Monday, 24 March 2014

20. DI PENGHUJUNG JALAN

Hari-hari terakhir Swami Vivekananda cukup tenang, aman. Nampaknya, Biley, si nakal telah kembali untuk bermain dengan binatang-binatang peliharaannya. Kebanyakan masanya, Swamiji bermain dengan seekor anjing bernama Bagha, seekor kambing bernama Hansi, seekor kijang, seekor burung botak, beberapa ekor lembu, kambing biri-biri, itik, dan angsa. Beliau gemar bermain kejar-kejar dengan Matru, seekor anak lembu dan membenarkannya tidur di atas kerusi panjang di biliknya. Kadang-kadang, beliau merayu kepada Hansi untuk memberinya sedikit susu untuk membuat teh.

Swamiji amat menyayangi Biara Belur. Sungai Ganges yang tersayang mengalir di sebelah kiri biara. Kadang-kadang kedengaran bunyi kapal-kapal stim. Di samping binatang peliharaannya, beliau juga mempunyai sebuah kolam ikan dan kebun bunga. Dua batang pokok mangga yang besar, pohon cempedak, dan pokok pegaga menghiasi halaman biara itu. Tempat kegemaran beliau adalah di bawah pokok mangga. Beliau sering duduk menulis surat atau membaca di bawah pokok itu. Pokok mangga ini masih berada di Biara Belur. 


Pada bulan September 1901, hujan mula turun tanpa henti-henti. Air sungai Ganges meningkat, melimpahi tebingnya. Air dalam tasik dan kolam-kolam juga mula melimpah keluar. Swamiji sendiri turut membantu menggali longkang besar untuk mengeluarkan air dari kawasan Biara Belur. Kecuali burung botak dan kawanan itik dan angsanya yang keriangan, semua haiwan lain terpaksa menderita pada masa ini. Kijang yang panik dengan keadaan ini, melarikan diri, dan hanya selepas beberapa hari mereka berjaya menemuinya. Malangnya seekor itiknya mati pada masa ini. Itik itu telah sakit lebih daripada seminggu. “Tuan, tak guna hidup dalam Kali Yuga ini, jika itik dijangkiti selsema disebabkan kesejukan dan hujan, dan katak pula bersin!” kata seorang rahib kepada Swamiji. Salah seekor angsa pula mengalami keguguran bulu pelepahnya dan oleh sebab tidak ada cara rawatan yang lain, beliau meninggalkannya dalam sebuah besen yang diisi dengan air yang dicampur karbolik. Peliknya angsa itu pulih selepas itu.  Apabila Matru, anak lembu beliau mati dengan tiba-tiba, beliau menangis seperti kanak-kanak dan berkata kepada seorang pengikutnya: “Sunguh pelik! Sesiapa sahaja yang saya sayangi, mati dengan cepat.”

Swamiji sering berada dalam keadaan termenung. Pada suatu hari, beliau berkata “Kita boleh bersyukur untuk satu perkara: hidup ini bukan abadi.”     


Vivekananda sering berehat di bawah pohon mangga ini

Menjelang November 1901, kesihatan Swamiji semakin merosot. Mata kanannya hampir rabun disebabkan penyakit kencing manis. Beliau telah dinasihati oleh doktor-doktor untuk berehat di atas katilnya, dan ditegah daripada memakan daging, berjalan, berdiri, menulis dan membaca. Semua nasihat ini, hanya diikutinya untuk beberapa hari. Beliau masih meneruskan juga dengan kerja menulis dan mengutus surat. Walaupun mustahil untuk menulis apabila mendapat serangan lelah, dan salah satu matanya menjadi separuh rabun, beliau tidak berhenti menulis surat. Sepanjang hidupnya, Swamiji telah menulis 778 pucuk surat. Mungkin ada banyak lagi yang belum ditemui atau telah hilang selama-lamanya. Kebanyakan surat-surat ini telah diterbitkan untuk bacaan umum sebagai "The Letters of Swami Vivekananda".
                                                                                                                    Seorang doktor Ayurveda mula memberi rawatan kepada Swamiji. Pesakit yang menerima rawatan ini, ditegah meminum air dan memakan garam. Swamiji akur akan arahan ini demi memenuhi permintaan saudara-saudara segurunya. Selama dua puluh satu hari beliau tidak meminum setitik air pun. Beliau memberitahu seorang pengikutnya, Badan ini cuma satu alat untuk minda. Apa yang disuruh oleh minda, badan mesti akur. Sekarang saya langsung tidak berfikir tentang air. Saya langsung tidak teringin untuk meminum air.”

Meskipun badannya tidak sihat, Swamiji masih meneruskan tugasnya sebagai seorang guru. Pada suatu hari, Swami Brahmananda mendapati Swamiji mengajar falsafah kepada seorang pemuda. “Kamu langsung tidak berakal! Swamiji tidak sihat, dan kamu, sedang memenatkannya dengan membuatnya bercakap tentang falsafah!” beliau memarahi pemuda itu. Swamiji bercakap kepada Brahmananda, “Siapa peduli tentang arahan doktor kamu! Mereka ni, anak-anak saya. Saya tak kisah jika badan saya menjadi lemah kerana mengajar mereka!”  

Sesiapa sahaja yang datang kepada Swamiji dan meminta tunjuk ajar, ajaran rohani dan sebagainya dengan ikhlas, pasti tidak akan ditolak meskipun beliau tidak dapat berehat. “Tengok sini! Apa gunanya badan ni! Biarlah ia musnah dengan membantu orang lain. Bukankah Mahaguru kita mengajar kita sehingga nafas akhirnya? Saya langsung tak peduli jika badan ini rebah! Kamu tak boleh bayangkan betapa gembiranya saya untuk berjumpa dengan orang-orang yang mencari kebenaran dengan ikhlas. Demi membangkitkan jiwa manusia sejagat saya akan mati berkali-kali dengan senang hati!” katanya. 

“Selepas begitu banyak tapasya, disiplin rohani yang ketat, saya telah menyedari bahawa inilah kebenaran yang hebat: ‘Tuhan berada dalam semua makhluk hidup. Semua ini adalah jelmaan-Nya. Tidak ada Tuhan lain! Hanya orang yang melakukan kebaikan kepada orang lain sahaja yang menyembah Tuhan!" kata Swamiji. 
                                                          
Hanya badan Swamiji sudah terlalu uzur dan lemah. Otaknya masih cergas, dan kuat. Pada ketika ini, beliau telah mula membaca edisi terbaru "Encyclopeadia Britannica" yang mempunyai dua puluh lima jilid. Saratchandra berkata, “Mesti susah untuk mengingati kandungan semua jilid ini dalam satu kelahiran.” Dia tidak tahu Swamiji sudah pun membaca sepuluh jilid ketika itu. “Apa maksud kamu?” Swamiji berkata, “kamu boleh menyoal saya mengenai kandungan sepuluh jilid ini dan saya boleh menjawabnya.” Saratchandra, yang sentiasa akur dengan suruhan gurunya, membawa semua jilid itu dan mula menanyakan soalan-soalan yang rumit dari buku-buku itu. Swamiji menjawab semua soalan itu dengan betul. Malah kadang-kadang, beliau mengungkap seluruh rangkap dalam buku itu. Melihat daya ingatan gurunya yang luar biasa, Saratchandra dengan kagum berkata, “Ini adalah di luar kemampuan manusia biasa!” Dengan serba ringkas, Swamiji menjawab bahawa tidak ada apa-apa yang luar biasa mengenainya; itu cuma hasil kehidupan yang suci.

Swamiji menyerahkan segala tugas, dan mengagihkan tanggungjawabnya kepada saudara-saudara seguru dan juga pengikut-pengikutnya. “Sering kali, seorang manusia merosakkan pengikut-pengikutnya dengan sentiasa mendampingi mereka! Setelah orang-orang dilatih, adalah penting bagi pemimpin itu untuk meninggalkan mereka. Hanya apabila dia tidak bersama-sama mereka, mereka boleh berusaha sendiri. Kehadiran pokok yang besar akan menghalang pertumbuhan pokok-pokok kecil di sekelilinginya,” katanya.                                                                                                                                             
Swamiji menghabiskan akhir hayatnya di Biara Belur. “Saya tidak akan mencapai umur empat puluh tahun,” katanya kepada beberapa orang yang rapat dengannya. Sesiapa pun tidak menjangka yang ramalan ini akan menjadi kenyataan. Dua bulan sebelum kematiannya, beliau menulis surat kepada semua pengikutnya yang berada di serata dunia untuk datang berjumpa dengannya. Beberapa orang yang berahmat datang berjumpanya. Ada pula yang tidak dapat datang atas pelbagai sebab dan ada yang hanya sampai selepas kematian beliau.

Pada suatu hari, beliau pergi melawat kakaknya, dan menyelesaikan satu pertikaian mengenai harta pusaka keluarganya. Dengan itu, beliau menyempurnakan tanggungjawabnya terhadap keluarganya. Tiga hari sebelum kematiannya, beliau memanggil Swami Premananda untuk berjalan-jalan. Ketika mereka sedang berjalan di kawasan Biara Belur, Swamiji menunjuk ke satu tempat di tebing sungai Ganges dan berkata, “Apabila saya meninggalkan tubuh badan ini, bakarlah di sana.”

HARI TERAKHIR
4 Julai 1902. Swami Vivekananda memasuki bilik sembahyang di tingkat pertama dan menutup semua pintu, dan tingkapnya. Tiga jam kemudian, beliau bersenandung sebuah lagu Bengali mengenai Dewi Syama, "Adakah Ibu-ku hitam? ... Ibu yang berkulit hitam, dengan rambutnya yang terurai, menyinari teratai hati!"

Bilik Swamiji, Biara Belur
Swamiji keluar dari bilik itu, dan mula berjalan mundar-mandir di anjung luar dalam keadaan termenung. Tiba-tiba, Premananda terdengar beliau bercakap sendiri, “Jika ada seorang lagi Vivekananda, dia akan memahami apa yang dilakukan oleh Vivekananda ini! Namun, entah berapa Vivekananda yang akan lahir di masa hadapan!” 

Hari itu, beliau memakan tengah hari dengan penuh selera bersama-sama rahib-rahib lain di dewan makan. Selepas makan tengah hari, beliau mengajar tatabahasa Sanskrit kepada para Brahmachari selama lebih dua jam. Kemudian, beliau membawa Premananda untuk berjalan-jalan sehingga ke Bazar Belur. Sambil berjalan, Swamiji meluahkan rancangannya untuk memulakan sebuah pusat penggajian Veda di biara mereka. “Apakah gunanya mempelajari Veda?” tanya Premananda. “Itu akan menghapuskan kepercayaan karut,” Swamiji menjawab.

Menjelang senja, Swamiji menjadi semakin termenung. Apabila loceng untuk sembahyang senja dibunyikan, beliau pergi ke biliknya. Sambil menghadap Sungai Ganges, beliau melakukan meditasi. Sejam kemudian, beliau memanggil Brajendra, seorang pengikutnya, dan memintanya untuk mengipasnya. Beliau baring di atas katilnya. Brajendra mula mengipas. Kemudian, dia memicit kaki gurunya. Pengikut itu percaya bahawa gurunya sedang tidur. Beberapa lama kemudian, dia melihat tangan gurunya bergetar. Dua tarikan nafas panjang. Brajendra mengesyaki sesuatu yang pelik telah berlaku. Dia memanggil seorang rahib. Rahib itu memeriksa badan Swamiji. Denyutan nadi dan pernafasan Swamiji telah berhenti. Jam menunjukkan beberapa minit selepas pukul sembilan malam. Swami Vivekananda telah meninggalkan badannya. Usianya genap tiga puluh sembilan tahun, lima bulan, dan dua puluh empat tahun. 

Keesokan harinya, jasadnya dibawa ke tempat yang telah ditetapkannya dahulu. Sahutan "Jai Sri Guru Maharajji Ki Jai! Jai Sri Swamiji Maharajji Ki Jai!" kedengaran. Upacara pembakaran jasad Swamiji dilakukan berdekatan pokok nimba. Lama kemudian, sebuah kuil telah dibina di tempat itu. Abu suci Swamiji masih disimpan dan dipuja di kuil ini.       

Semasa berada di Thousand Island Park, Swamiji menulis sebuah sajaknya yang unggul, yang masih menjadi inspirasi kepada ratusan rahib bertajuk ‘The Song of the Sannyasin’. Sebuah rangkapnya berbunyi begini:

 Jangan pedulikan lagi bagaimana badan hidup atau mati,
         Kerjanya sudah selesai.
Biar Karma menghanyutkannya;
Biar seorang memakaikan kalungan bunga, yang lain menyepaknya
Rangka ini; tidak bercakap. Tiada pujian atau cacian yang berlaku
Di mana pemuji, yang dipuji – yang mencaci, yang dicaci – adalah satu.
Jadi tenanglah engkau – sannyasin yang berani! Katakan –  
“Om Tat Sat, Om!” 


Kuil Vivekananda, Biara Belur
Begitu juga Swami Vivekananda, selepas menyelesaikan misinya di dunia ini meninggalkan jasadnya dengan memberi kepastian: 
“Saya ialah suatu suara tanpa rupa. Mungkin saya akan mendapatinya lebih baik untuk keluar daripada tubuh saya – untuk membuangnya seperti pakaian yang lapuk. Namun, saya tidak akan berhenti bekerja! Saya akan memberi inspirasi kepada manusia di merata tempat, sehingga dunia mengetahui bahawa ia adalah satu dengan Tuhan!”   

Bilik Swami Vivekananda menghembuskan nafas terakhirnya, masih berada dalam keadaan yang sama. Kalendar di dindingnya masih menunjukkan 4 Julai 1902. 
. . . 

No comments:

Post a Comment