Tuesday, 25 March 2014

10. NARENDRA MENJADI SWAMI

Mulai sekarang Narendra dipanggil dengan gelaran “Swamiji”. Seperti rahib-rahib Hindu tradisional, Swamiji juga mula merantau ke tempat-tempat suci. Dengan memakai pakaian jingga Sannyasi, sebuah tongkat, sebuah kendi air fakir, dua buah buku kegemarannya - Bhagavad Gita dan "The Imitation of Christ", kehidupan Swamiji sebagai perantau bermula. 

Biasanya Swamiji tidak mendedahkan dirinya sebagai seorang yang berpelajaran. Beliau bermalam di hutan, di kuil, atau di rumah rehat di tepi jalan. Dengan berjalan kaki atau dengan menaiki keretapi sekiranya orang membelikannya tiket keretapi, Swamiji menjelajah ke seluruh pelosok benua India. 

Tempat pertama yang Swamiji ziarahi ialah Benaras atau Varanasi. Beliau memulakan perjalanan dengan Swami Premananda dan Fakirbabu, seorang pengikut Sri Ramakrishna. Swamiji tinggal di asrama Dwarakadas. Beliau bertemu dengan ramai rahib dan pendeta-pendeta di Benaras seperti Trailanga Swami dan Bhaskarananda.

Semasa berada di Benaras, suatu peristiwa yang menjadi teladan kepada Swamiji berlaku. Pada suatu pagi, beliau sedang berjalan berdekatan dengan sebuah tangki air selepas mengunjungi kuil Dewi Durga. Tiba-tiba beliau dikerumuni sekumpulan monyet besar. Monyet-monyet itu enggan untuk memberi laluan dan mula menyerangnya. Apabila beliau cuba untuk berlari, kumpulan monyet itu mengejarnya dengan pantas. Seorang fakir tua yang melihat ini, menyeru Swamiji: “Jangan berlari! Hadapi binatang itu.” Swamiji berhenti, berpusing dan berhadapan dengan kumpulan monyet yang mengejarnya. Melihat ini, binatang-binatang itu berhenti mengejarnya dan melarikan diri dari tempat itu.


Sarnath
Pada suatu hari kelak, Swamiji menceritakan pengalamannya begini, “Itu adalah satu pedoman untuk seumur hidup. Berdepanlah dengan yang buruk. Hadapinya dengan berani. Seperti monyet-monyet itu, kesusahan hidup berundur ke belakang apabila kita berhenti melarikan diri daripadanya. Kita hanya boleh mencapai kebebasan dengan cara menakluki alam, bukan dengan melarikan diri daripadanya. Pengecut-pengecut tidak akan berjaya. Kita mesti melawan ketakutan, kesusahan, dan kejahilan jika kita mahu melepaskan diri daripadanya.” 

Lebih kurang seminggu kemudian, Swamiji kembali ke Biara Baranagore. Namun, pengalamannya di Benaras, menguatkan lagi azamnya untuk kehidupan perantau. Oleh itu, Swamiji memulakan ziarah ke tempat-tempat suci di utara India. Sekali lagi, beliau kembali ke Benaras. Kali ini, beliau bertemu dengan Pramadadas Mitra, seorang pendeta Sanskrit yang terkenal. Swamiji sering berutus surat dengan Pramadadas Mitra untuk mendapatkan nasihatnya mengenai interpretasi sastera-sastera Hindu.

Dari Benaras, Swamiji menziarahi Ayodhya. Kota ini yang pernah diperintah oleh Sri Rama membangkitkan kenangan lamanya, sebagai seorang pemuja Rama dan Sita. Seterusnya, beliau melawat Lucknow and Agra. Di Agra, beliau melawat Taj Mahal beberapa kali. Beliau kagum dengan kecantikannya dan berkata, "Setiap inci bangunan yang menakjubkan ini layak diperhatikan dengan penuh kesabaran sepanjang hari. Enam bulan diperlukan untuk benar-benar menghayatinya."

Bukit Govardhan
Dari Agra, Swamiji bertolak ke Vrindavan pada awal Ogos 1888. Ketika merantau di kawasan Bukit Govardhan di Vrindavan, Swamiji bertekad untuk tidak mengemis makanan. Pada hari pertama, beliau berasa sangat lapar. Keadaannya bertambah buruk apabila hujan lebat turun. Dalam keadaan lemah dan lesu, Swamiji meneruskan perjalanan. Tiba-tiba, Swamiji terdengar suara seorang lelaki memanggilnya. Beliau tidak mengendahkannya. Suara itu semakin mendekatinya. Swamiji mula berlari dengan pantas untuk mengelakkan orang itu. Lelaki itu juga mula mengejar Swamiji sambil menyeru kuat. Selepas mengejar hampir satu batu, akhirnya dia berjaya mengatasi Swamiji dan menghentikannya. Kemudian, dia merayu kepada Swamiji untuk menerima makanan yang dibawanya. Tanpa berkata sepatah pun, Swamiji menerima makanan itu sebagai pemberian Tuhan. Sebentar kemudian, lelaki itu hilang dari pandangannya. Tersentuh dengan cinta Tuhan, Swamiji menitiskan air mata sambil menyahut, "Jai Sri Radha! Jai Sri Krishna!"

Pertemuan dengan Sharatchandra Gupta 
Tidak lama kemudian, Swamiji berada di stesen keretapi Hathras. Beliau tidak memakan selama beberapa hari dan kelihatan amat lesu. Namun, perwatakan beliau masih menarik perhatian orang ramai. Seorang pegawai pembantu stesen itu bernama Sharatchandra Gupta. Melihat Swamiji, beliau berasa amat tertarik. Beliau menghampiri Swamiji dan bertanya, “Adakah Swamiji lapar?” Swamiji menjawab, “Ya, saya lapar.” “Jadi, sila datang ke rumah saya.” “Tapi apa yang kamu akan berikan saya untuk makan?” Sharat menjawab dengan mengungkap sebuah sajak Persia, “Wahai kekasih, kausudah datang ke rumahku! Akanku hidangkan makanan yang paling enak untukmu dengan daging hatiku.” Swamiji berasa gembira untuk mendengar jawapan itu dan menerima jemputan Sharat.

Sharat mula merayu kepada Swamiji untuk tinggal di rumahnya untuk beberapa hari. “Swamiji, ajarlah ilmu kepada saya.” Swamiji menjawabnya dengan sebuah lagu Bengali, “Jika kaumahu mencapai ilmu, pergi dan sapukan muka rembulanmu dengan abu; kalau tidak, carilah jalanmu sendiri.” Dengan serta-merta, Sharat berkata, “Saya sedia untuk berkhidmat kepada Swamiji,” dan beliau meninggalkan tempat itu. Sebentar kemudian, beliau kembali dengan menyapukan mukanya dengan abu. Melihat kepolosan Sharat, Swamiji ketawa terbahak-bahak. Beliau bersetuju untuk tinggal di rumahnya untuk beberapa hari.

Kehadiran Swamiji memulihkan perselisihan faham dalam kalangan masyarakat di Hathras. Semua orang beria-ia untuk mendengar ajaran dan nyanyian beliau. Swamiji bercakap tentang agama dan negara mereka dan memberikan mereka inspirasi untuk hidup mulia. Swamiji juga sering melawat rumah seorang kawan lamanya, Brajenbabu.

Akhirnya, tiba masa untuk Swamiji meninggalkan Hathras. Seorang fakir tidak harus berada lama di suatu tempat kerana itu akan menyebabkan ikatan dengan orang-orang di situ. Mendengar berita ini, Sharat menjadi amat sedih dan merayu, “Saya mahu menjadi pengikut Swamiji.” “Bolehkah kamu mengikut saya? Kalau boleh, ambil mangkuk ini. Pergi mengemis di rumah pekerja-pekerja stesen keretapi.” Sebaik sahaja menerima arahan ini, Sharat, tanpa segan silu, pergi mengemis makanan daripada pekerja-pekerja bawahannya. Melihat makanan itu, Swamiji merestui Sharat dan menerimanya sebagai pengikutnya. Sharat ialah pengikut pertama Swamiji yang menjadi rahib. Swamiji menamakannya sebagai Swami Sadananda.

Swamiji dan Sadananda bertolak ke Hrishikesh. Sadananda telah hidup selesa sehingga itu. Beliau tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kesukaran hidup seorang fakir. Ketika merantau di perkampungan Himalaya yang terpencil, beliau jatuh pengsan kerana kelaparan dan kehausan. Swamiji mendukungnya dari tempat itu. Apabila Sadananda langsung tidak bermaya untuk mengangkat apa-apa, Swamiji sendiri membawa barang-barangnya, termasuk kasutnya juga. Pada suatu hari, mereka sedang melalui sebuah hutan. Dalam perjalanan, mereka mendapati tulang-tulang manusia dan cebisan kain jingga Sannyasi di sana sini. “Lihat,” kata Swamiji, “di sini seekor harimau telah membaham seorang Sannyasi! Kamu rasa takut tak?” Sadananda menjawab dengan cepat, “Tidak. Saya tidak takut kerana saya berada bersama-sama Swamiji!”

Swamiji mula merindui kehidupan lamanya semasa beliau merantau keseorangan. Beliau teringin untuk melawat Kedar-Badri. Disebabkan kesihatan Sadananda, beliau tidak dapat meneruskan perjalanannya. “Kamu dah menjadi seperti rantai kaki saya. Saya sedang merantau seorang diri. Kamu datang dan menjadi beban. Sekarang saya mahu pergi seorang diri. Saya tidak mahu berada di sini lagi.” Kemudian, dengan mengambil tongkat dan kendi airnya, Swamiji meninggalkan tempat itu. Sadananda pada masa itu, sedang memasak makanan mereka. Terperanjat dengan tindakan Swamiji, dengan sedih, beliau duduk terpaku di tempatnya. Tiga atau empat jam kemudian, Swamiji kembali ke tempat itu dan berkata, “Sharat! Oh Sharat! Boleh kamu beri saya sedikit makanan? Saya sangat lapar.” Sadananda yang tidak percaya gurunya telah kembali, berkata, “Ya, Swamiji, saya akan sediakan makanan.” Swamiji: “Kamu dah makan ke?” Sadananda: “Macam mana saya boleh makan tanpa Swamiji di sini?” “Kamu memang sudah menjadi seperti rantai kaki saya. Saya sudah pergi agak jauh dari sini, tetapi saya teringat bahawa kamu berada di sini seorang diri. Kamu pula memang bodoh. Saya tidak pasti apa yang kamu akan buat. Tengok, untuk kamu saya telah kembali.”

Sekali lagi, Sadananda jatuh sakit. Hasrat Swamiji untuk pergi jauh ke atas pergunungan Himalaya terpaksa ditangguhkan. Oleh itu, mereka kembali ke Hathras. Di sana, Swamiji pula dijangkiti demam malaria. Mujur pada ketika itu, Swami Shivananda (Tarak) sedang merantau di Hathras. Beliau bertemu dengan Swamiji dan memintanya untuk pulang ke biara mereka. Akhirnya, Swamiji pulang ke Biara Baranagore bersama-sama Shivananda dan Sadananda pada hujung tahun 1888.

Kebanyakan rahib Baranagore telah pergi merantau ketika itu. Swamiji dan beberapa orang lain meneruskan kehidupan di Baranagore. Ketika ini, Swamiji menekankan pembelajaran bahasa Sanskrit. Terlalu miskin untuk membeli buku, beliau merayu kepada kawannya, Pramadadas Mitra di Varanasi untuk meminjamkannya beberapa buah buku tatabahasa Sanskrit. Beliau percaya bahawa hanya dengan menguasai bahasa Sanskrit, seseorang boleh menjadi mahir dalam pemahaman kitab-kitab Veda. Demikian, setahun berlalu. 

Pada bulan Disember 1889, Swamiji bertolak ke Vaidyanath, India utara. Beberapa hari kemudian, beliau menerima berita dari Allahabad. Swami Yogananda (Yogin) telah dijangkiti demam campak. Tanpa berlengah, Swamiji bertolak ke Allahabad. Beliau berasa lega apabila mendapati Yogananda telah sembuh. Orang-orang tempatan telah menjaga dan merawat Yogananda. Mereka meminta Swamiji untuk mengajar agama kepada mereka. Swamiji tinggal bersama-sama mereka untuk beberapa hari. Akhirnya pada bulan Januari 1890, beliau bertolak ke Ghazipur.

Tujuan utama Swamiji melawat Ghazipur adalah untuk berjumpa dengan Pavhari Baba. Pavhari Baba, seorang pertapa yang mahir dalam Hatha Yoga. Beliau menghabiskan kebanyakan masanya dalam meditasi di sebuah lubang bawah tanah. Hanya untuk beberapa jam sahaja beliau akan keluar dari lubang itu. Beliau memberi ajaran agama atau nasihat rohani kepada orang-orang yang datang berjumpanya dari sebalik pintu asramanya. Diet harian Pavhari Baba hanyalah segenggam daun nimba yang pahit dan beberapa biji lada merah. Selepas berbual dengan Pavhari Baba, Swamiji mula menyukainya. Pavhari Baba juga mula menyayangi Swamiji dan memujuknya untuk tinggal di Ghazipur. Swamiji menetap di rumah taman Gaganbabu, berdekatan kediaman Pavhari Baba selama beberapa bulan.  

Sebuah istana kota lama di Ghazipur
Ketika berada di Ghazipur juga, Swamiji berasa amat sedih untuk melihat keadaan rakyat negaranya. Ramai golongan yang berpendidikan telah menjadi hamba kepada budaya Barat yang materialistik. Mereka juga telah melupakan budaya dan tamadun India yang berasaskan kepada kerohanian dan nilai-nilai murni seperti pelepasan.

Pada bulan April 1890, Swamiji bertolak ke Varanasi untuk menjaga Swami Abhedananda (Kali) yang sedang sakit tenat. Swamiji mempunyai keinginan yang kuat untuk mengamalkan disiplin rohani di Varanasi. Oleh itu, beliau berazam untuk menetap di Varanasi untuk beberapa lama. Malangnya, tidak sampai beberapa hari, berita buruk tiba dari Kolkata. Balaram Bose, seorang pengikut setia Sri Ramakrishna telah meninggal dunia. Sekali lagi, Swamiji kembali ke Kolkata untuk menenangkan keluarga Balaram Bose. 

Di Kolkata, Swamiji mengambil alih tugasnya sebagai ketua Biara Baranagore. Selama ini, Balaram Bose telah menanggung sebahagian besar daripada perbelanjaan biara itu. Selepas kematiannya, mereka mula menghadapi masalah kewangan. Keadaan bertambah buruk apabila sebulan kemudian, Surendra, seorang lagi penaung Biara Baranagore turut meninggal dunia. Swamiji memanggil Mahendranath Gupta dan Girish Ghosh untuk membantunya. Walaupun mereka tidak kaya, dengan gembira mereka memberikan apa sahaja yang termampu untuk meneruskan Biara Baranagore.

Sebelum kematiannya, Surendra telah menderma 1000 rupee untuk mendapatkan sebidang tanah bagi membina sebuah kuil bagi Mahaguru mereka. Derma itu tidak cukup untuk membeli sebidang tanah di Kolkata. Kematian Surendra, menambahkan lagi beban hati Swamiji. Bagaimana beliau dapat membina sebuah tempat persemadian untuk Mahaguru? Macam mana beliau dapat menyediakan sebuah biara untuk saudara-saudara segurunya? Swamiji tidak dapat mencari jalan penyelesaian dan fikirannya menjadi buntu. Swamiji sedar bahawa beliau harus meninggalkan Baranagore sehingga beliau dapat menyelesaikan masalah-masalahnya.











No comments:

Post a Comment