Monday 12 January 2015

SUMBANGAN DAN FALSAFAH

Sumbangan kepada Agama Hindu dan Vedanta
Apakah sumbangan Swami Vivekananda kepada agama Hindu? Vivekananda sendiri berkata:  

“Tugas memberikan idea-idea agama Hindu dalam bahasa Inggeris, memberi makna kepada falsafah-falsafah hambar, mitologi yang rumit dan psikologi yang pelik untuk menjadikan suatu agama yang senang, mudah, popular, disamping memenuhi keperluan intelek yang tinggi adalah satu tugas yang hanya boleh difahami oleh mereka yang telah mencubanya. Advaita yang abstrak mesti dihidupkan dan dijadikan menarik dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni harus dihasilkan daripada mitologi yang rumit. Psikologi yang saintifik dan praktikal mesti lahir daripada amalan Yoga yang membingungkan. Semua ini mesti menjadi sesuatu yang kanak-kanak juga boleh memahami. Itu ialah matlamat hidup saya.”

Sumbangan khas Swami Vivekananda boleh dirumuskan begini:

  • Memberikan nafas baru lagi moden kepada institusi Sannyasa tradisional dengan menubuhkan Ramakrishna Mission dan Ramakrishna Math. 

  • Membebaskan Vedanta daripada monopoli golongan pendeta Hindu dan mengajarnya sebagai satu agama universal yang boleh diterima dan diamalkan oleh insan sejagat.
 
Walaupun secara umumnya, Vivekananda mengikuti falsafah Advaita Sankara dalam ajaran Hinduisme dan Vedantanya, beliau juga telah memberikan beberapa sumbangan asli. Ini boleh dirumuskan seperti berikut:

  • Veda bukan kitab-kitab tertentu sahaja. Seperti mana sains merangkumi semua hukum sains alam fizikal, Veda merangkumi semua hukum abadi alam kerohanian.

  • Tiga sistem Vedanta iaitu Advaita, Visistadvaita dan Dvaita adalah tidak bercanggah antara satu sama lain. Sistem-sistem ini menunjukkan Kebenaran (atau Tuhan) dari perspektif berlainan.

  • Memberikan interpretasi yang jelas tentang konsep Maya dalam Vedanta. Menurut Vivekananda, Maya ialah satu kenyataan fakta tentang alam ini dan bukannya satu teori semata-mata.

  • Semua konsep manusia mengenai Tuhan adalah antropomorfik dan ia tidak boleh dielakkan.
 
Demikian, Vivekananda menjadikan  Vedanta satu agama yang praktikal dengan menekankan aspek Sadhana (aktiviti-aktiviti kerohanian) seperti sifat tersisih dan kedahagaan untuk Tuhan.


Falsafah Vivekananda 
Vivekananda telah memberikan falsafahnya dengan amat jelas dalam dua keadaan. Pada permulaan karya hebatnya, Raja Yoga, beliau telah merumuskan falsafah yang dinamakan sebagai Kalimat Vedanta Baharu:
  • Setiap jiwa berpotensi ketuhanan
  • Matlamat hidup adalah untuk mendedahkan ketuhanan ini dengan menguasai Alam luaran dan dalaman.
  • Capailah matlamat ini sama ada dengan bekerja, bersembahyang atau menguasai psikik, atau dengan falsafah. Lakukan satu atau beberapa atau semua perkara ini dan dapatkan kebebasan! Inilah agama sebenarnya. Semua doktrin, kepercayaan, upacara, kitab-kitab, tempat ibadat, atau simbol keagamaan hanyalah perkara sekunder.

Satu lagi kalimat falsafah Vivekananda ialah motto Ramakrishna Sangha iaitu: ‘Atmano mokshartham jagaddhitaya ca’ – ‘Seseorang harus berusaha untuk kebebasan diri sendiri dan juga untuk kebaikan dunia’. 



Seluruh falsafah Vivekananda adalah berasaskan kepada dua perkara ini.

No comments:

Post a Comment