NATAL DI ANTPUR
Pada bulan Disember 1886, Narendra dan beberapa orang saudara segurunya; Baburam, Tarak, Sharat, Shashi, Niranjan, Kali, Gangadhar, dan Sarada bercuti di Antpur, kampung Baburam. Sepanjang perjalanan keretapi ke kampung itu, mereka berseronok dengan memainkan peralatan muzik dan menyanyikan lagu-lagu suci.


Narendra, 1886
Di kampung Antpur, semangat mereka untuk mempertingkatkan disiplin rohani menjadi semakin kuat. Narendra, seolah-olah dirasuki ideal kehidupan Sannyasa, berkata: “Jangan terpedaya dengan glamor dunia ini dan membiarkannya memikat kita walau sesaat pun! Hidup ini hanya ada satu matlamat iaitu realisasi Tuhan! Itulah maksud hidup Sri Ramakrishna! Kita mesti menyedari Tuhan!”

Pada suatu malam yang dingin, mereka duduk mengelilingi unggun api yang besar dan melakukan meditasi. Kemudian, Narendra menceritakan kisah kehidupan Jesus dari Nazhareth; bermula dengan misteri kelahiran, kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus. Mereka sedar bahawa seperti Jesus dan pengikut-pengikutnya, mereka juga perlu melepaskan dunia ini demi mencapai Tuhan dan melakukan kebaikan kepada dunia. Mereka berdiri di depan api suci itu dan mengambil ikrar Sannyasa untuk menjadi rahib. Pada keesokan harinya mereka mendapat tahu bahawa kebetulan itu adalah 24 Disember, malam kelahiran Jesus. Sejak itu, hari kelahiran Jesus disambut oleh pengikut-pengikut Sri Ramakrishna sama seperti mereka menyambut perayaan keagamaan Hindu yang lain.

Sannyasi bermaksud rahib dalam bahasa Sanskrit. Golongan rahib mengamalkan dua prinsip utama iaitu pelepasan “perempuan dan emas”. Mereka tidak akan membazir tenaga dengan pemikiran dan aktiviti seksual dan mereka tidak bekerja untuk mencari wang. Segala masa dan tenaga mereka adalah hanya untuk melakukan aktiviti rohani bagi menimba ilmu dan iman. Seseorang dikatakan telah mengambil kelahiran baru apabila dia mengambil ikrar Sannyasa. Oleh itu, dia diberi nama baru menandakan statusnya sebagai seorang rahib.

IKRAR RAHIB
Selepas peristiwa Antpur, pengikut-pengikut Sri Ramakrishna, seorang demi seorang meninggalkan keluarga mereka dan datang untuk tinggal di Biara Baranagore. Narendra memilih nama bagi semua saudara segurunya yang mengambil ikrar Sannyasa secara formal –  Rakhal sebagai Brahmananda, Baburam sebagai Premananda, Sharat sebagai Saradananda, Shashi sebagai Ramakrishnananda, Sarada sebagai Trigunatitananda, Niranjan sebagai Niranjananda, Subodh sebagai Subodhananda, Latu sebagai Adbhutananda, Yogindra sebagai Yogananda, Kali sebagai Abhedananda, Gopal Tua sebagai Advaitananda, Gangadhar sebagai Akhandananda dan Hari sebagai Turiyananda. Untuk dirinya sendiri, Narendra memilih nama Vividhishananda, tetapi dia jarang-jarang menggunakan nama ini.  
                                        
Kehidupan di Biara Baranagore adalah sesuatu yang unik dalam sejarah dunia. Di sini, pengikut-pengikut Sri Ramakrishna menjalani disiplin rohani yang rumit, kebanyakan masanya dengan perut kosong, tanpa mengenal penat lelah. Setiap hari, mereka bangun pada pukul 3 pagi dan duduk untuk meditasi. Meditasi mereka adakalanya akan berterusan sehingga pukul empat atau lima petang. Selain meditasi, melakukan Japa iaitu mengulangi nama Tuhan, menyanyikan lagu-lagu suci, berpuasa, berdoa, bersembahyang mereka juga meningkatkan pengetahuan mereka dengan membaca dan berbincang tentang ilmu rohani, falsafah, sejarah, ilmu agama, sains, dan sebagainya. Berhari-hari mereka akan mengambil satu idea dan membincangkannya sehingga mereka mendapat penjelasan yang muktamad.

Suasana di Baranagore ini mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara mereka dan mereka sedar bahawa Mahaguru mereka, Sri Ramakrishna telah menjalinkkan persaudaraan yang unik itu. Meskipun, ada masanya salah faham dan pergaduhan berlaku, tetapi peliknya, dengan pantas kejadian itu dilupakan dan suasana riang kembali. Malah, mereka sanggup mengorbankan hidup sendiri untuk kebaikan saudara seguru mereka.

Walaupun rahib-rahib muda ini amat miskin, namun mereka gembira dengan kehidupan itu. Adakalanya, mereka tidak mampu untuk mendapatkan garam untuk makanan mereka. Adakalanya makanan mereka cuma nasi putih dan sayur rebus. Adakalanya mereka menghabiskan waktu malam dengan nyanyian lagu-lagu suci, perbincangan falsafah dan kerohanian. Kebanyakan mereka hanya mempunyai sehelai kain cawat. Sepasang pakaian rahib menjadi milik bersama mereka yang dipakai semasa seseorang keluar untuk mengemis. Mereka tidur di atas sebentang tikar dan mempunyai lebih kurang seratus buah buku.


Rahib-rahib di Biara Baranagore
Saudara-mara rahib-rahib muda ini cuba untuk membawa mereka pulang ke rumah masing-masing. Semua taktik rayuan, ugutan, pujukan dan sebagainya tidak berjaya mengubah hati rahib-rahib ini. Akhirnya, mereka mula menyalahkan Narendra dan menuduhnya menghasut anak-anak mereka untuk menjadi rahib. 

Masyarakat setempat pula kebanyakannya membenci dan mengkutuk rahib-rahib muda ini. Mengapakah pemuda-pemuda ini yang kebanyakannya berpendidikan kolej hendak menghuni di sebuah rumah usang seperti golongan fakir? Malah, kanak-kanak di kejiranan itu juga mempersendakan rahib-rahib ini apabila mereka bermandi di sungai Ganges. Ada juga yang mula menyebarkan khabar angin bahawa mereka ialah golongan antikerajaan. Oleh itu, pihak polis mengawasi gerak-geri mereka. Namun, semua rintangan ini hanya menyemarakkan semangat pelepasan rahib-rahib ini.

Narendra, terutamanya menghabiskan hampir dua puluh empat jam sehari dengan melakukan pelbagai aktiviti. Adakalanya dia bangun pada pukul tiga pagi dan mengejutkan saudara-saudara segurunya untuk bermeditasi, “Bangun, Bangkit! Kalian yang ingin meminum madu ketuhanan!”

Pada suatu hari, melihat seorang saudara segurunya murung kerana tidak mendapat sebarang hasil daripada disiplin rohaninya, Narendra berkata: “Kamu tak membaca ke Bhagavad Gita? Tuhan menetap di dalam hati semua makhluk. Tuhan yang memutarkan roda hidup yang mengikat kita kepadanya. Bolehkah kamu benar-benar mengetahui Tuhan? Cuba untuk berfikir sejenak tentang sifat sebenar manusia. Setiap bintang di langit adalah satu sistem solar. Kita melihat hanya satu sistem solar sahaja dan ilmu kita mengenainya hanya secubit garam. Berbanding dengan matahari, bumi ini hanya sebuah bola kecil dan manusia cuma seekor serangga di permukaannya.”

“Macam mana hendak berdoa kepada Tuhan?” seseorang bertanya kepada Narendra. “Kamu hanya perlu mengulangi Nama-Nya. Itulah ajaran Mahaguru kami,” jawab Narendra.

Narendra mendapati ada dalam kalangan saudara segurunya yang melakukan disiplin rohani yang amat rumit dan keterlaluan. Dia memberi amaran, “Apa, kamu fikir kamu semua akan menjadi Ramakrishna Paramahamsa? Itu tidak akan berlaku. Seorang Ramakrishna Paramahamsa lahir hanya sekali dalam satu zaman!”





















No comments:

Post a Comment